Semangat gaya yang lebih ringkas menjadi nadi penting buat wanita yang mahu nampak cool. Seperti tidak kisah tentang apa yang disarungkan namun sebenarnya setiap yang dimadukan diteliti dan diperhalusi. Buat himpunan pra-musim bunga 2016, banyak label mencedok stail 90-an yang meraikan fesyen minimalism. Calvin Klein Collection yang menjulang gaya ringkas ini turut menyuntik elemen dunia sukan agar rasanya tidak hambar. Palet hitam dan putih menjadi rona utama dan boleh dilihat pada himpunan Dion Lee dan Sportmax. Donna Karan di DKNY turut menggunakan palet yang sama dan menggabungkan ceraian seperti dress mini bersama seluar panjang untuk menyuntik rasa moden dalam bergaya.