5 Destinasi Melancong Di Zurich, Switzerland Pilihan GLAM - Glam Malaysia
melancong Switzerland

5 Destinasi Melancong Di Zurich, Switzerland Pilihan GLAM

Dari lokasi penggambaran siri K-drama, “Crash Landing On You” kepada muzium coklat terbesar di Switzerland, GLAM bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio terbang ke kota Zurich untuk menikmati percutian luar biasa yang tidak boleh dilupakan.

Sebuah kota yang terletak di pusat benua Eropah. Zurich merupakan bandar terbesar di Switzerland, yang juga merupakan salah satu pusat kewangan global terpenting di dunia. Terletak di kaki pergunungan Swiss Alp, Zurich merupakan titik mula untuk pengembaran penuh magis ke seluruh Switzerland.

Zurich Airport selaku lapangan terbang utama menghubungkan kota ini kepada 170 destinasi di seluruh dunia, dan hanya 10 minit perjalanan ke Zurich Main Station dengan menggunakan tren. GLAM terbang ke Zurich dari Singapura bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio untuk menerokai kota Zurich yang Penh magis.

Berikut adalah 5 destinasi melancong yang perlu anda kunjungi ketika berada di Zurich, Switzerland:

1. Water City

Keindahan lanskap kota yang luar biasa ini tidak boleh dipertikaikan. Berlatarkan Tasik Zurich serta pergunungan Alp yang putih bersalji, kota yang terletak di utara Switzerland ini juga dikenali sebagai Water City. Ini kerana kota ini dibina mengelilingi Tasik Zurich yang menjadi asas kepada lanskap ikoniknya. River Limmat yang merentasi kawasan kejiranan Old Town puila memberikan suasana Mediterranean yang nyaman penuh ketenangan.

See also
Pete Davidson Berjaya Tawan Hati Seorang Lagi Jelitawan

Zurich Switzerland

Pengunjung boleh memilih untuk menaiki bot untuk menikmati perspektif pemandangan kota yang berbeza, selain menuju ke lokasi perlancongan di sekitar kota. Lebih menarik, air minuman boleh didapati secara percuma di hampir seluruh sudut kota kerana Zurich mempunyai air pancuran awam tertinggi di dunia.

2. Hospitaliti 175 Tahun di Baur au Lac

Namanya bermaksud inovasi melalui tradisi selama lebih 175 tahun. Berlokasi di pusat kota Zurich, Baur au Lac yang pertama membuka pintu pada 1844 pernah menjadi hotel pilihan kerabat diraja dan bintang Hollywood seperti Empress Sisi dan Audrey Hepburn. Hotel lima-bintang penuh sejarah ini menyajikam latar pemandangan Tasik Zurich dan juga pergunungan Alp yang agung. Baur au Lac menetapkan standard tertinggi dalam industri perhotelan mewah di Zurich dan Switzerland dengan layanan hospitaliti yang tiada tandingan.

Terdapat 119 buah ruang penginapan yang diinspirasikan daripada seni Art Deco dan Louis XVI dengan desain yang eksklusif dan elegan. Juga menempatkan beberapa restoran yang terbaik di Zurich, seperti Brasserie & Bar Baur’s yang meraikan sejian klasik Eropah dalam seni dekorasi yang cukup ikonik. Le Hall pula menjadi pilihan pengunjung untuk menikmati kesenian minum petang yang menjadi signature di sini. Sehingga hari ini, Baur au Lac terus mengekalkan reputasi sebagai salah sebuah hotel yang terbaik di dunia.

See also
Gaya Selebriti Di Karpet Merah Ulang Tahun ke-50 American Music Awards

3. Keangungan Kota Lama Zurich

Eksplorasi kota boleh dimulakan di Old Town. Kawasan kejiranan yang disulami dengan sejarah Renaissance, serta seni bina kota lama Eropah dan jalanan batu yang dikelilingi oleh barisan restoran, kafe, serta kedai-kedai yang menjual barangan buatan tempatan.

old town Zurich

Beberapa lokasi utama di Zurich juga kini menjadi tumpuan peminat K-drama dari seluruh dunia. Siri popular “Crash Landing On You” yang dibintangi oleh Hyun Bin dan Son Ye-jin telah dirakamkan di Lindenhof dan Münsterbrücke yang berlatarkan Old Town dan River Limmat yang ikonik. Pastinya menjadi lokasi wajib lawati untuk merakamkan foto kenangan.

4. Muzium Coklat Terbesar di Switzerland

Seperti tidak sempurna kunjungan anda ke Zurich tanpa melawat Lindt Home of Chocolate. Muzium coklat terbesar di Switzerland ini menawarkan pengalaman interaktif kepada peminat coklak tanpa kira usia. Di sini, pengunjung dapat belajar mengenai proses pembuatan coklat Lindt yang sudah sinonim dengan warisan kebudayaan Swiss yang istimewa. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan oleh-oleh di Lindt Chocolate Shop yang terbesar untuk dibawa pulang nanti.

See also
GLAM PROFIL: Z FOR ZAMAERA!

5. Kota Kesenian Kontemporari

Zurich juga terkenal sebagai destinasi utama untuk seni kontemporari. Mengangkat kesenian sebagai tunjang utama, ia merupakan sektor ekonomi kedua terpenting di Canton of Zurich selepas industri kewangan. Di sini, pengunjung boleh melawati lebih 50 muzium dan 100 galeri seni yang boleh dikunjungi sekitar kota.

melancong Switzerland

Kebanyakan muzium dan galeri seni ini masuk secara percuma dengan menggunakan Swiss Travel Pass. Boleh digunakan untuk memudahkan pengembaran di Zurich dan seluruh Switzerland, Swiss Travel Pass ini boleh didapati dalam pilihan tiga hingga 15 hari, untuk digunakan pada semua jenis pengangkutan awam termasuklah tren, bas dan bot.

 

Baca lebih lanjut: Melancong ke Switzerland? Ini 5 Destinasi Percutian Wajib Lawati di Graubunden, Switzerland