Angelina Jolie Lalui Kehidupan Sukar Selepas Bercerai - Glam Malaysia
Angelina Jolie Lalui Kehidupan Sukar Lima Tahun Selepas Bercerai

Angelina Jolie Lalui Kehidupan Sukar Selepas Bercerai

Lima tahun sudah berlalu sejak perpisahan pasangan popular, Angelina Jolie dan Brad Pitt pada 2016.

Kini sebagai ibu tunggal kepada enam cahaya mata yang sedang bergelut dengan hak penjagaan anak, Jolie bersedia meluahkan segala keperitan yang dilalui sejak beberapa tahun lalu dan fokusnya untuk merawat luka di hati anak-anaknya.

Menerusi satu wawancara bersama British Vogue, Jolie berbicara mengenai segalanya daripada aspek keibuan sehinggalah topik kegembiraan secara umum.

Satu perkara yang sangat jelas, perhatian penuh terhadap kesemua cahaya matanya tetap tidak berubah, walaupun mereka kini telah bergelar remaja. Yang sulung, Maddox berusia 19 tahun manakala si bongsu Knox kini 12 tahun.

Apabila ditanya adakah dia sudah memasuki tahap bahagia dalam hidup, pelakon Mr. & Mrs. Smith ini tanpa berselindung menjawab, “Saya tidak tahu. Saya sedang memberi fokus untuk memulihkan keluarga kami. Ia sedang kembali perlahan-lahan, ibarat ais mencair dan darah kembali ke dalam tubuh saya.”

See also
Tip Berpuasa Sempena Bulan Ramadan

Namun Jolie percaya, perkara baik bakal berlaku dan dia akan mencapai kemajuan terbesar dalam hidup pada usia 50-an. Malah selorohnya, di kala dia sedang teruja meniti usia tua, anak-anaknya kini sangat mengambil berat kesejahteraan dirinya.

“Pernah satu hari kami berada di atas trampolin, anak-anak tiba-tiba berkata, ‘Jangan lakukannya ibu, nanti tercedera.’ Dan saya terfikir, ‘Oh Tuhan, bukankah ia melucukan? Dahulu saya merupakan pelakon aksi dan sekarang anak-anak meminta saya turun dari trampolin kerana bimbang saya cederakan diri sendiri.”

Angelina Jolie on How Her Kids Are Handling Quarantine in February 2021
Foto: Monica Schipper/Getty Images

Ogos tahun lalu, Jolie meluahkan kegembiraan kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga besarnya. Namun setelah kemunculan pandemik Covid-19, dia sedar sekatan pergerakan dan perintah berkurung di rumah mula membebaninya. Pemenang Academy Award ini mengakui, dia mungkin tidak mempunyai kemahiran keibubapaan yang diperlukan.

“Saya tidak reti duduk diam. Walaupun saya mahu mempunyai ramai anak dan menjadi ibu, saya selalu membayangkan Jane Goodall, mengembara di tengah hutan belantara. Saya tidak membayangkannya dalam situasi sebenar.”

See also
Chef Cinta Terbaru Katie Holmes

Itu tidak bermakna pengarah Unbroken ini mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu, kerana sumber kebahagiaannya adalah anak-anak. Namun realiti terbaharu selepas perceraian dan terperangkap dalam perintah berkurung telah mendedahkan beberapa kebenaran mengenai dirinya.

“Rasanya saya kurang kemahiran untuk menjadi suri rumah tradisional.” Namun dia bersyukur kerana anak-anak sentiasa membantu dan memberi sokongan.

Walaupun meragui kemampuan diri, ternyata Jolie menjalankan tanggungjawab sempurna sebagai ibu dengan memberi nasihat dan sokongan kepada anak-anaknya saat mereka menjadi tumpuan media disebabkan kisah perpisahannya dengan Pitt.

Jolie menjelaskan impak media terhadap cahaya matanya kala dia berdiam diri setelah kehidupan cintanya berakhir.

“Ada yang mengambil kesempatan apabila saya mengunci mulut, dan anak-anak melihat penipuan yang ditulis mengenai diri mereka di media. Namun saya sentiasa mengingatkan bahawa mereka tahu kebenaran mengenai diri dan fikiran mereka sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Jolie mendedahkan dia berpisah dengan Pitt selepas 12 tahun menjalin hubungan adalah demi masa depan anak-anak mereka.

Foto: Guerlain

Baca: Undang Sebak! Angelina Jolie Menghantar Anaknya Sambung Pelajaran Di Universiti

See also
Jang Nara Bakal Bergelar Isteri