Rita Suraya & Rita Nadira: Two Sisters, One Bond
Rita Suraya dan Rita Nadira menyingkap keindahan dan kekuatan hubungan adik-beradik yang saling menyokong dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.
pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah kecantikan & penata gaya JULIA AZMAN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar AARON LEE/LENSWORKS PRODUCTION solekan SHENG SAW & KEVIN LEE dandanan CKAY LIOW & OLIVIA OOI penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA
GLAM membuka tirai tahun baharu dengan isu Jan/Feb 2026 dengan sebuah tema yang dekat di hati iaitu adik-beradik. Ia bukan sekadar tentang ikatan darah, tetapi tentang dua jiwa yang membesar dalam dunia karier yang sama, melalui cabaran yang hampir serupa, dan saling menjadi sumber kekuatan dalam perjalanan masing-masing. Di hadapan kamera, mereka berdiri sebagai dua wanita dengan aura tersendiri. Namun di sebalik lensa, Rita Suraya dan Rita Nadira adalah kakak dan adik, rakan seperjuangan yang saling menjadi pelindung dan penyokong antara satu sama lain.
The Rita Sisters

Dua nama, satu keluarga, tetapi perjalanan yang berbeza. Rita Suraya, figura yang terlebih dahulu melangkah ke dunia peragaan, dan Rita Nadira kemudiannya mengikut jejak kakaknya dan juga kini mencipta ruang sendiri sebagai seorang pelakon. Dalam industri yang sama, mereka membina kerjaya masing-masing dengan identiti tersendiri, sambil menjadikan hubungan adik-beradik sebagai kekuatan utama.
Bekerja dalam dunia yang sama membuka sisi yang mungkin tidak pernah terlihat di rumah. Bagi Rita Suraya, hubungan ini adalah ruang pembelajaran yang berterusan. “Sepanjang perjalanan kerjaya ini, kami banyak belajar tentang satu sama lain. Tiada batasan dalam memberi sokongan, dan kami juga sentiasa jujur apabila perlu saling menegur.” Kejujuran itu menjadi bahasa kasih sayang mereka.
Bagi Rita Nadira pula, pengalaman bekerja bersama kakaknya memberi perspektif berbeza terhadap hubungan mereka sebagai adik-beradik. Dengan perbezaan usia hampir satu dekad, dia mengakui hanya benar-benar mengenali sisi Rita Suraya apabila mereka berada dalam satu dunia kerja yang sama. Di situlah dia melihat kekuatan seorang kakak yang pendiam, berdedikasi, dan jarang berkongsi beban namun perlahan-lahan menjadi lebih terbuka.
Dalam industri yang sering menguji keyakinan diri, kehadiran adik-beradik menjadi antara sumber kekuatan utama. Rita Suraya mengakui sokongan ini memberi makna besar kepada identitinya sebagai seorang wanita secara profesional. “Kehadiran adik-beradik adalah satu-satunya sebab yang membuatkan saya lebih menjadi diri saya sendiri. Saya menjadi lebih kuat dan lebih yakin kerana ada seseorang yang memahami cara industri ini berfungsi dan saya tidak berasa keseorangan,” ujarnya menyatakan perasaan gembira dapat bekerja bersama adiknya dalam satu projek.

Bagi Rita Nadira, pengalaman kakaknya menjadi panduan awal yang membentuk keyakinan dan kekuatan dirinya hari ini. Melihat Rita Suraya bekerja keras sejak usia muda memberi gambaran jelas tentang realiti industri iaitu tentang disiplin, tentang jatuh bangun, dan tentang pentingnya melindungi diri sendiri. Dari situ, keyakinan Rita Nadira terbina dan lebih berani berhadapan dengan manusia serta lebih bijak memilih rakan di sekeliling.
Nilai keluarga pula menjadi asas yang membentuk disiplin kerja mereka. Walaupun membesar dengan pengalaman berbeza, Rita Suraya percaya prinsip yang sama tetap menjadi pegangan. “Saya rasa kami berdua membesar dengan cara yang berbeza. Tapi benda paling penting yang kami terapkan ialah menghormati satu sama lain dan orang di sekeliling, bersikap rendah hati, konsisten, dan tidak pernah berputus asa. Yang paling penting, cintailah apa yang dilakukan walaupun tiada siapa yang melihat,” kongsinya.
Tekanan dan ekspektasi adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan. Dengan personaliti yang berbeza, mereka memilih cara tersendiri untuk menghadapinya. Rita Suraya melihat komunikasi sebagai satu bentuk terapi. “Kadang-kadang, hanya mendengar tanpa memberikan sebarang penyelesaian pun sudah cukup membantu,” jelasnya yang saling memberi sokongan dalam situasi sukar. Sementara itu, Rita Nadira pula menjaga kesihatan mentalnya dengan meletakkan batasan dengan tidak membenarkan pandangan luar menentukan nilai diri.
Penjagaan rambut dengan SUBLIMIC Timetic

