Runway Yang Bersuara Di Spring Summer 2026 - Glam Malaysia

Runway Yang Bersuara Di Spring Summer 2026

Runway Musim Bunga/Musim Panas 2026 membuktikan bahawa muzik bukan sekadar latar tetapi nadi yang memberi jiwa, membentuk pengalaman fesyen yang menyatukan visual, emosi dan naratif dalam setiap langkah dan siluet.

Industri fesyen kini semakin sedar bahawa runway bukan sekadar siluet dan tekstil tetapi juga irama yang membuka pintu emosi setiap koleksi dan mencipta suasana yang terus melekat dalam ingatan penonton. Muzik yang dipilih oleh jenama dan pengarah kreatif pada Musim Bunga/Musim Panas 26 berfungsi sebagai nadi yang memberi nyawa kepada setiap langkah model, merangka perasaan sebelum kain bahkan disentuh oleh lampu. Bagi sesetengah rumah fesyen, soundtrack menjadi medium untuk menyampaikan naratif koleksi yang lebih daripada sekadar muzik latar tetapi sebahagian daripada arsitektur emosi yang membentuk keseluruhan persembahan.

Nada yang Membuka Naratif

Runway Burberry begitu menentukan nada dengan hanya memainkan lagu Black Sabbath”, sebagai penghormatan kepada inspirasi koleksi yang berakar dari Glastonbury dan roh rock legenda Ozzy Osbourne, sekaligus menandakan arah estetika baharu di bawah kepimpinan Daniel Lee. Pilihan ini bukan semata pilihan lagu, tetapi cerminan identiti koleksi yang berani dan tak terikat dengan norma tradisional fesyen. Keputusan untuk menghadirkan mood yang kuat sebelum kain meluncur menegaskan bahawa tidak ada unsur yang kecil dalam persembahan fesyen; setiap nota muzik mempunyai peranan dan makna tersendiri dalam menyatukan visi reka bentuk dengan pengalaman hadirin.

See also
Raisa: Bertumbuh dalam Kedewasaan

Ada juga momen di mana bunyi mencipta jambatan antara sejarah dan inovasi. Contohnya, dalam pertunjukan Maison Margiela oleh Glenn Martens, beliau menempatkan sebuah orkestra kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga lima belas tahun dengan komposisi klasik Tchaikovsky dan Beethoven. Ketidaksempurnaan bunyi yang sengaja dibawa oleh orkestra muda itu bukanlah kekurangan, tetapi sebahagian daripada naratif subversif yang menghubungkan kembali kepada arkib Margiela dan semangat dekonstruksi yang menjadi DNA rumah fesyen tersebut. Ini bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang menyelami rasa dan interpretasi yang membebaskan, memperkuat hubungan antara identiti estetika dan muzik yang mengiringinya.

Begitu juga di Balenciaga, di mana Pierpaolo Piccioli memilih skor “sonic couture” yang unik dengan menggunakan detak jantungnya sendiri sebagai motif utama, berpadu dengan komposisi orkestra dan vokal versi klasik lagu yang terkenal. Cara ini bukan sekadar memperlihatkan fesyen tetapi juga menghubungkan pengalaman peribadi dengan koleksi secara emosional, menguatkan bahawa runway kini merupakan ruang naratif yang menyatukan visual, bunyi, dan rasa. Apabila muzik dan pakaian berdialog, runway berhenti menjadi sekadar pertunjukan dan menjadi pengalaman holistik yang merentas deria, mengundang setiap penonton untuk merangka makna sendiri dalam setiap nota dan siluet yang terbentang.

See also
Kempen Fesyen Yang Menyinari Tahun Baru Lunar 2025

Artikel berkaitan: Fesyen Dan Muzik Bersatu Di Pentas Peragaan Burberry Summer 26

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.