Suasana Percutian Ala Louis Vuitton di Meja Makan

Suasana Percutian Ala Louis Vuitton di Meja Makan

Louis Vuitton kali ini bukan hanya tentang fesyen, tetapi juga seni hidup melalui beg bagasi eksklusif dan set makan mewah yang membawa rasa percutian ke meja makan.

Louis Vuitton sentiasa sinonim dengan perjalanan, keanggunan dan keabadian reka bentuk yang melangkaui masa. Sejak 1854, rumah fesyen ikonik ini telah menakluk dunia dengan rekaan bagasi yang bukan sahaja tahan lama tetapi juga sarat dengan warisan seni pertukangan tangan yang luar biasa. Hari ini, Louis Vuitton sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mengangkat makna savoir-faire dengan memperkenalkan Malle Vaisselier, sebuah bagasi unik sebagai tempat simpanan dan koleksi Dolce Vita Art of Dining.

Beg bagasi eksklusif dan set makan mewah

Di mata penggemar Louis Vuitton sejati, Malle Vaisselier bukan sekadar bagasi. Ia adalah karya seni yang direka khas untuk pencinta pinggan mangkuk mewah dan seni menghidang makanan. Direka bagi memenuhi keperluan connoisseur peralatan makan eksklusif, Malle Vaisselier membuktikan bagaimana visi perjalanan, kegunaan dan estetika boleh disatukan menjadi satu ciptaan yang tiada bandingan.

See also
Lea Seydoux Bintangi Kempen Wangian Pertama Louis Vuitton

Dibalut dengan kanvas Monogram ikonik Louis Vuitton, bagasi ini mengekalkan DNA jenama yang dikenali di seluruh dunia. Di bahagian luar, aksen logam keemasan menambah elemen keanggunan, manakala di bahagian dalam, lapisan mikro-fiber halus melindungi khazanah berharga yang disimpan di dalamnya. Malle Vaisselier direka penuh teliti dengan susun atur yang bijak, lapan laci luas, ruang khas untuk gelas dan carafe, serta bahagian tiga tingkat bagi menyimpan pinggan, mangkuk dan set peralatan makan lain dengan teratur.

Yang paling menarik, Louis Vuitton turut menambah perincian kecil tetapi berguna iaitu dulang kayu yang dihiasi bunga Monogram. Dulang ini bukan sekadar untuk fungsi paparan, malah menjadi pentas untuk ‘mempersembahkan’ keindahan set pinggan mangkuk, menjadikan setiap sesi jamuan sebagai pengalaman visual yang mewah.

Bagasi ini juga membuktikan bahawa Louis Vuitton terus komited berinovasi tanpa melupakan asal usul. Ia bukan hanya tempat menyimpan, tetapi statement piece yang mampu mengubah suasana makan di rumah menjadi memori istimewa. Malle Vaisselier juga menjadi simbol kepada hasrat Louis Vuitton dalam memelihara nilai savoir-faire sejak lebih 170 tahun lalu dengan menggabungkan teknik pertukangan tradisi dengan reka bentuk yang kekal relevan dan kontemporari.

See also
Kolaborasi Idaman Antara Tommy Hilfiger x Vetements

Seiring pelancaran Malle Vaisselier, Louis Vuitton turut melancarkan koleksi Dolce Vita Art of Dining, sebuah koleksi pinggan mangkuk yang membawakan aura santai, mewah dan mempesona. Terinspirasi daripada keindahan pulau Capri di Itali yang terkenal dengan suasana percutian musim panas, koleksi ini seolah membawa suasana percutian terus ke meja makan.

Setiap pinggan, cawan, teko dan mangkuk dihasilkan menggunakan porselin Limoges, porselin terbaik Perancis yang terkenal dengan kehalusan dan kekuatannya. Apa yang membezakannya adalah corak Monogram Louis Vuitton yang diolah semula dalam gaya cat air kuning terang. Mainan skala Monogram ini menjadikan setiap kepingan pinggan bukan sekadar peralatan makan tetapi karya seni di meja makan.

Pelancaran koleksi ini adalah sebahagian daripada Louis Vuitton Home Collections, alam baharu yang diperkenalkan pada April 2025 di Milan. Dalam dunia baharu ini, Louis Vuitton mengembangkan kepakarannya daripada beg bagasi dan fesyen ke seni hidup dengan membawakan rangkaian perabot, pencahayaan, koleksi Signature, objek hiasan, tekstil rumah, pinggan mangkuk dan permainan mewah.

See also
GLAM It Girl: Nina Amin

Louis Vuitton Home Collections adalah sambungan kepada Objets Nomades, siri perabot dan aksesori yang direka dengan pendekatan sama yang menggabungkan inovasi moden dengan pertukangan tangan terbaik. Konsepnya jelas dimana rumah dan meja makan tidak lagi sekadar ruang fizikal, tetapi pentas untuk meraikan keindahan hidup.

Menerusi Malle Vaisselier, Louis Vuitton mewujudkan ‘ruang simpanan’ yang tidak statik. Ia menjadi pusat tumpuan di ruang makan. Apabila dibuka, laci-laci tersusun rapi mendedahkan khazanah pinggan mangkuk yang setiap satu menceritakan tentang seni jamuan yang bertamadun. Dulang kayu Monogram, ruang carafe dan rak pinggan disusun agar pemilik dapat mempamerkan koleksi dengan penuh rasa bangga.

Sementara itu, koleksi Dolce Vita Art of Dining menghidupkan semula detik-detik bersama yang sering diambil ringan. Ia membuktikan bahawa meja makan bukan sekadar tempat makan, tetapi ruang di mana keluarga berkumpul, bertukar cerita, bergelak ketawa, dan mencipta memori.

Artikel Berkaitan: Destinasi Gaya Express Louis Vuitton

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.