Cuba #Veganuary Bulan Ini - Glam Malaysia
Cuba #Veganuary Bulan Ini

Cuba #Veganuary Bulan Ini

Dilancarkan di United Kingdom sejak 2014, gerakan kesihatan #Veganuary telah menjadi ikutan jutaan fanatik kesihatan di seluruh dunia dengan mengamalkan diet vegan sepanjang bulan Januari.

‘New year, new me’ seringkali menjadi azam tahun baharu yang dilafazkan setiap kali menyambut kehadiran kalendar baharu. Ramai yang bercita-cita untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman dengan memulakan senaman mahupun mencuba diet pemakanan baharu. Mahukan kelainan kali ini? Belum terlewat lagi untuk anda mencuba trend #Veganuary sepanjang bulan Januari 2021.

#Veganuary adalah gerakan kesihatan yang bermula sejak 2014 lagi di United Kingdom. Trend ini telah memberikan inspirasi kepada lebih sejuta orang dari 192 buah negara di seluruh dunia. Pengamal diet vegan hanya boleh memakan hidangan yang berasaskan tumbuhan sahaja. Tanpa bahan makanan daripada haiwan termasuklah telur dan juga produk tenusu. Selain dapat mengurangkan berat badan, ia turut sama dapat membantu menyelamatkan bumi dari krisis iklim global.

Tetapi sebelum anda mencuba diet ini, pastikan anda mendapatkan nasihat pakar kesihatan dan nutrisi. Paling utama, pastikan ia membuat anda gembira. Tiada guna anda mengamalkan diet baharu ini jika ia membuat anda berasa tertekan dan tidak gembira nanti. Kami bariskan 5 tip mudah untuk anda memulakan gerakan kesihatan #veganuary bulan ini, atau anda boleh layari laman sesawang #veganuary untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

See also
Detoks Secara Semula Jadi, Ini 8 Caranya

1. Vegankan Hidangan Kegemaran Anda

Sebelum anda mahu memulakan diet vegan ini, anda tidak perlu risau jika anda tidak dapat menikmati hidangan atau minuman kegemaran anda lagi. Paling utama, anda tidak perlu mengubah citarasa anda semata-mata untuk mencuba gerakan #veganuary ini. Anda hanya perlu menggantikan ramuan asal kepada bahan-bahan yang berasaskan tumbuhan sebagai alternatif baharu. Sebagai contoh buat penggemar kopi bersusu, anda boleh menggantikan susu lembu segar dengan rangkaian susu berasaskan kekacang seperti susu soya, susu oat, susu badam dan banyak lagi.

2. Protein Tinggi Berasaskan Tumbuhan

Ramai yang berpendapat pengamal diet vegan akan mengalami kekurangan nutrisi, terutamanya daripada sumber protein. Daging dan keju, yang merupakan sumber protein dalam diet normal selalunya mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi dan tidak bagus untuk kesihatan kita. Jika anda berminat untuk mencuba gerakan #veganuary ini, antara sumber protein yang boleh anda nikmati termasuklah tauhu, tempe, edamame, kacang kuda, lentil serta kekacang seperti badam dan walnut. Makanan berasaskan kacang soya juga dapat memberikan sumber protein yang sangat tinggi.

See also
3 Bintang Legenda Hollywood Yang Mengamalkan Diet Aneh

3. Nikmati Pelbagai Jenis Sajian

Fungsi utama setiap diet pemakanan yang dicadangkan oleh pakar kesihatan adalah untuk mendapatkan setiap nutrisi yang diperlukan oleh badan dengan seimbang . Pastikan anda merangkumi bahan-bahan ramuan yang penuh khasiat ke dalam setiap sajian anda. Diet vegan tidak bermakna anda hanya dibenarkan untuk makan sayuran hijau sahaja. Contohnya, anda boleh menikmati bijirin bersama kekacang dan susu soya sebagai sarapan, pasta atau sandwic pula untuk sajian tengah hari dan untuk makan malam, anda boleh menikmati hidangan kari kegemaran anda bersama nasi. Anda hanya perlu memastikan semua bahan-bahan digunakan berasaskan tumbuhan sahaja.

4. Pilih Bijian Sempurna

Jika sebelum ini anda gemarkan nasi putih dan pasta, anda tidak perlu melupakan seleksi sajian kegemaran anda jika mahu mencuba gerakan #veganuary ini. Anda hanya perlu menggantikan kepada pilihan bijian sempurna atau whole grain. Anda boleh menggantikan nasi dan pasta dengan bahan seperti beras perang dan quiona sebagai alternatif yang lebih berkahsiat. Ini turut sama akan membekalkan iron dan vitamin B ke dalam diet anda nanti. Bukan sahaja bahan berasaskan bijian sempurna ini akan membuat akan berasa kenyang lebih lama, ia turut dapat membantu anda mengurangkan berat badan dalam masa yang sama.

See also
The New Samsung Galaxy S20 Is Here!

5. Tidak Semua Hidangan Vegan Berkhasiat

Ramai yang masih keliru bukan? Benar, tidak semua hidangan vegan itu berkhasiat dan bagus untuk kesihatan badan anda. Ia bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan dan bagaimana anda menyediakan sajian itu. Bahan vegan yang diproses masih lagi mempunyai kandungan lemak tepu yang hadir daripada minyak kelapa sawit atau kelapa. Hari ini, hampir semua bahan makanan utama hadir dalam pilhan vegan. Anda hanya perlu tahu kandungan bahan yang akan masukkan ke dalam masakan anda. Jangan terkejut jika berat badan anda masih kekal sama selepas anda mencuba #veganuary nanti.

Baca lebih lanjut : 3 Idea Diet Yang Mungkin Akan Gagal

Foto: Edgar Castrejon on Unsplash