10 Konsert Yang Bakal Berlangsung Di Malaysia Tahun 2024
10 Konsert Yang Bakal Berlangsung Di Malaysia Tahun 2024

10 Konsert Yang Bakal Berlangsung Di Malaysia Tahun 2024

Ketika pergi ke konsert lokal atau antarabangsa, perasaan teruja berada di konsert akan sentiasa ada membuatkan adrenalin kita melonjak naik!  

Peminat-peminat konsert pastinya tidak boleh melepaskan peluang daripada menonton artis kegemaran mereka membuat persembahan secara live, baik lokal mahupun antarabangsa. Daripada pop ke klasik, setiap orang pasti mempunyai genre pilihan tersendiri untuk menghadiri konsert. Ayuh GLAM kongsikan 10 konsert yang bakal berlansung di Malaysia pada tahun ini.

#1 DOLLA [RE:BIRTH THE EXPERIENCE]

Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, kumpulan wanita kesayangan Malaysia, DOLLA akan melakukan konsert sulung mereka pada 3 Ogos 2024 ini. Walaupun kini tinggal bertiga, Sabronzo, Angel dan Tabby masih lagi mempamerkan corak persembahan yang hebat dari kumpulan Dolla. Tiket DOLLA [RE:BIRTH THE EXPERIENCE] boleh didapati daripada harga RM149 sehingga RM259 dan RM9888 untuk VIP Box. Dolla yang membuat debut pada tahun 2020 pernah muncul di dalam rancangan televisyen di China, Show It All, yang diterbitkan oleh Lay dari EXO. Dolla menjadi wakil kumpulan wanita daripada Malaysia dan mendapat tumpuan hebat daripada rakyat di China. 

#2 2024 SUPER JUNIOR [Super Show Spin-Off : Halftime] Asia Tour

Super Junior yang menyambut ulang tahun ke-19 pada tahun ini akan kembali ke Malaysia selepas dua tahun. SUPER SHOW SPIN-OFF akan berlangsung di Axiata Arena pada 3 Ogos 2024. Di dalam pengumuman jelajah Asia mereka, kumpulan terbesar di Korea Selatan ini akan berhenti di 10 bandar sepanjang Asia daripada Jun sehingga September. Kali terakhir Super Junior ke Malaysia ialah pada tahun 2022 juga bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil. Harga tiket konsert ini bermula daripada RM398 hingga RM998. Super Junior terkenal dengan lagu hit mereka daripada tahun 2009, Sorry Sorry. 

#3 CIPTA Dato’ M.Nasir

Penyanyi dan penulis lagu lagenda Malaysia, Dato’ M.Nasir akan kembali dengan konsert  CIPTA DATO’ M.NASIR pada 10 Ogos 2024. Tahun lepas, Dato’ M.Nasir telah mengadakan konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir di Plenary Hall, KLCC dan pada tahun ini, skalanya dibesarkan lagi kerana konsert ini akan diadakan di  Axiata Arena, Bukit Jalil. Hampir semua tiket untuk konsert ini habis dijual. Impak Dato’ M.Nasir dalam industri seni negara sangatlah besar. Dato’ M.Nasir yang kini berumur 66 tahun masih lagi giat dalam bidang seni. 

#4 Siti Nurhaliza Cinta Di Awan 

Pada hari yang sama, seorang lagi penyanyi lagenda Malaysia, Siti Nurhaliza atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Iti akan melangsungkan konsertnya di Arena of Stars, Resort World Genting 10 dan 11 Ogos 2024. Siti Nurhaliza merupakan seorang ikon muzik di Malaysia dengan bakat nyanyiannya yang luar biasa. Tiket konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan ini boleh didapatkan sekarang dengan harga daripada RM248 hingga RM688. 

