5 Filem Hebat Lakonan Christian Bale
Christian Bale terkenal dengan transformasi fizikalnya untuk menjayakan pelbagai watak.
Bintang versatil ini membuat kemunculan sulung sebagai pelakon pada usia 13 tahun menerusi filem perang arahan Steven Spielberg, Empire of the Sun (1987).
Sejak itu perjalanan kerjayanya terus mekar. Christian terus membintangi filem popular seperti American Psycho, The Prestige, trilogi Batman dan The Fighter yang membantunya menggondol trofi Anugerah Akademi dan Golden Globe. Kini dia tersenarai sebagai salah seorang bintang paling disegani di Hollywood.
Berikut lima filem terbaik Christian Bale menurut Rotten Tomatoes
5. Ford v Ferrari (2019)
Skor Rotten Tomatoes: 92%
Sinopsis: Berdasarkan kisah benar, filem ini mengisahkan tentang pereka automotif Carroll Shelby (Matt Damon) dan pemandu kereta lumba Ken Miles (Christian Bale). Mereka berganding bahu mencipta kereta tercanggih untuk bersaing dalam perlumbaan antarabangsa menentang jenama terkenal, Ferrari.
4. American Hustle (2013)
Skor Rotten Tomatoes: 92%
Sinopsis: Penyangak Irving Rosenfield (Christian) dan Sydney Prosser (Amy Adams) terpaksa bekerjasama dengan ejen FBI Richie DiMaso (Bradley Cooper) untuk mendapat pengampunan. Malangnya mereka dipergunakan untuk operasi berbahaya bagi menangkap penjenayah dari kalangan orang ternama.
3. Little Women (1994)
Skor Rotten Tomatoes: 93%
Sinopsis: Adaptasi novel klasik Louisa May Alcott ini menyusuri kehidupan empat beradik perempuan — Meg (Trini Alvarado), Jo (Winona Ryder), Amy (Kirsten Dunst) dan Beth (Claire Danes) — ketika membesar di tengah-tengah Perang Saudara Amerika di New England. Christian memainkan watak Theodore ‘Laurie’ Laurence, seorang jejaka yang cuba memenangi hati Jo.
2. The Dark Knight (2008)
Skor Rotten Tomatoes: 94%
Sinopsis: Batman (Christian) mempunyai musuh baru, Joker (Heath Ledger) yang bersungguh-sungguh mahu memusnahkan Gotham City. Bersama James Gordon (Gary Oldman) dan Harvey Dent (Aaron Eckhart), Batman nekad menggagalkan rancangan Joker sebelum terlambat.
1. Henry V (1989)
Skor Rotten Tomatoes: 98%
Sinopsis: Tragedi Shakespeare ini menggambarkan penderitaan Raja Henry V muda (Kenneth Branagh) kala perkelahiannya dengan Raja Charles dari Perancis (Paul Scofield) memuncak dan bertukar menjadi perang besar. Christian muncul dalam filem itu sebagai Robin, perantis kepada Sir John Falstaff (Robbie Coltrane).
Foto: Getty Images