6 Filem Paling Dinantikan Di Venice Film Festival 2025
Festival Filem Venice ke-82 menyinari kembali Lido dengan pelbagai karya sinematik berani yang menggugah minda, merentasi sempadan genre, moral dan konsep dari satira gelap hingga dokumentari fesyen eksklusif.
Festival Filem Venice kali ini bukan sekadar satu acara perayaan filem, tetapi juga merupakan medan pertembungan bintang, seni dan pemikiran yang mendalam. Setiap tahun, festival yang berlangsung di Lido ini sentiasa mempersembahkan karya-karya sinematik yang memukau, Namun edisi kali ini tampak lebih gemilang dengan kehadiran barisan bintang terkenal seperti George Clooney, Julia Roberts, Cate Blanchett, serta pengarah-pengarah tersohor yang kembali setelah sekian lama menyepi. Dengan tema yang tersendiri, filem-filem dalam persaingan kali ini membawa penonton melalui perjalanan yang penuh dengan ketegangan, keindahan visual serta refleksi sosial yang mendalam dan GLAM kongsikan 6 filem yang paling dinantikan di festival berprestij ini.
6 Karya Filem Terhangat Di Venice Film Festival 2025
1. After The Hunt (Luca Guadagnino)

Luca Guadagnino, seorang pengarah yang tidak asing dengan dunia seni, kembali dengan filem After the Hunt, sebuah genre thriller moral yang dibintangi oleh Julia Roberts dan Andrew Garfield. Berlatar belakangkan dunia akademik, filem ini menyentuh isu pembatalan budaya dan perbezaan generasi di kampus, sambil memberi ruang untuk perdebatan tentang kesan media sosial terhadap reputasi peribadi. Dengan sentuhan muzik daripada Trent Reznor dan Atticus Ross, After The Hunt menjanjikan pengalaman yang tidak mudah dilupakan.
2. Bugonia (Yorgos Lanthimos)

Yorgos Lanthimos, dengan sentuhan gelap dan satira khasnya, mengadaptasi Save the Green Planet ke dalam Bugonia. Di dalam filem ini, pemenang Oscar 2024, Emma Stone kembali berkolaborasi dengan Lanthimos sebagai seorang CEO yang diculik oleh seorang teori konspirasi, dibawakan dengan penuh kelucuan yang mengerikan. Keberanian Lanthimos dalam menggali tema sains fiksyen yang gelap dan disatukan dengan komedi hitam diharapkan memberi satu lagi mahakarya di Venice.
3. Frankenstein (Guillermo del Toro)

Pengarah legenda, Guillermo del Toro, membawa karya agung Mary Shelley ke layar perak dengan sentuhan visual dan emosi yang mendalam. Dalam Frankenstein, Oscar Isaac berperanan sebagai Victor Frankenstein, manakala Jacob Elordi membawa watak ciptaan Victor, sebuah makhluk yang menuntut balas dendam. Aktres Mia Goth pula membawa dua peranan berbeza, yang mana karya ini bukan hanya sebuah adaptasi klasik, tetapi juga sebuah eksplorasi kemanusiaan yang penuh dengan elemen Gothic yang memukau.
4. Marc by Sofia (Sofia Coppola)

Sofia Coppola, yang terkenal dengan pendekatan visualnya yang elegan dan penuh kepekaan, memulakan perjalanan dalam dunia dokumentari dengan Marc by Sofia. Filem ini menawarkan pandangan eksklusif kepada dunia kreatif pereka fesyen Marc Jacobs dan persahabatannya dengan Coppola yang telah berlangsung selama bertahun-tahun. Diharapkan karya ini memberi pencerahan kepada dunia fesyen yang selama ini sering dikelilingi akan gaya hidup yang glamor.
5. The Testament of Ann Lee (Mona Fastvold)

Mona Fastvold membawa kita menyusuri sejarah agama Shaker melalui The Testament of Ann Lee. Amanda Seyfried yang memukau dalam peranan Ann Lee, pemimpin sekte Shaker, membawa penonton ke dalam dunia yang penuh dengan kepercayaan dan pengorbanan. Filem ini menjanjikan sebuah naratif yang mendalam tentang pencarian makna dalam dunia yang penuh dengan kontradiksi.
6. The Smashing Machine (Benny Safdie)

Menggabungkan dua nama besar dalam dunia perfileman, Dwayne “The Rock” Johnson dan Benny Safdie, The Smashing Machine adalah sebuah biografi yang membawa kita ke dalam dunia perjuangan fizikal dan mental seorang legenda MMA, Mark Kerr. Dengan sisi estetika yang bersahaja, filem ini mengisahkan kesakitan yang tersembunyi di balik kegemilangan, menggambarkan sisi gelap obsesi terhadap kejayaan.
Artikel berkaitan: Venice Film Festival 2016: 5 Filem Wajib Tonton
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

