Jacob Elordi Curi Tumpuan Dunia Dalam Kempen Cartier Arahan Sofia Coppola
Nama Jacob Elordi semakin kukuh sebagai ikon global apabila wajahnya kini menghiasi kempen terbaharu Cartier yang begitu dinanti-nantikan. Dalam projek istimewa ini, pelakon Australia itu bekerjasama dengan pengarah pemenang anugerah, Sofia Coppola, yang menghidupkan semula keindahan dan makna cinta abadi menerusi lensa sinematiknya.
Kempen ini diilhamkan daripada warisan Love Bracelet, ciptaan klasik Cartier oleh Aldo Cipullo pada tahun 1969, seutas gelang berbentuk bujur yang dikunci dengan pemutar skru, sebagai simbol cinta yang tidak terlerai. Lebih lima dekad kemudian, Cartier memperkenalkan LOVE Unlimited, koleksi baharu yang meraikan keabadian cinta dalam pelbagai bentuk moden, dan siapa lagi yang lebih sesuai menjadi wajahnya kalau bukan Jacob Elordi, pelakon muda yang sedang menjadi perhatian dunia.

Diarahkan oleh Sofia Coppola, kempen ini dirakam sepenuhnya di New York City, latar yang sinonim dengan inspirasi seni dan romantik. Melalui pandangan sinematik Coppola, penonton dibawa menyelami sisi lembut, tenang dan penuh emosi Jacob Elordi, seolah-olah menyaksikan sebuah kisah cinta yang hidup di tengah hiruk-pikuk kota.

“Saya mahu ia terasa dekat dengannya, sesuatu yang peribadi dan tidak terlalu ‘direka’. Seperti hujung minggu romantik di New York bersama seseorang yang anda cintai, tanpa perlu melakukan apa-apa, hanya menikmati masa bersama dengan langit bandar sebagai saksi,” kata Coppola, yang terkenal dengan pendekatan visual yang lembut namun penuh jiwa.
Menariknya, projek ini turut dilengkapi dengan siri foto di sebalik tabir yang dirakam oleh adik Elordi, Isabella Elordi, memberikan lapisan keintiman tambahan kepada kempen ini. Sentuhan Isabella menjadikan keseluruhan naratif lebih jujur seolah-olah kita melihat Jacob bukan sekadar sebagai bintang, tetapi sebagai insan yang benar-benar menghargai cinta.
Bagi Elordi, kolaborasi ini merupakan pengalaman yang penuh makna.
“Ia satu penghormatan untuk bekerjasama semula dengan Sofia dalam kempen yang meraikan cinta, seni dan semangat New York. Cartier sentiasa menjadi simbol keanggunan dan ketulusan, dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Lebih daripada sekadar kempen fesyen, Cartier LOVE Unlimited menjadi perayaan terhadap persahabatan, seni, dan cinta yang tidak terbatas oleh masa. Dengan pesona semula jadinya, Jacob Elordi bukan sekadar mencuri tumpuan dia menghidupkan semula semangat cinta abadi yang telah menjadi nadi Cartier selama lebih separuh abad.
Artikel berkaitan: Lelaki Paling Kacak di Dunia 2025: 10 Jejaka Paling Menawan Yang Gegarkan Dunia!
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.










