GLAM NEXT FACE: The World Always Revolves Around Nasha Aziz - Glam Malaysia

GLAM NEXT FACE: The World Always Revolves Around Nasha Aziz

nasha2011c
 
Selepas cover Januari 2008 (Nasha dalam wig bob pendek menconteng namanya dengan gincu fuchsia) dijulang Best Cover Design – Gold Award di Anugerah Majalah 2009 anjuran Persatuan Penerbit Penerbit Majalah Malaysia. Jika di sini, pengiktirafan itu sudah dikira besar, tidak termasuk lagi apabila penerbit Jerman, Taschen menyisipkan cover pancawarna ini sebagai rujukan dalam buku terbitan global, Asian Graphics Now. Yes, the cover has travelled the world! Dan peluang ketiga ini sudah lama GLAM tunggu.
 
Sedikit berdebar untuk bertemu Nasha, dalam kepala ini (serta fantasi yang disuap teman-teman media), Nasha sungguh hipnotik, pesonanya ultra ceria, agak unpredictable juga kadangkala tegas dalam setiap bait kata. Nasha tiba tepat jam dua, dan dalam hati saya – minta-minta mood-nya baik hari ini. Hadir cukup santai, dengan sun dress putih serta rambut yang sudah pun digulung satu persatu. “You nak curl besar or kecil pilih saja, I memang macam ni, kalau boleh ringankan kerja semua orang lagi bagus,” jelasnya juga teruja dengan kolaborasi ini. Kali pertama bertemu dan berbual lama dengan Nasha, semacam menghabiskan jigsaw puzzle yang ramai potretkan tentang Aktres Terbaik FFM 17 ini. Tidak sukar untuk berimaginasi dia membawa karakter nan pelbagai dalam setiap filem, drama mahupun catwalk. Sifatnya yang hadir parodsikal memungkinkan segala kemungkinan sehingga secara tidak langsung menghidupkan alter-ego ciptaannya. Aura pesona Nasha sukar dihuraikan. “Ini semua kerana kerja, mereka beri watak untuk saya jiwai. Well, I might go extra mile…” jelas Nasha membuka bicara. Seharian kami bercerita mengenai dunia seni, pengalaman modeling di luar negara, rutin cantik, cinta yang selfish, her idea of a well settled life dan sisi kasual Nasha yang belum pernah diterokai.
 
AURA MAGIS NASHA
Nasha masih kekal hebat di usia 40. Fakta yang memang tiada siapa boleh nafikan. She still can fit the sample-sized Gucci, disarungnya buat pengambaran wajah GLAM kali ini. Juga begitu berhati-hati dan terperinci membimbing jurusolek, Sheng Saw tentang apa yang kena dan tidak kena dengan wajahnya. “Bila dah sampai suatu umur dan sudah biasa mekap, saya tahu angle terbaik dan stail solekan apa yang kena dengan wajah. I’m trying to avoid smokey eyes now, dah bosan lah,” kata Nasha yang masih setia dengan cermin ‘sakti’nya. Cermin… antara esen unik dramatis ini, tidak pernah lekang daripada tangan. Bermula di sesi mekap sehinggalah ke pentas pengambaran, Nasha akan praktis memek muka yang ingin dilestarikan bersama cermin dahulu sebelum beraksi dramatik. It was quite a surreal atmosphere watching her doing her thing. Dan ketika itu kami tahu Nasha larut dalam dunianya sendiri,
 
“Saya perlukan cermin ini, ia penting untuk kerja.” “Kalau tiada atau lupa bawa?” tanya saya sengaja mahu tengok riak mukanya (semua orang tahu, dia cukup sukar berenggang dengan cermin). “Mesti ada yang pergi beli,” jawabnya ringkas. Sambung Nasha lagi, semua aura positif ini bermula daripada rejim cantik asasinya setiap hari. Cara bangun tidur juga diolah seakan bayi, perlahan-lahan mengerakkan setiap anggota badannya agar pergerakan tidak mengejut, dan sedikit senaman buat tulang belakang. Sudah lima tahun Nasha mempraktikkan pengambilan supplement, herba, kunyit dan ginseng setiap pagi. Ceritanya, ketika umur 20-an dia tidak terlalu taksub menjaga kencantikan kerana lebih suka fokus pada kerjaya. “I think I look okay at that time. Jika saya terlampau nak sempurna, itu sudah nampak macam tak bersyukur. Then, there would be something wrong with me. Masa itu saya selalu sangat buat kerja berat, hasilnya lihatlah tangan saya yang jelas berurat ini. Kadangkala bila ada babak close-up tangan terpaksa cari model lain. Tapi saya tidak pernah menyesal sebab kemahiran yang dipelajari tidak boleh dijual beli.”

