GLAM Next: Iman Opie Charting Her Territories
Dikenali sebagai Iman Opie atau nama sebenarnya Iman Alysha Amin, gadis comel dengan personaliti yang menceriakan serta kisah menarik tentang kehidupannya. Jom kenali Iman dengan lebih dekat lagi!
Konsep dan penata gaya SYAHIRAH HUSSAIN pengarah seni AMIRUL ARIFIN & KHAIRANI RAMLI video & suntingan ZAKWAN TAUFIQ gambar EDMUND LEE solekan EZAD IBRAHIM dandanan JUNO KO penerbit kandungan junior ZAHIRAH ZULKHAIRI teks MAYA KUSUMA pelatih amali BATRISYIA FAIZAL & MAIRA IKHZUL busana KATE SPADE
1- Iman merupakan salah seorang content creator terawal, kongsikan bagaimana bermula karier tersebut?
Sebenarnya, semua ini bukanlah sesuatu yang saya rancang. Saya memang suka memuat naik kandungan online, bermula dengan Keek, Socialcam dan tiba-tiba ramai orang suka tengok. Ia bukan kerana saya nak jadi content creator atau nak kumpul pengikut. Tapi bila peluang itu muncul, saya fikir, kenapa tidak? Sejak umur 14 atau 15 tahun lagi, saya dah suka buat content, dan bila nampak ada orang yang suka, saya pun teruskan sahaja.
2- Kongsikan 3 fakta menarik tentang diri Iman yang ramai pengikut tak tahu?
Pertama sekali, nama saya di Instagram atau yang orang kenal ialah Iman Opie. Ramai ingat itu nama saya, tapi sebenarnya Opie adalah nama kucing saya yang telah bersama kami sejak lahir. Saya tak selalu kongsi tentang kucing saya, jadi bila mereka tahu, barulah mereka sedar Opie tu kucing saya. Kedua, saya memang suka kucing, tapi saya ada alahan terhadap mereka. Dulu saya ada lima ekor kucing, tapi sekarang tinggal tiga, dan walaupun saya alergik, saya tetap sayang mereka, jadi tak mengapa. Ketiga, saya seorang foodie. Saya suka makan, terutama makanan manis. Saya gemar pergi ke kafe atau tempat baru untuk mencuba pelbagai jenis pencuci mulut.
3- Apakah go-to outfit Iman jika diberikan hanya lima minit sahaja untuk bersiap?
Bagi saya, 100% pakaian yang selesa sentiasa menjadi pilihan iaitu jeans paling longgar yang saya boleh jumpa dan baju pun saya pilih yang paling longgar. Baggy on baggy sebab biasanya kalau saya dah terlambat, saya akan mengenakan pakaian yang selesa, jadi saya terus capai baju besar dan seluar besar.
4- Siapa fesyen ikon kegemaran Iman, dan bagaimana gaya mereka beri inspirasi kepada Iman?
Pempengaruh atau pencipta kandungan kegemaran saya ialah Nailea Devora iaitu seorang YouTuber. Saya suka gaya fesyennya kerana setiap apa yang dia pakai nampak begitu effortless. Dia tidak perlu beria pun tapi masih tetap kelihatan menarik. Bukan sahaja fesyennya, tapi juga solekan, personaliti, dan segala-galanya tentang dia sangat menarik perhatian saya.
5- Kalau Iman boleh bawa kembali satu fesyen trend pada masa lalu, apakah ia?
Saya rasa fesyen ini pernah kembali sekejap, tapi sekarang tidak lagi. Dulu saya memang suka sangat flare jeans seperti gaya tahun 80-an. Saya pernah pakai sebenarnya, dan saya masih ada sepasang, tapi sekarang rasa segan nak pakai semula sebab rasa macam terperangkap dalam zaman dulu. Tapi jujur, saya memang suka flare jeans cuma bukan pada lelaki. Saya tak pasti nak rasa macam mana bila lelaki pakai seluar macam tu. Tapi bila tengok perempuan dengan kaki yang panjang pakai, saya rasa macam, “Wow, cantiknya.”
6- Apakah fesyen item yang Iman teringin nak pakai tapi masih tak berani gayakan?
Pada saya, gaya dan fesyen saya tidak terlalu menonjol dan ekstravaganza sangat. Gaya saya agak basic, dan saya suka begitu. Saya mungkin suka baju high neck atau turtle neck, tapi saya rasa macam tak sesuai dengan saya. Walaupun saya teringin nak pakai, bila dah beli saya pula rasa, “Tak apalah.” Masa kecil dulu, saya pernah pakai, sebab masa tu tak kisah sangat pasal penampilan tapi bila dah dewasa, saya rasa macam, “Tak, tak sesuai.”
7- Pada pendapat Iman, aksesori apa yang secara automatik upgrades penampilan seseorang?
Untuk wanita, aksesori ini tidak terlalu menonjol tetapi pada saya anting-anting melengkapkan pakaian seseorang. Secara peribadi bagi saya kalau saya tak keluar pakai anting-anting seperti ada yang kurang. Walaupun ia tidak memberi impak yang besar kepada sesuatu pakaian tapi anting-anting dapat membuatkan bentuk muka kelihatan lebih menarik. Kalau untuk lelaki pula, saya suka mereka memakai jam tangan.
Artikel Berkaitan: GLAM Next : Arisa Soraya, Bright Young Thing, Ekspresi Stail Dan Kecantikan Ikut Caranya