Jenama Yuleza Sudah Masuk Babak 30 Tahun! - Glam Malaysia

Jenama Yuleza Sudah Masuk Babak 30 Tahun!

Yuleza merayakan tiga dekad perjalanan seni dan warisan, menenun kasih keluarga serta budaya dalam setiap helaian yang bercerita tentang jiwa dan masa.

Di sebuah ruang yang bernama Yuleza Atelier, terbit satu kisah yang sudah tiga puluh tahun bernafas dalam hela seni dan jiwa. Di sinilah jenama fesyen tanah air, Yuleza, meraikan tiga dekad warisan dan keindahan yang tidak hanya berpaksikan rekaan tetapi berpaut pada makna. Lahir dari akar budaya Terengganu, label Yuleza bukan sekadar busana tetapi seni yang boleh disarung, setiap helaian membawa roh warisan yang hidup dalam sentuhan moden.

Di Kanvas Masa, Yuleza Terus Hidup Dalam Seni Fesyen Hari Ini

Segalanya bermula daripada tangan seorang ibu. Di kedai batik kecilnya dahulu, dia bukan sekadar berniaga tetapi mencipta corak dan bloknya sendiri dengan penuh kasih dan ketelitian. Dari situ, semangat itu diwariskan kepada anaknya, You Sheng, yang kini menenun semula nilai dan cinta itu dalam setiap helaian rekaannya. Dedikasi dari si ibu terus hidup, lantas terus berdenyut dalam setiap benang dan motif yang lahir daripada kenangan. Nama Yuleza pula menjadi simbol kasih yang tidak terputus, tercipta daripada gabungan nama dua beradik, You Sheng dan Lina sebagai lambang keyakinan seorang ibu bahawa seni mampu menyatukan keluarga. Tiga puluh tahun kemudian, Lina kembali menyertai adiknya, membawa semangat yang pernah disemai dahulu, menjadikan ulang tahun ini bukan sekadar perayaan tetapi penyatuan antara masa lalu dan masa depan.

See also
HIMPUN - Proudly Made by Malaysians

Ketika di Minggu Fesyen Mercedes-Benz, Yuleza mempersembahkan koleksi tiga puluh rekaan yang meraikan perjalanan tiga dekad penuh dedikasi. Setiap helaian menjadi kapsul cerita yang memeluk akar tradisi dan kasih keluarga, daripada motif batik yang diinspirasikan alam hingga sulaman sembilan ekor ikan emas pada cheongsam yang dicipta sebagai penghormatan kepada asal-usul mereka. Koleksi ini menyingkap jiwa sebenar Yuleza, di mana setiap jahitan membawa makna, setiap corak menyimpan rahsia, serta setiap helaian yang memancarkan harmoni antara warisan dan inovasi. Dalam setiap ciptaan, terpancar kehalusan seni, kesetiaan terhadap nilai dan keberanian untuk terus bereksperimen tanpa meninggalkan identiti yang menjadi nadi jenama ini.

Perjalanan Yuleza bukan sekadar tentang fesyen, tetapi tentang kesinambungan kasih, budaya dan warisan yang dipelihara dengan jiwa. Dari lembaran permulaan batik di kedai ibu dahulu hingga ke pentas peragaan hari ini, Yuleza kekal setia menenun cerita dan makna dalam setiap rekaan. Yuleza Atelier kekal meneruskan legasinya dalam memberi penghormatan kepada masa lalu dengan menyuntik perayaan kepada masa kini, memancarkan cinta terhadap seni dan keluarga yang nyata terus hidup dalam setiap helaian yang dipersembahkan.

See also
Tebus Sticker Eksklusif Dari Coach

Artikel berkaitan: Rizman Ruzaini Menyulam Dua Dekad Legasi Dalam Era Baharu Fesyen

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.