Sembang Fesyen: Ezzati Amira

SEMBANG FESYEN: EZZATI AMIRA

ezzati amira 1

Gambar: KLFW

 
Bekas graduan Raffles Design Institute ini memulakan kerjaya sebagai pereka fesyen dalaman buat Le Ann Maxima. Saban musim, Ezzati tidak lekang mengeluarkan lebih 180 rekaan buat jenama itu. Ilmu pemasaran juga dipelajari. Namun, hati meronta untuk kembali fokus pada jati diri sendiri. Tahun 2012 menyaksikan dia membina jenama Ezzati Amira, lebih dekat dengan jiwa pereka fesyen muda ini. Selera fesyennya terpancar pada koleksi di Kuala Lumpur Fashion Week lalu dan terbias pada gaya peribadinya. Perlu tahu setiap baju contoh dijahit sendiri Ezzati.
 
Bagaimana perjalanan membina jenama Ezzati Amira?
Saya kembali melakar baju setelah hampir dua bulan berehat daripada dunia fesyen. Tidak terhenti di situ, saya mencari fabrik terbaik di sekitar Kuala Lumpur. Semuanya bermula dari situ. Saya hanya mengikut rentak sehingga saya percaya yang kini saya berada di jalan yang betul. Working on your own is like turning the world into your own classroom. Saya cukup selesa. Setiap kesalahan membentuk diri ini sehingga terlancarnya jenama Ezzati Amira pada penghujung 2012. Muzik dan seni menjadi inspirasi saya menghimpunkan koleksi yang pertama. Jenama ini bercirikan wanita moden dan membiaskan cita rasa androgini.
 
Pandangan anda tentang stail peribadi?
Setiap manusia punya sifat dan karakter tersendiri. Makna sebenar stail peribadi adalah bagaimana seseorang itu mampu melahirkan karakter mereka mengikut pilihan fesyen yang tersedia. Paling penting adalah mempercayai diri sendiri. Stail peribadi itu sungguh penting kerana trend fesyen sering berubah, yang kekal adalah gaya peribadi anda. Untuk mencari stail peribadi, cuba suai padankan ceraian dalam gerobok fesyen anda, lantas anda akan belajar apa yang terbaik untuk digayakan dan yang perlu dilupakan.
 
Stail peribadi anda?
Bold and loud! Ia cukup kena dengan karakter saya. Saya gemar menyarung ceraian longgar kerana cukup selesa dipakai. I will make sure that I know how to pull it off. A little bit of edginess with clashing elements. Saya suka suai padan siluet moden kontemporari dengan vintaj. Jam vintaj emas menjadi item penting dan saya mengaku yang saya ini accessories junkie! Percaya atau tidak, jika diberi pilihan, saya mahukan semua yang ada dalam gerobok fesyen mendiang Michael Jackson!
 
Kongsi bersama selera fesyen anda.
Saban musim, Alexander Wang sering menghimpunkan sesuatu yang hebat! Setiap musim, saya tertunggu-tunggu apa yang bakal pereka fesyen ini keluarkan. Haider Ackermann pula bijak menggabungkan palet dan seni drape, cukup menakjubkan. Pereka lain yang terus memberi inspirasi termasuklah Stella McCartney, Dries Van Noten dan Phillip Lim. Ada satu jenama asal Jerman, A Kind Of Guise menepati selera gaya hidup muda sekarang yang cukup hip. Saya turut menggemari gaya Tilda Swinton yang kekal dalam estetik androgini dan chic, sering tampil hebat dalam setiap gaya permaidani merah.
 
 

See also
#ApaSiapaDiMana: Jisoo, Jackson Wang dan Jeff Satur Parti Bersama Cartier Di Singapura