Avani+ Khao Lak Resort Destinasi Aman Di Thailand
Nikmati kemewahan moden, keindahan tropika dan pengalaman gaya hidup lengkap di Avani+ Khao Lak Resort di Phang Nga, Thailand.
Terletak di pesisir pantai berpasir putih Bangsak di Phang Nga, Thailand, Avani+ Khao Lak Resort tampil sebagai destinasi tepi laut yang menawan. Dengan keluasan hampir 100,000 meter persegi dan menawarkan 280 bilik, resort ini bukan sahaja merupakan yang terbesar bagi jenama Avani di Thailand, malah menjadi lambang gaya hidup moden yang menggabungkan keindahan semula jadi dengan kemudahan kontemporari. Setiap sudut resort ini dilengkapi dengan kehendak pelancong hari ini sama ada pasangan yang mencari ketenangan, keluarga dengan anak kecil, atau mereka yang ingin mengimbangi kerja dan percutian.
Minimalis tapi mewah

Dari segi penginapan, tetamu diberi pilihan pelbagai kategori bilik yang disesuaikan mengikut keperluan. Premier Rooms dengan balkoni luas direka khusus untuk pasangan dan pengembara solo yang mahukan suasana intim dan tenang, manakala Two Bedroom Suites menyediakan ruang besar lengkap dengan ruang tamu, ruang makan, katil king dan twin, serta pemandangan taman yang menenangkan sesuai untuk keluarga atau kumpulan yang inginkan keselesaan maksimum. Setiap rekaan bilik menampilkan sentuhan moden yang minimalis tetapi tetap mewah, membolehkan tetamu benar-benar menikmati pengalaman tinggal di resort tepi laut.
Menariknya, resort ini turut memperkenalkan AvaniFit, sebuah konsep gaya hidup baharu daripada Avani yang menekankan keseimbangan kesihatan dengan keseronokan. Dibuka 24 jam sehari, ruang kecergasan ini lebih daripada sekadar gimnasium, ia menawarkan program seperti latihan ketahanan, aerobik, kelas HIIT, hinggalah ke aktiviti unik seperti yoga tergantung dan wall climbing di dalam dan di luar. Mereka yang lebih gemar aktiviti luar pula boleh mencuba kayak, kursus beach assault, latihan renang di kolam, atau kelas tenis dan tinju. Avani+ benar-benar mahu mengubah cara tetamu berinteraksi dengan kecergasan menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan.

AvaniSpa
Selain kecergasan, kesejahteraan tubuh dan minda turut diberi perhatian. AvaniSpa menjadi pusat rawatan utama yang menggabungkan terapi pemulihan dengan sesi memanjakan diri. Terdapat enam bilik rawatan yang terletak di taman tropika, memberi suasana semula jadi untuk terapi badan, wajah, serta pakej pemakanan dan kesihatan. Bagi keluarga, terdapat juga rawatan ekspres serta rawatan spa mesra kanak-kanak, membuktikan bahawa konsep wellness di resort ini inklusif untuk semua peringkat umur.

AvaniArcade
Bagi keluarga yang datang bersama anak-anak, Avani+ Khao Lak memang direka sebagai syurga mereka. AvaniKids Club, kelab kanak-kanak dua tingkat terbesar di Khao Lak, dilengkapi zon permainan mengikut usia, papan permainan klasik, serta taman permainan yang selamat. Remaja pula boleh berseronok di AvaniArcade, ruang interaktif dengan pelbagai permainan arked, billiard, ping pong, dan banyak lagi. Lebih menarik, resort ini turut menyediakan taman skate peribadi lengkap dengan pump track, ramp dan fun box untuk kanak-kanak yang aktif, serta taman percikan air dan aktiviti pantai untuk memastikan mereka sentiasa terhibur sepanjang percutian.
Pengalaman kulinari juga tidak kurang hebatnya. Resort ini menawarkan pelbagai pilihan restoran dan bar yang mampu memuaskan citarasa antarabangsa. The Beach House dengan pemandangan lautan Andaman menyajikan makanan laut segar, hidangan Thai pedas, burger hingga Wagyu sliders. Elements menyediakan bufet sarapan yang lazat dan sajian sepanjang hari, manakala Mi Scusi, restoran Itali di tepi kolam, menghidangkan pizza, pasta, salad istimewa dan pencuci mulut kreatif. Bagi pencinta koktel, The Mojito Factory adalah destinasi unik dengan koleksi mojito yang diinovasi khas. Sementara itu, The Beach Bar menjadi lokasi pilihan untuk menikmati minuman sambil menyaksikan matahari terbenam yang menakjubkan.
Bukan itu sahaja, resort ini turut menyajikan pengalaman makanan santai tetapi penuh gaya. The Pantry, menampilkan konsep makan segera dengan salad, sandwic, jus segar dan pastri, sesuai untuk mereka yang sibuk atau ingin berkelah di pantai. Scoop It pula menggembirakan tetamu dengan aiskrim buatan tangan yang menyegarkan, manakala Burger N’ Wings, trak makanan tepi laut, menghidangkan burger berjus dan chicken wing rangup untuk suasana lebih kasual. Semua bahan yang digunakan pula diperoleh secara bertanggungjawab, selaras dengan komitmen Avani terhadap kelestarian.
Bagi mereka yang ingin menerokai lebih jauh, resort ini menjadi pintu masuk ke pelbagai destinasi menarik sekitar Khao Lak. Tetamu boleh menyertai kelas memasak Thai, yoga ketika matahari terbit, atau berbasikal santai di sepanjang pesisir pantai untuk mengunjungi pasar Bang Niang yang meriah. Bagi mereka yang sukakan cabaran, pilihan lebih lasak seperti meredah hutan, arung jeram, atau melakukan lawatan sehari ke pulau terkenal seperti Kepulauan Similan, Teluk Phang Nga, dan Koh Phi Phi turut disediakan. Perjalanan ke bandar lama Takuapa juga memberi peluang untuk menyingkap sejarah dan budaya tempatan yang memikat.

The Beach House
Selain sebagai destinasi percutian, resort ini juga ideal untuk acara dan majlis. Dengan lebih 1,000 meter persegi ruang mesyuarat, termasuk ballroom yang boleh menampung sehingga 500 tetamu, ruang luar berlandskap indah, pavilion perkahwinan, serta lokasi tepi pantai yang romantis, Avani+ Khao Lak menyediakan pelbagai pilihan untuk perkahwinan, acara korporat, mahupun sambutan istimew yang penuh bergaya. Lokasinya yang hanya sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket menambah kemudahan akses ke sini.
Artikel Berkaitan: Percutian Safari Mewah di Thailand
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