Sebagai seorang model dan pelakon seperti Rita Suraya dan Rita Nadira, rambut bukan sekadar mahkota tetapi juga cerminan profesionalisme yang sentiasa diperhatikan, terutama apabila berada di hadapan kamera. Bagi Rita Suraya, rambut adalah elemen penting dalam imejnya, “Rambut saya adalah mahkota saya.” Kepentingannya bukan hanya pada penampilan, tetapi juga sebagai asas keyakinan diri yang terpancar secara semula jadi.
Namun, rambut yang sihat dan cantik tidak datang begitu sahaja. Rita Suraya mendedahkan bahawa penggunaan alat penggayaan dan produk yang kerap menjadikan rambutnya kering manakala kulit kepala menjadi sensitif. Cabaran utama ialah rambut kering dan kulit kepala jadi sensitif akibat haba and produk yang banyak. Bagi Rita Nadira pula, cabaran itu sedikit berbeza, tetapi sama seriusnya. “Cabaran utama rambut saya akibat penggayaan yang kerap ialah rambut akan nampak kering, mudah gugur, kelihatan nipis, rosak dan kelihatan tidak sihat. Sebab tu pilihan penjagaan rambut amat penting buat saya.”
Pengalaman pertama mereka mencuba SUBLIMIC Timetic memberikan kesan yang mendalam dan berbeza dari rutin biasa. Rita Suraya berkongsi pengalaman pertamanya membuatkan rambut dan kulit kepalanya terasa lebih sihat dan segar. “Pengalaman pertama mencuba SUBLIMIC Timetic terasa berbeza kerana ia bukan sekadar menjaga rambut, tetapi juga memberi perhatian kepada kulit kepala. Dengan wangian aromatik yang menenangkan terutamanya selepas semua tekanan pada rambut. Rambut menjadi lebih ringan dan sihat.”

Bagi Rita Nadira pula, pengalaman itu lebih menyeronokkan kerana produk itu membuatkan rambutnya lebih ringan, kulit kepala terasa bersih dan segar, serta aroma yang unik memberi kesan menenangkan. Katanya, “Pengalaman pertama saya mencuba rangkaian SUBLIMIC Timetic ada pengalaman terbaik yang saya pernah lalui. Rambut saya terasa lebih ringan, lebih sihat dan kulit kepala saya terasa lebih segar dan bersih. Saya rasa saya dah jumpa rangkaian rambut yang sesuai dan berkesan untuk saya.”
Keberkesanan SUBLIMIC Timetic bukan sahaja terserlah dari segi kesihatan rambut, tetapi turut memberi impak positif terhadap keyakinan diri mereka di hadapan kamera. Bagi Rita Suraya, apabila rambut dan kulit kepala berada dalam keadaan sihat, keyakinan datang secara semulajadi tanpa perlu risau tentang rambut berkerinting atau kelihatan letih di kamera. Rita Nadira pula merasakan rambut yang sihat, segar, dan wangi membuatkan dirinya lebih yakin dan kelihatan kemas ketika berdepan dengan orang ramai, sekaligus meningkatkan rasa keyakinan dan imej profesionalnya.
Kedua-dua kakak-beradik ini menekankan bahawa teknologi moden memainkan peranan besar dalam penjagaan rambut hari ini. “Teknologi moden membantu penjagaan rambut menjadi lebih spesifik dan berkesan,” kata Rita Suraya. Tambah Rita Nadira, teknologi moden memainkan peranan penting dalam penjagaan rambut masa kini kerana ia membolehkan kajian mendalam terhadap struktur rambut dan kulit kepala, seterusnya menghasilkan produk yang lebih efektif dan disesuaikan dengan keperluan individu.
Baca kisah penuh Rita Suraya & Rita Nadira dengan mendapatkan majalah GLAM isu Januari/Februari 2026 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

