Lima Trend Siluet Seluar Denim Untuk Digayakan
Lima siluet denim ini menegaskan kedudukan denim sebagai kanvas gaya abadi yang sentiasa relevan, mudah digayakan pada setiap waktu dan tetap berketerampilan penuh stylish.
Seluar denim sentiasa menjadi asas pada gerobok pakaian gaya global. Ia bukan sekadar ceraian item fesyen buat semua jenis musim, malah telah menjadi simbol identiti dan ekspresi fesyen yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Setiap era membawa tafsiran baharu dan era kini, lima siluet denim mendominasi fesyen dunia global. Daripada potongan klasik yang digemari sepanjang dekad, hingga interpretasi moden yang memberi nafas segar kepada fesyen kontemporari.
Deretan Siluet Denim Untuk Dipadukan Mengikut Cita Rasa Tersendiri
1. The Lean Bootcut

Potongan ini mengimbau kembali nostalgia era ’70-an, namun dengan tafsiran moden yang lebih sleek. Bootcut yang sedikit tirus di paha tetapi melebar di bawah memberi ilusi kaki lebih panjang. Lantas, menjadikannya pilihan ideal untuk dipadankan dengan gandingan seperti kasut tumit tinggi atau ankle boots yang pastinya tampak bergaya. Ia juga menambah dimensi pada stail, serta menyatukan elemen retro dengan sentuhan kontemporari masa kini.
2. The Straight-Leg

Timeless malah praktikal, straight-leg jeans adalah helain seluar denim yang tidak pernah gagal. Potongan lurus dari pinggul hingga buku lali membolehkan ia dipadankan dengan hampir apa sahaja, termasuk t-shirt asas, kemeja satin, sneakers kasual atau kasut tumit tinggi. Keistimewaannya terletak pada kesederhanaan, menjadikannya pelaburan gaya yang kekal relevan sepanjang dekad.
3. The Dark Indigo Wash
Bagi mereka yang mengutamakan gaya refined, pilihan denim rona biru gelap ini adalah jawapannya. The Dark Indigo Wash membawa aura polished yang mudah dipadukankan untuk acara kasual mahupun semi-formal. Sama ada dengan blazer oversized, knitwear lembut atau kemeja putih bersih, denim ini memberi kesan sofistikated yang nyata effortless.
4. The Updated Barrel-Leg

Potongan barrel-leg yang sedikit bulat dengan volum pada bahagian kaki menjadi trend siluet yang kini mendominasi terutama di kalangan Gen Z. Ia menyuntik dengan nafas baharu yang mencipta siluet artistik yang segar dan memberi ruang untuk bereksperimen. Padankan dengan top fitted atau jaket cropped, untuk mengimbangi bentuk yang sekali gus menyerlahkan karakter edgy, cool dan moden.
5. The Mainstay Wide-Leg

Simbol gaya santai tetapi chic, wide-leg jeans adalah jawapannya. Ia terus menguasai trend denim yang hadir dengan potongan longgar, lantas memberi keselesaan maksimum yang tetap tampil bergaya. Cukup sesuai digayakan dengan crop top, blazer maskulin atau knitwear longgar, denim ini membuatkan gaya harian lebih moden tanpa perlu berlebihan.
Artikel berkaitan: Kekal Segar Di Musim Perayaan Dengan Sentuhan ‘Linen Denim’ Levi’s
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

