Gucci La Famiglia Menyapa Singapura Secara Eksklusif Di Marina Bay Sand - Glam Malaysia

Gucci La Famiglia Menyapa Singapura Secara Eksklusif Di Marina Bay Sand

Gucci La Famiglia hadir eksklusif di Singapura hingga 12 Oktober 2025, menyingkap era baharu yang meraikan identiti, komuniti dan warisan fesyen dengan pesona global.

Kota Singapura kini menjadi tempat eksklusif di Asia Tenggara bagi mengangkat koleksi terbaharu Gucci La Famiglia Di Minggu Fesyen Milan, yang tersedia di butik The Shoppes, Marina Bay Sands sehingga 12 Oktober ini. Dilancarkan serentak di kota-kota fesyen utama dunia seperti New York, London, Paris, Milan, Tokyo, dan Seoul, Singapura memegang keistimewaan sebagai satu-satunya destinasi rantau ini untuk menyaksikan nadi baharu rumah fesyen Itali tersebut. Koleksi oleh Demna ini tidak hanya membawa helaian, tetapi juga membentuk wajah identiti Gucci yang nyata berani, segar dan penuh kekinian.

Koleksi La Famiglia Kini Boleh Diterokai Dan Dimiliki

Pengumuman koleksi bermula dengan pelancaran lookbook pada 22 September, diikuti tayangan filem pendek The Tiger sehari kemudian. Filem itu menyingkap naratif sinematik penuh simbol, di mana para pelakon dan peragawati melangkah di karpet merah, memadukan persalinan dari koleksi La Famiglia. Ia bukan sekadar paparan fesyen, tetapi sebuah tafsiran semula kod ikonik Gucci yang kini ditenun dalam potret berbingkai, lantas merangkul keperibadian pelbagai generasi, cita rasa, dan estetika. Inilah detik yang menandakan lembaran baharu buat jenama tersebut, satu perjalanan untuk menegaskan bahawa fesyen adalah perihal warisan, komuniti, serta keberanian untuk tampil berbeza.

See also
Kerana 'Lack Of Diversity' & Rihanna, Victoria's Secret Fashion Show Akhirnya Dibatalkan?

Pada 24 September, suasana Marina Bay Sands menjadi saksi perayaan khas koleksi ini, dengan kehadiran duta jenama Billkin bersama bintang Singapura seperti Zhang Ze Tong, Shye, Haven dan Yang Yan. Kehadiran mereka menyerlahkan semangat baharu rumah fesyen ini di mana, selebriti dan peminat fesyen seakan berada dalam satu ‘keluarga besar Gucci’ yang meraikan identiti masing-masing. Koleksi edisi terhad ini menegaskan kedudukan Singapura sebagai hab fesyen serantau yang bertaraf global, menghubungkan Asia Tenggara dengan rentak Milan, Paris, dan dunia. Eksklusif hanya sehingga 12 Oktober nanti, kini butik Gucci di Marina Bay Sands menjadi destinasi istimewa untuk diterokai buat koleksi paling terkini Demna untuk Gucci.

Artikel Berkaitan: La Famiglia: Era Demna Di Gucci Bermula

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.