Koleksi Double Battle Oleh Fauré Le Page Menjadi Pilihan Wanita Kosmopolitan
Fauré Le Page Double Battle menghadirkan beg tangan dengan suntikan keanggunan Paris yang berakar pada sejarah, dipersembahkan melalui rekaan modular dan versatil yang bergerak seiring ritma kehidupan moden.
Koleksi terkini Double Battle oleh Fauré Le Page muncul sebagai manifestasi baharu keanggunan Paris yang berakar pada sejarah, namun bergerak seiring rentak kehidupan moden. Ia merupakan satu kualiti yang menjadikan beg tangan ini pilihan wanita kosmopolitan yang menghargai gaya beridentiti dan praktikaliti. Diperkenalkan sebagai interpretasi terkini kepada beg ikonik Daily Battle, rekaan ini merangkumi esen siluet yang modular yang boleh dilipat dan padat lantas menjadi satu pernyataan gaya. Garis geometrinya yang tegas diinspirasikan oleh bentuk segi tiga dan piramid, mencerminkan kekuatan serta ketepatan. Manakala dua pemegang berjalin, menjadi penghormatan simbolik kepada pelindung pedang yang merujuk kepada warisan ketenteraan Maison yang cukup kaya dengan naratif sejarah.

Lebih daripada sekadar aksesori, koleksi terkini Double Battle ini dicipta sebagai rakan setia yang fleksibel untuk wanita yang sentiasa bergerak pantas dalam kehidupan seharian. Dengan empat kombinasi unik, ia menawarkan dua cara pemakaian, sama ada disandang di bahu atau digenggam dengan elegan serta dua bentuk berbeza yang boleh dibuka luas untuk membawa keperluan harian atau dilipat kemas bagi momen yang lebih ringkas dan intim. Dari pagi yang sibuk di kota hingga ke malam yang santai, Double Battle adalah definisi beg tangan yang mencerminkan gaya hidup wanita moden yang mementingkan kefungsian tanpa mengorbankan keanggunan.

Keistimewaan Double Battle juga terletak pada pemilihan material dan ketukangan yang teliti, menjadi satu lagi faktor yang menjadikannya pilihan wanita musim kini yang peka terhadap kualiti. Diperbuat daripada Scale Canvas yang dihasilkan di Perancis dengan padanan Calfskin Leather yang mewah, ia memancar kehalusan seni pembuatan. Bahagian dalamannya direka dengan praktikaliti yang tersusun seperti penutup pemegang dengan tab, pengancing clasp, poket rata, poket berzip dan cincin dalaman untuk aksesori kecil. Elemen personalisasi seperti cartridge holder dan medal ribbon pula membuka ruang untuk pemilik menambah sentuhan peribadi, menjadikan beg tangan Double Battle sebagai teman ideal yang mencerminkan identiti individu.

Koleksi ini turut ditawarkan dalam tiga saiz, Double Battle 41, 35 dan 27 serta palet warna yang sofistikated seperti Powder Black, Empire Green dan Ivress Red. Ia adalah beg tangan yang meraikan keseimbangan antara keberanian dan keanggunan. Ia adalah fesyen terbaik bagi wanita kosmopolitan yang mengiringi setiap langkah dengan karakter, sejarah dan gaya yang berjiwa.
Artikel berkaitan: Himpunan Tas Tangan Untuk Dimiliki Pilihan GLAM
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