#5 Doh Kyungsoo Asia Fan Concert Bloom

Vokalis daripada kumpulan lelaki terkenal Korea Selatan EXO, Doh Kyungsoo akan melakukan Asia Fan Concert yang pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil. Terkenal dengan lagu That’s Okay, Kyungsoo akan membuat persembahan sambil berinteraksi dengan peminat-peminat ketika berlangsungnya konsert itu. Pernah ke Malaysia sebelum ini bersama ahli kumpulannya yang lain, kini Kyungsoo akan datang sebagai soloist. Selain daripada bakat nyanyiannya, Kyungsoo juga terkenal dengan bakat lakonannya. Kyungsoo akan datang ke Malaysia pada 17 Ogos 2024 dan tiket konsertnya sudah boleh didapatkan dalam lingkungan harga RM488 hingga RM928. 

#6 A Night at the Opera 

Sebagai penghormatan untuk kematian komposer daripada Itali, Giacomo Puccini, yang sudah jejak 100 tahun, Malaysian Philharmonic Orchestra ingin menunjuk tanda penghargaan terhadap karyanya, Turandot yang mengisahkan tentang Putera Calaf yang jatuh cinta kepada Puteri Turandot dan perlu menyelesaikan 3 teka-teki untuk mengahwininya. Persembahan ini tidak boleh dilepaskan lebih-lebih lagi untuk peminat muzik orchestra. A Night at the Opera akan berlangsung pada 17 Ogos 2024 di Malaysian Philharmonic Orchestra.

#7 Laufey – Bewitched: The Goddess Tour 

Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Iceland ini mempunyai nama yang besar dalam industri muzik lebih-lebih lagi dalam kalangan muda. Laufey yang sering menghias lagunya dengan elemen klasik dan jazz ini akan ke Malaysia untuk jelajahnya di seluruh Asia dan Australia. Laufey akan berada di Plenary Hall KLCC pada 27 Ogos 2024 untuk konsert sulungnya. Antara lagu terkenal dari Laufey ialah From The Start dan Let You Break My Heart Again. Tiket konsert Laufey – Bewitched: The Goddess Tour telah kehabisan dijual pada 7 Mei yang lalu.

#8 LANY – a beautiful blur: the world tour

Kumpulan pop rock LANY akan kembali ke Malaysia pada 22 September 2024. LANY yang terdiri daripada tiga orang anggota terkenal dengan lagu mereka, Malibu Night. LANY akan melakukan konsert mereka di Axiata Arena, Bukit Jalil. Album terbaru mereka, a beautiful blur ialah studio album mereka yang kelima dan telah debut nombor dua di carta Billboard’s Current Rock Albums. Harga tiket LANY berada dalam lingkungan RM298 sehingga RM1588 dan sudah boleh dibeli.

#9 Aisha Retno Malam Sutera 

Bertempat di Zepp KL, penyanyi berbakat Malaysia Aisha Retno akan mengadakan konsert solo buat pertama kalinya. Aisha yang terkenal dengan kreativitinya ketika melakukan persembahan sudah tentu membuat orang ramai tertunggu-tunggu dengan konsertnya pada 16 November 2024 ini. Aisha kini sedang menyertai rancangan The Hardest Singing Show dan sentiasa kekal di tangga ketiga teratas setiap minggu. Tiket untuk Aisha Retno Malam Sutera  sudah mula dijual dengan harga dari RM199 hingga RM325 dan RM4000 untuk VIP Box.

konsert

#10 Dua Lipa Radical Optimism Tour 

Tidak cukup sehari kerana tiket habis dijual, Dua Lipa menambah satu lagi hari untuk konsertnya di Malaysia. Bakal bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, ini merupakan kali ketiga Dua Lipa datang untuk membuat persembahan di Malaysia. Penyanyi kelahiran London ini menjadi lebih terkenal ketika tahun 2017 dengan lagunya, New Rules. Kolaborasinya bersama bintang terkenal seperti Calvin Harris dan BLACKPINK juga menjadi tumpuan ramai. Konsert Dua Lipa di Malaysia akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024.