Dua Kali Tunda, Jennifer Lopez Batalkan Rancangan Kahwin
Setelah dua kali menangguh perkahwinan yang sepatutnya berlangsung beberapa bulan lalu disebabkan pandemik Covid-19, Jennifer Lopez akhirnya membuka mulut mengenai perancangan masa depannya bersama tunang, Alex Rodriguez.
Bercakap mengenai impian yang tidak kesampaian, JLo menjelaskan, “Ia sangat menyedihkan kerana kami sepatutnya berkahwin pada bulan Jun dan semuanya sudah dirancang. Bila tiba bulan Mac dan April, kami sudah berkira-kira yang majlis ini tidak akan berlangsung. Keadaan di Itali paling teruk di dunia waktu itu. Dan kami mahu berkahwin di Itali. Jadi saya berkata, ‘Okey, kita kena batalkan semuanya.’”
Kata penyanyi itu, proses membatalkan rancangan tersebut telah membuatkannya berfikir kembali sama ada perkahwinan itu perlu atau tidak. JLo turut mengakui dia terinspirasi dengan kehidupan Goldie Hawn dan Kurt Russell yang telah bersama selama berdekad-dekad namun tidak pernah berumah tangga.
Dalam temu bual terbaharu bersama Andy Cohen untuk rancangan Radio Andy, JLo berkata, “Oh ya, kami telah berbual mengenai hal ini. Maksud saya, dalam usia kami begini, pernah berkahwin sebelum ini, saya terfikir, perlukah kami berkahwin? Atau tidak perlu? Apa makna perkahwinan buat kami?”
Menurut JLo, perancangan kedua mereka yang sepatutnya berlangsung beberapa bulan lalu juga tidak menjadi.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Mac 2019 setelah dua tahun mengenali hati budi masing-masing. Mereka kini tinggal sebumbung bersama sepasang anak kembar JLo dan tiga puteri Alex.