Erwin Dawson Selamat Disatukan Dengan Gadis Pilihan Hati - Glam Malaysia
Erwin Dawson Selamat Disatukan Dengan Gadis Pilihan Hati

Erwin Dawson Selamat Disatukan Dengan Gadis Pilihan Hati

Pelakon asal Singapura, Erwin Dawson kini sah bergelar suami kepada wanita pujaannya, Lee Suxiu Solleha Bazilah.

Pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat di kota Singa pada 17 Januari lalu. Pada majlis itu, Erwin menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin emas.

Menurut pelakon Pulang itu, dia sememangnya berniat untuk mengadakan majlis secara sederhana. Begitu juga yang diinginkan isterinya.

Erwin Dawson

“Kami merancang majlis perkahwinan ini dalam tempoh sebulan saja. Bulan lalu kami rancang dan bulan ini sudah bergelar suami isteri.

“Kami pilih bernikah pada 17 haribulan kerana tidak dapat slot hujung minggu. Saya dan isteri mempunyai pemikiran sama. Kami mahukan majlis sederhana, tidak perlulah besar-besaran. Cuma ada majlis jamuan untuk saudara-mara terdekat,” ujarnya, menurut Berita Harian.

Lee Suxiu Solleha Bazilah Wanita Idaman Erwin Dawson

Aktor kacak kacukan Melayu-New Zealand ini berkata, Solleha adalah wanita tepat buat dirinya dan bersyukur kerana mereka akhirnya disatukan.

“Saya teruja kerana memang menantikan hari bersejarah ini. Saya sudah menemui wanita terbaik. Dia isteri yang baik, peramah dan penyayang. Jadi susah untuk kita tidak suka kepadanya.

“Dia juga sangat penyabar dan boleh tundukkan ego serta emosi saya. Jadi saya rasa tak sampai hati nak memarahinya. Keluarga pun suka melayannya. Alhamdulillah, saya bertemu seseorang yang mementingkan keluarga,” tambahnya.

See also
Harapan Elon Musk Buat Johnny Depp & Amber Heard

Berkenalan di media sosial, Erwin Dawson kini bergelar suami kepada Lee Suxiu - Hiburan | mStar

Pasangan ini berkenalan menerusi TikTok pada bulan Februari 2023 sebelum berbalas mesej di Instagram. Mereka bertemu sebulan kemudian seterusnya perhubungan menjadi rapat.

“Dalam tempoh perkenalan, kami tak pernah mengatakan kami bercinta. Cukuplah masing-masing faham hati dan perasaan. Bila makin rapat, saya rasa eloklah jika kami berkahwin. Tidak manis pula orang tengok kami selalu keluar bersama.”

Pasangan ini mengakui tidak merancang mahu mendapatkan zuriat dalam masa terdekat. Kini selain berlakon, Erwin dan isterinya memberi fokus dalam perniagaan ubah suai kediaman, Your Reno Works di Singapura.

 

Foto: Facebook/Instagram

Baca: Putera Mateen & Dayang Anisha Disatukan Dalam Majlis Penuh Istiadat