Matthieu Blazy Cipta Sejarah Fesyen Dengan Debut Koleksi Chanel SS26 - Glam Malaysia

Matthieu Blazy Cipta Sejarah Fesyen Dengan Debut Koleksi Chanel SS26

Debut koleksi Matthieu Blazy membuka lembaran baharu Chanel, berpadukan esen klasik Coco dan nafas moden yang tersendiri, lahir sebuah koleksi yang nyata mencipta sejarah.

Kemunculan Matthieu Blazy sebagai Pengarah Kreatif baharu Chanel menjadi detik yang menggoncang suasana Minggu Fesyen Paris. Di bawah kubah megah Grand Palais yang diterangi orbs bercahaya seperti planet yang berputar, dunia fesyen seakan terhenti seketika. Kehadiran nama besar termasuk Jennie Blackpink, Nicole Kidman, hingga Tilda Swinton menjadi saksi kepada lembaran baharu rumah fesyen paling ikonik ini. Blazy, yang terkenal dengan ketelitian serta kecanggihan naratifnya semasa di Bottega Veneta, berjaya mengimbangi antara keberanian dan keanggunan, antara dunia fantasi dan realiti, lantas menjadikan debutnya di Chanel sebagai momen sejarah fesyen yang sarat dengan emosi dan simbolisme.

Chanel SS26: Era Baharu Di Bawah Sentuhan Matthieu Blazy

Pertunjukan dibuka dengan pilihan yang tampak sederhana, sut kelabu bersiluet tajam yang minimalis namun di sebalik kesederhanaan itu tersimpan keyakinan luar biasa. Blazy menelusuri falsafah Gabrielle Chanel yang mendobrak batasan pakaian wanita dengan mengadaptasi unsur maskulin, tetapi tetap mengekalkan pesona feminin yang halus. Potongan jaket yang sedikit pendek dengan lengan tergulung membawa semangat Coco ke era baharu. Ia menghidupkan kembali keanggunan klasik dengan nada aura moden. Di sebalik butiran halus seperti anting-anting bunga pom-pom dan beg lusuh yang diinspirasikan daripada pusaka nenek, terserlah sentuhan nostalgia yang dirangkul dengan kasih. Blazy tidak sekadar meniru sejarah Chanel, tetapi merombak dan menyusunnya semula menjadi bahasa baharu yang berani dan lebih kontemporari.

See also
Karl Legerfeld 101: 11 Kejutan Karl Lagerfeld di Chanel

Koleksi Musim Bunga/Panas 2026 ini menampilkan percikan kehidupan melalui perincian bulu dan bunga yang seolah-olah menari di setiap helaian. Dari ceraian blazer yang dihiasi kelopak menyerupai bunga spider mum hingga karangan peony yang menghiasi kolar dan kelim, setiap busana memancarkan tenaga yang lembut namun berkuasa. Rona-rona seperti kuning mentega, emas mahupun ungu plum, memperlihatkan sisi baharu wanita Chanel yang lebih berani dalam bermain dengan keceriaan tanpa kehilangan keanggunan. Rekaan kasut dua tona dan tali rantai beg tangan pula, nyata memberi penghormatan kepada arkib label mewah ini yang disusun semula dengan kejelitaan yang segar di bawah visi Blazy.

Material tweed, warisan agung yang menjadi nadi Chanel sejak tahun 1950-an, turut muncul dalam bentuk yang lebih ringan dan bebas. Blazy menafsirkan semula fabrik ini menjadi seiring dengan era generasi kini. Lantas, menjadikan koleksi yang ingin dipakai bukan sahaja oleh para wanita matang, tetapi juga oleh golongan anak muda yang mahu tampil santai tanpa kehilangan sentuhan klasik. Dengan setiap helaian yang disulam antara tradisi dan inovasi, Chanel terbukti berdiri di ambang era baharu. Blazy tidak sekadar mencipta koleksi, tetapi melahirkan semula semangat Gabrielle Chanel, seorang wanita yang berani menjadi dirinya sendiri namun ditafsir dalam wajah dunia moden hari ini.

See also
Selamat Hari Bapa, Ini Idea Menarik Hadiah Untuk Ayah!

Artikel berkaitan: 4 Personaliti Buat Kempen Chanel Eyewear Musim Bunga-Panas 2025

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.