Inovasi dan Kreativiti TOUS Kekal Bergaya Selepas 33 Tahun
Dizahirkan 33 tahun yang lalu, beruang teddy ikonik TOUS masih lagi sinonim dengan jenama aksesori mewah ini sehinggakan ia menjadi elemen penting dalam setiap ceraian dan koleksi yang dikeluarkan oleh TOUS.
Bermula sebagai syarikat pembuat jam pada tahun 1920, anak kepada pengasas jenama veteran ini, Salvador Tous Ponsa bersama isterinya Rosa Oriol Porta menggabungkan bakat, idea, dan visi mereka untuk menempa nama TOUS ke dalam industri barangan perhiasan pada tahun 1965. Bermula pada awal 70-an pula, Rosa mula menghasilkan perhiasan dengan sentuhan peribadi buat pelanggan-pelanggan mereka dengan memperkenalkan elemen moden, kreatif, dan perhiasan yang lebih menarik. Revolusi kecil ini kemudiannya membawa kepada kelahiran simbol beruang teddy ikonik yang dikenali ramai kini.
"Melalui salah satu percutian saya, saya ternampak beruang teddy di sebalik cermin sebuah kedai dan ia mengingatkan saya kembali kepada memori-memori indah sewaktu saya kecil. Bagaiman jika saya menghasilkan semula [beruang teddy] menggunakan emas? Beruang tersebut menandakan pengembangan kami dan ia sentiasa wujud dalam setiap rekaan kami. Ia merupakan [satu simbol] yang istimewa dan saya sedar kami berada di sini kerana beruang tersebut. Kelembutan yang ia berikan adalah sesuatu yang universal."
Lambang beruang teddy ini telah membuatkan ramai jatuh cinta dengan TOUS dan ada juga yang menganggap lambang ini sebagai tangkal bertuah mereka dengan aura positif dan jiwa muda dizahirkan melalui lambang ikonik ini.
Melalui inovasi dan kreativiti mereka yang sentiasa berkembang, TOUS kini menampilkan 30 koleksi barangan perhiasan dan 50 koleksi tas tangan saban tahun.