Kenali Sosialit dan Ikon Fesyen Babe Paley
Amazing Babe
Terkenal antara sosialit Amerika syarikat paling disegani, Barbara Cushing atau lebih selesa dipanggil ‘babe’. Babe Paley merupakan anak kepada Dr. Harvey Cushing iaitu pakar bedah otak dan juga profesor di Universiti Johns Hopkins dan Universiti Yale. Mempunyai dua orang kakak dan keduanya turut berkahwin dengan golongan bangsawan. Gaya hidupnya turut berubah setelah perkahwinan kali keduanya.
Gaya Hidup Mewah
Kehidupan kedua pasangan ini diatur begitu sempurna. Cinta mereka disemai dengan keindahan dekorasi hiasan dalaman yang dicipta oleh Billy Baldwin menghembus rasa elegan bagi setiap sisi unit apartment di St. Regis. Kedua mereka menghabiskan hari-hari biasa di sini namun hujung minggu dihangatkan dengan keindahan alam semula jadi apabila ‘berpindah’ ke ruang 80 ekar Kiluna Farm di Manhasset.
Pencinta Adibusana
Babe berjaya mengekalkan kedudukannya pada senarai best-dressed 14 kali sebelum memasuki Fashion Hall of Fame pada 1958. Merupakan klien adibusana terbesar termasuklah dari rumah fesyen Givenchy dan Valentino. Dia antara wanita terawal menolak kombinasi ceraian konvensional. Katanya, “The look of being too deliberately dressed, with everything cautiously matching, always bores me”.
Meja Editorial
Mendiang Babe Paley pernah menjadi Pengarang Fesyen di majalah Vogue. Keserasiannya berada dalam golongan sosialit serta akses istimewa yang diberikan oleh pereka fesyen bagi menggayakan rekaan terbaru membuatkan imejnya lebih terserlah sehingga dinobatkan sebagai senarai best-dressed tahun 1945 dan 1946. Dia terus menjadi inspirasi kepada wanita lain.
Forever An Icon
Dia menghembuskan nafas terakhir tahun 1974 akibat kanser paru-paru. Pemergiannya di atur dengan sempurna. Dia merancang sendiri upacara pengebumian dengan menu makanan dan pilihan wain yang harus dihidangkan. Malah setiap barang kemas sudah siap dibalut dengan kertas berwarna disertakan sistem pemfailan yang lengkap untuk diagihkan.