Kenali Rama Duwaji, “First Lady Gen Z” Bandar New York
Kenali Rama Duwaji, isteri kepada Datuk Bandar New York Zohran Mamdani yang digelar First Lady Gen Z kini semakin mencuri perhatian dunia.
Rama Duwaji ialah seorang artis dan ilustrator Syria–Amerika yang dilahirkan di Houston, Texas pada 30 Jun 1997. Ibu bapanya adalah imigran Syria dan dibesarkan di Dubai sebelum berpindah ke New York untuk mengejar kerjaya seni.
Rama sebagai First Lady Gen Z

Rama dan Zohran bertemu melalui aplikasi temu janji Hinge pada tahun 2021 dan berkenalan sehingga bertunang pada Oktober 2024. Mereka kemudian disatukan dalam upacara pernikahan awam di Dewan Kota New York pada awal 2025.
Rama memiliki kelulusan Sarjana Seni Halus (MFA) dalam bidang Ilustrasi dari School of Visual Arts di New York dan menyertakan portfolio seni yang mengagumkan dimana karyanya pernah diterbitkan oleh The New Yorker, The Washington Post, BBC, Apple, Spotify dan lain-lain.
Sebagai seorang artis, Rama menumpukan kepada tema identiti Arab, sisterhood dan pengalaman komuniti dalam karya seni. Melalui ilustrasi potret dan pergerakan, dia menyelami sesuatu yang amat peribadi namun berkait dengan pengalaman ramai. Selain media digital, dia juga menghasilkan karya keramik tangan seperti pinggan ilustrasi biru-putih, satu bentuk seni yang memadukan kecantikan dalam ruang fizikal.
Dari segi gaya, Rama bukanlah sekadar “muka baru” di pentas fesyen kerana sering menyampaikan cerita melalui pakaian. Dalam sambutan kemenangan suaminya yang juga Datuk Bandar Muslim pertama New York, Rama memilih blaus denim laser-cut dengan motif tatreez Palestin oleh pereka Zeid Hijazi, dipadankan dengan skirt beludru renda dari Ulla Johnson. Pilihan ini mencerminkan mesej dan solidariti serta mencipta gaya elegan yang berani.

Dikenali sebagai “First Lady Gen Z” untuk bandar New York, Rama mewakili generasi muda yang bukan sekadar bergaya tetapi membawa suara dan nilai tersendiri. Pilihan fesyen dan seninya menjadi salah satu medium menyuarakan identiti, sokongan terhadap komuniti dan budaya, menggabungkan keanggunan dengan makna.
Artikel Berkaitan: GBC Love Wellness : Reset Mode! Cara Gen Z Detox Kehidupan Sosial
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

