Himpunan Best Dressed Di Governors Awards 2025
Acara karpet merah buat Governors Awards 2025 menetapkan rentak untuk musim anugerah dengan kehadiran barisan selebriti A-listed yang tampil dalam pelbagai penampilan yang nyata mempersonakan.
Saban tahun, Governors Awards menjadi medan pemanas enjin kepada musim Oscars, satu pentas yang menguji nadi fesyen Hollywood sebelum karpet merah paling berprestij berlangsung. Untuk edisi 2025, aura glamor terasa seakan denyut pertama sebuah simfoni besar. Para bintang tiba dalam palet metalik berkilau, rona-rona yang memukau serta siluet couture yang dirangka bak arca hidup. Ia bukan sekadar malam penghormatan kepada legenda industri, tetapi juga malam yang membentangkan bahasa gaya yang bakal mendominasi keseluruhan musim anugerah.
Kehadiran para selebriti ternyata mencuri tumpuan dengan tampilan busana masing-masing di acara penuh gemilang ini. Antara penampilan yang cukup menyerlah seperti Anya Taylor-Joy yang hadir seolah-olah terus keluar dari pentas couture Paris. Gaun Maison Margiela dengan perincian struktur yang dramatik dan perincian seni yang hampir avant-garde menjadi pilihannya, lantas memperlihatkan sisi eksperimental gaya karpet merah yang semakin memukau. Dipadankan pula dengan perhiasan Tiffany & Co., keseluruhan gayanya membentuk satu naratif di mana keberanian diolah dengan keanggunan.
Tidak kurang juga aktres Mia Goth, muse kepada Jonathan Anderson yang sering menjadi subjek estetika eksentrik. Mia memilih keanggunan yang lebih romantis, gaun Christian Dior dalam rona biru lembut dengan volume lembut yang beralun apabila dipadukan. Kini, glamornya tidak lagi bersifat gelap dan misterius, sebaliknya menghadirkan sisi ethereal yang mempesonakan. Siluet yang melingkari tubuhnya menyerlahkan keindahan couture klasik, namun masih membawa jiwa kontemporari yang menjadi DNA Dior masa kini.
Walaupun tumpuan malam ini turut tertuju kepada anugerah kehormat bagi tokoh besar seperti Tom Cruise, Debbie Allen dan Wynn Thomas, serta penghargaan kemanusiaan buat Dolly Parton, karpet merah tetap menjadi pentas pernyataan gaya yang cukup hangat dibicarakan. Governors Awards 2025 mengesahkan satu perkara, di mana sebelum Oscars tiba, Hollywood sudah memberi isyarat bahawa tahun ini gaun-gaun couture yang berani, tona warna gemilang dan tafsiran moden terhadap glamor klasik menjadi esen utama fesyen musim anugerah. Acara berprestij ini menjadi bukti bahawa himpunan best dressed bukan sekadar senarai, tetapi prolog kepada era keanggunan baharu di karpet merah dunia era kini.
Ini Senarai Best Dressed Di Acara Karpet Merah Governors Awards 2025
1. Mia Goth

2. Anya Taylor-Joy

3. Ariana Grande

4. Ejae

5. Emma Stone

6. Sydney Sweeney

7. Cynthia Erivo

8. Jennifer Lawrence

9. Elle Fanning

10. Dakota Johnson

Artikel berkaitan: Fesyen Terhangat Di Karpet Merah Festival Filem Venice 2024
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

