Melancong ke Switzerland? Ini 5 Destinasi Percutian Wajib Lawati di Graubunden, Switzerland
GLAM bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio terbang ke destinasi percutian nombor satu di Switzerland iaitu Graubunden yang merangkumi Celerina, Pontresina dan St.Moritz yang mengagumkan.
Switzerland pastinya menjadi destinasi percutian idaman setiap kali tiba musim sejuk pada penghujung tahun bukan? Tetapi hari ini, Switzerland juga kian popular di kalangan pelancong pada musim bunga dan luruh dengan cuaca dan suasana yang mempersonakan.
Dari filem Bollywood dan kini menjadi latar kepada siri K-drama yang sangat popular, “Crash Landing On You” yang menampilkan Hyun Bin dan Son Ye-jin. Keindahan pergunungan Swiss Alps tiada tandingannya. Lantas, Graubunden yang merupakan sebuah kanton yang merangkumi Celerina, Pontresina dan St.Moritz yang mempersonakan terus diangkat sebagai destinasi pelancongan nombor satu di Switzerland.
5 Tempat Menarik Di Destinasi Percutian Nombor Satu Switzerland
Dianugerahi dengan lembah menghijau dan banjaran gunung bersalji yang memukau, GLAM terbang ke Switzerland untuk menerokai Graubunden bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio. Perjalanan dari Zurich ke Celerina mengambil masa empat jam dengan menaiki tren. Untuk memberikan kemudahan dari segi pengangkutan, pengunjung boleh mendapatkan Swiss Travel Pass untuk digunakan sepanjang percutian.
Berikut adalah tempat-tempat menarik yang wajib dikunjungi di Graubunden, Switzerland:
1. St. Moritz
Antara destinasi yang paling popular di Switzerland, St. Moritz terus menjadi lokasi percutian pilihan bintang Hollywood, selain menjadi latar dalam filem-filem klasik dengan pemandangan yangluar biasa. Walaupun kecil dari segi saiz, St. Moritz adalah destinasi beli-belah utama yang menampilkan seleksi butik daripada jenama-jenama mewah dari seluruh dunia. Bukan sahaja butik pakaian, juga terdapat rangkaian butik perhiasan kemas mewah dan jam tangan utama yang sinonim dengan Switzerland.
Coklat dan Switzerland seperti tidak boleh dipisahkan. Apabila melawat St. Moritz, pengunjung boleh menikmati minuman coklat panas dan pastri di Hanselmann yang merupakan sebuah kafe juga bakeri dengan warisan sejarah sejak 125 tahun lagi. Lebih-lebih lagi ketika cuaca sejuk, coklat panas sudah menjadi tradisi buat setiap pengunjung untuk berehat sebentar selepas seharian mengembara sekitar kota.
2. Hotel Cresta Palace
Tradisi bertemu dengan kemodenan. Hotel Cresta Palace yang terletak di Celerina ini memberikan pengalaman penginapan yang penuh energi dalam warisan tradisi yang mewah. Sejak 2022, pengunjung boleh menikmati estetika Art Nouveau nan elegan. Ia mempunyai 40 ruang penginapan dan suite yang telah direnovasi dengan memberikan perincian yang penuh karakter.
Dengan berlatarkan pergunungan Trais Fluors yang diliputi salji pada musim sejuk. Peminat sukan ski boleh menikmati keajaiban di kawasan ski Corviglia yang terletak bersebelahan dengan hotel ini. Selain kolam renang indoor, pengunjung juga boleh menikmati rawatan spa di Vita Pura Spa. Ia menawarkan rawatan muka dan urutan badan yang menenangkan selepas seharian meneroka kawasan sekitar Celerina.
3. Bernina Express
Pengalaman percutian di Switzerland seperti tidak sempurna tanpa menaiki tren Bernina Express. Ia berlatarkan UNESCO World Heritage Site dan lanskap Alpine yang mengagumkan. Tren unik ini akan melalui trek yang tertinggi dan paling curam di Eropah dalam melintasi 55 buah terowong dan 196 buah jambatan keseluruhan.
Bermula di Chur atau St. Moritz dan berakhir di Tirano ataupun Poschiavo, tren ini menjanjikan pengalaman yang tiada tandingan dengan latar yang mengagumkan seperti glasier dan tasik membiru yang cukup mempersonakan. Pengalaman yang pastinya menjadi highlight untuk percutian Switzerland yang tidak akan dilupakan oleh semua pengunjung.
*Tiket Bernina Express tidak termasuk dalam Swiss Travel Pass
4. Segantini Museum
Buat peminat seni, muzium yang terletak di St. Moritz ini wajib untuk dikunjungi. Menampilkan karya milik Giovanni Segantini yang memain peranan penting dalam mengetengahkan lukisan Alpine. Serta mewakili seni Symbolism pada akhir kurun ke-19.
Muzium ini menampilkan karya-karya agung sepanjang hayatnya yang berakhir secara tragis pada usia 41 tahun. Dia telah meniggal dunia di pergunungan Pontresina yang terletak berhampiran dengan muzium ini. Antaranya karya Alpine Triptych yang menampilkan tiga lukisan bersaiz besar. Ia berjudul “Life”, “Nature”, dan juga “Death” yang belum lengkap dan merupakan karya terakhirnya.
5. Mouttas Muragl
Salah satu destinasi yang menjanjikan pemandangan panorama pergunungan yang paling memukau di St. Moritz, Switzerland. Pengunjung boleh menaiki funikular atau mendaki ke puncak untuk menyaksikan lanskap di atas beberapa tasik Upper Engardine yang indah.
Mula dibina antara 1905 dan 1907, landasan funikular yang sepanjang 700 meter ini akan mendaki dari Punt Muragl ke Mouttas Muragl. Ia terletak pada altitud 2454 meter di atas paras laut. Pengunjung boleh menikmati secangkir kopi panas sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang tiada tandingan.
Untuk memudahkan pengembaraan anda di Switzerland, Swiss Travel Pass boleh didapati dalam pilihan tiga sehingga 15 hari. Pengunjung boleh menggunakan kesemua jenis pengangkutan awam termasuklah tren, bas dan bot di seluruh negara. Tidak perlu membuat tempahan terlebih dahulu. Pengunjung boleh menggunakannya pada sepanjang hari, selain boleh memasuki lebih 500 muzium dan lokasi percutian terpilih secara percuma.
Foto: Switzerland Tourism & Heavens Portfolio
Baca lebih lanjut: Meraikan Planet OMEGA Bersama Cindy Crawford Dan Kaia Gerber