The Year Of Yuna

The Year Of Yuna

Mengubah pandangan 360 darjah pada hari penggambaran, boleh dikatakan separuh daripada pasukan Glam turun padang untuk menjayakan sesi penggambaran bersama dengan Yuna untuk mengenakan busana lengkap Chanel. Melangkah masuk ke dalam studio, Yuna dilihat hadir bersama-sama dengan pasangan hidupnya, Adam Sinclair. Juga turut tidak terlepas dari pandangan apabila Yuna hadir dengan menyarungkan blazer yang bersaiz besar, dikenakan dengan baju berkolar tinggi dengan warna vibrant seolah-olah mempunyai efek celupan warna yang diikat, serta kasut but berwarna hitam. Jelas sekali gaya tanpa usaha yang dibawa oleh Yuna melambangkan personalitinya yang bersahaja, mesra, dan bersedia untuk melakukan sesuatu perkara. Sebaik sahaja tiba di set, Yuna diiringi ke bahagian tepi studio untuk bersiap sedia disolek sebelum memulakan penggambaran. Saya terpegun dengan keadaan kulitnya yang cerah dan berseri, seolah-olah dia tidak rasa letih dari semua perjalanan yang dilakukan kebelakangan ini.

Seperti sedia maklum, Yuna berpusat di Los Angeles sebelah barat Amerika Syarikat, dan hanya pulang ke tanah air atas sebab-sebab tertentu mahupun untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Kerana tidak mahu mengganggu konsentrasinya ketika disolek, saya menyapa Yuna buat seketika untuk memaklumkan bahawa beberapa soalan akan ditanya untuk sesi temu bual sebentar lagi. Jurusolek Cat Yong, yang berkhidmat pada sesi penggambaran tersebut meneruskan solekan dengan menggunakan Chanel Beauty. Apabila melangkah ke hadapan kamera, dia kelihatan bersedia dan tidak langsung janggal untuk menampilkan aksi-aksi fesyen. Saya terpegun dengan hasil gambar tembakan pertama kerana Yuna mempunyai kebolehan untuk hanya berdiri tegak dan masih menunjukkan ekspresi yang kreatif dan high-fashion. Turut menaikkan mood di set penggambaran, Yuna meminta kru untuk memainkan lagu-lagu kegemarannya dari genre R & B dan pop kontemporari. Seketika ada masa terluang, saya mengambil kesempatan untuk menemu bual Yuna dengan pantas kerana agak sukar untuk mencari masa yang sesuai sepanjang penggambaran ini.  Baca lanjut dalam GLAM Disember 2019.

See also
Tua Bukan Hanya Di Kulit