Butik Sam Edelman Kini Tiba Di Kuala Lumpur! - Glam Malaysia

Butik Sam Edelman Kini Tiba Di Kuala Lumpur!

Sam Edelman lancar pembukaan butik sulungnya di The Gardens Mall, membawa sentuhan glamor New York ke Malaysia yang merayakan keanggunan klasik dalam nuansa moden.

Jenama kasut ikonik Amerika, Sam Edelman kini secara rasmi menjejakkan kaki di Malaysia dengan pembukaan butik pertamanya di The Gardens Mall, Kuala Lumpur. Kehadiran ini bukan sekadar pelancaran sebuah ruang baharu, tetapi menjadi detik bersejarah dalam perjalanan jenama yang hampir empat dekad mendefinisikan gaya hidup mewah yang mudah didekati. Selepas kejayaan pembukaan butik di Singapura pada tahun 2024, Malaysia kini menjadi destinasi seterusnya dalam peta pengembangan strategik Sam Edelman di Asia Tenggara.

Dari New York Ke Kuala Lumpur, Jenama Kasut Ikonik Ini Meraikan Gaya Moden Yang Mesti Dimiliki

Diasaskan sejak tahun 1987 bersama pelancaran jenama Sam & Libby, Sam Edelman kekal setia pada falsafah mencipta rekaan kasut yang menggabungkan gaya, keselesaan dan kemewahan moden. Dari kempen glamor bersama Naomi Campbell hingga sorotan kempen ulang tahun ke-20 yang dibintangi Kylie Jenner buat koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2024, label popular ini terus membina reputasi global sebagai jenama yang sinonim dengan sofistikasi yang nyata effortless. Butik di The Gardens Mall pula tampil dengan sentuhan moden melalui garisan bersih, pencahayaan hangat dan aksen keemasan halus, lantas mewujudkan suasana elegan namun tetap mesra pelanggan yang meraikan keanggunan harian.

See also
Hatta Dolmat Ready-to-Wear

Koleksi teras yang ditawarkan di sini merangkumi ikon-ikon abadi seperti Bay Sandals yang ringkas namun chic, Hazel Pumps dengan rekaan siluet runcing serba guna, Loraine Loafers yang klasik tetapi segar serta Michaela Flats yang menafsir semula gaya balet dengan serba mudah. Tidak ketinggalan Langley Sneakers yang diinspirasikan daripada nuansa vintaj, menjadikan setiap langkah bukan sekadar fesyen tetapi pengalaman penuh gaya. Kuala Lumpur dipilih sebagai rumah baharu seiring dengan identiti jenama yang bergaya, dinamik serta teman ideal buat penata gaya wanita kontemporari. Pembukaan butik kedua di Sunway Pyramid pada Disember 2025 kelak, pastinya akan mengukuhkan lagi komitmen Sam Edelman terhadap rantau Asia Tenggara. Kehadiran jenama ini bukan sekadar membawa pilihan kasut, tetapi menandakan permulaan bab baharu di mana keanggunan klasik dan sensasi moden bertemu, sebagai label kasut yang mesti diterokai.

Artikel berkaitan: Trend Kasut Yang Diramal Bakal Mendominasi Tahun 2025

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.