Keluarga Paling Stylish Di Karpet Merah? Rihanna Jawab Ya!
Dari pentas Paris ke karpet merah Los Angeles, dua putera Rihanna, RZA dan Riot mencuri tumpuan dalam persalinan eksklusif Dior oleh Jonathan Anderson di tayangan perdana filem Smurfs.
Dari pentas fesyen Paris terus ke perdana filem di Los Angeles, Rihanna sekali lagi membuktikan bahawa gaya fesyennya tidak pernah terhenti walaupun sambil mendakap dua putera kecilnya. Untuk tayangan perdana filem Smurfs, ikon muzik, feysen dan kecantikan ini tampil menawan dalam gaun khas Saint Laurent berpotongan drop waist yang memeluk bentuk tubuh hamilnya dengan penuh anggun. Bahagian atas gaun menampilkan bra renda halus yang bersatu dengan siluet dramatik, lengkap dengan rekaan busur yang besar pada bahagian bawah. Tambahan jaket kulit motorcycle memberikan kontras yang berani, dilengkapi dengan aksesori subang berlian, solekan semula jadi dan rambut yang disanggul kemas lantas menyempurnakan penampilannya.

RZA Dan Riot Memadukan Busana Dior Oleh Jonathan Anderson
Namun sorotan bukan hanya pada Rihanna, tetapi kedua-dua puteranya, RZA dan Riot yang turut mencuri perhatian dalam persalinan eksklusif dari koleksi Dior SS26 oleh pereka baharu rumah fesyen itu, Jonathan Anderson. RZA tampil segak dengan seluar cargo penuh dan kemeja merah jambu, diserikan dengan gaya bertali leher, menjadi rujukan kepada gaya Jean-Michel Basquiat yang menjadi ilham utama koleksi debut Anderson. Riot pula memakai jaket hitam kelabu, diinspirasikan dari jaket ‘Bar’ ikonik Dior, dipadankan dengan seluar cargo shorts kecil yang unik dengan perincian fabrik berlebihan di sisi.

Sebagai anak kepada pasangan yang sering mendominasi carta dunia gaya fesyen, Rihanna dan A$AP Rocky, penampilan sulung mereka di karpet merah sememangnya menjadi bualan hangat. Pasangan ini juga baru sahaja duduk barisan hadapan sewaktu pertunjukan debut Anderson di Paris, dengan gaya prappy pastel dan jaket corak yang serasi. Penampilan keluarga empat beranak ini bukan sekadar bergaya, tetapi membawa satu kenyataan tentang evolusi gaya fesyen buat mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan: The Smurfs: Filem Terbaharu Menampilkan Lagu Oleh Rihanna
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