See also
GLAM Exposé: Amalan Ilmu Hitam Untuk Kesenangan Diri

 

nasha2011b
 
Nasha juga beritahu dia makan sekurang-kurangnya empat sajian nasi sehari, melihatkan potongan badannya yang masih menarik lagi langsing, saya langsung tak percaya. “Rahsianya adalah harus sentiasa aktif. Semuanya kerana saya memang tiada pembantu! Tiada orang suruhan nak pergi belikan kopi, itu atau ini. I do everything myself. Daripada menyusun jadual, organising wardrobe costume, bersolek sendiri, memandu juga sendiri – no driver! Tiada masa untuk ke satu tempat (gim) dan bersenam. Saya buat di rumah sahaja, sebelum tidur dan setiap pagi, itupun bukan versi yang ekstrem ya. Penatlah…” jelasnya sambil menunjukkan memek muka letih.
 
Klik disini untuk sertai GLAM NEXT FACE
 
RENTETAN KERJAYA GEMILANG
Sementelah asyik berbicara, telefon bimbit Nasha berdering beberapa kali. Sesekali masuk pesanan ringkas, dan dia bingkas mencatat nota. Bila panggilan dibiarkan sahaja, katanya mahu beri fokus penuh menjawab soalan-soalan saya. Kata penata gaya Wei Chun tutup sahaja nanti mengganggu temu bual dan mood. Jawab Nasha, dia tidak mahu ada yang menjadikan itu isu, nanti kena complaint! Sememangnya Nasha terlalu dedikasi dalam segala tugas yang diberi. Jelitawan ini kini sedang sibuk dengan penggambaran drama siri, Supermak. Kali pertama dia diberi peluang menghidupkan karakter superhero, memegang watak utama sebagai adiwira juga suri rumah dalam masa sama. Dalam perkembangan lain pula, Nasha ditawarkan peranan menarik dalam filem Skandal yang akan mula penggambaran sekitar September. Filem diadaptasi daripada novel popular Richie Rachman ini memperlihatkan Nasha memegang watak ibu ayam. “Sepatutnya saya ditawarkan karakter ketua pramugari, tetapi setelah pengarah, Din CJ menceritakan sinopsis semua watak dalam filem ini, saya lebih tertarik dengan karisma karakter ibu ayam. Kerana terlalu teruja, saya cuba kumpul idea dan konsep untuk mencerna watak ini.”
 
Terkenal dengan keupayaannya membawa peranan antagonis juga protagonis, akui Nasha dia memang cerewet dalam menerima tawaran. “Seperti filem Sepi, pengarah Khabir Bhatia mahukan saya memegang watak yang dimainkan Vanida, tapi saya tertarik dengan watak Suzie. Tuah menyebelahi apabila dinobat Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 2008 melalui peranan Suzie yang sentiasa ceria. Begitu juga filem Trauma, saya ditawarkan peranan dibawa Amy Mastura, tapi saya percaya boleh membawa watak gadis psiko lebih berkesan. Hasilnya, piala Pelakon Wanita Terbaik di FFM 17 juga pencalonan sehingga Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004.”
 
Jadi mana satu yang Nasha lebih suka, berlakon atau modeling? “Kalau nak banding keseimbangan bayaran dan kerja tentulah modeling dan iklan komersial lebih berbaloi. Lagipun ia cinta pertama saya.” Dia yang menggemari rekaan rumah fesyen Rizalman Ibrahim dan Syaiful Baharim, sering dilihat menjadi muse ketika pertunjukan fesyen mereka. Bercerita tentang pengalaman memperaga di luar negara, Nasha tergelak besar menjelaskan semua agensi yang mewakilinya terpaksa menipu umurnya di dalam call card. “Ketika itu mereka hanya mahu model muda berusia 15 hingga 25, tapi kerana wajah Asia ini ramai yang percaya umur saya 21 seperti tertulis, padahal saya 28!” Pengalaman paling manis tentunya terbang ke New York untuk pertunjukan fesyen musim bunga/panas 2001 Zang Toi.
 
“We had a lot of fun, me and Toi’s family. Zang Toi sungguh baik hati, sanggup beri saya duduk di studio apartmentnya dan dia pula terpaksa menginap di hotel kecil. Kerana rindukan masakan Malaysia, kami masak ramai-ramai sambil melayan tetamu New Yorkers Zang Toi. Kami jamu kuih karipap dan dia suka benar dengan puding karamel saya.” Sambung Nasha, setakat ini dia tidak bercadang untuk berhenti modeling. “Selagi ada tawaran, saya terima. Memang ramai yang tanya mengenai perancangan masa depan, adalah beberapa rancangan bisnes yang masih dalam perbincangan. Tetapi saya tak suka bercerita tentang sesuatu yang tak pasti, seperti ‘bila nak kahwin?’ Because everything is still grey…” 
 
nasha2011_a
 
CINTA BUAT SAYA LETIH!
“Selama hidup ini saya tidak belajar apa-apa pun tentang cinta,” luah Nasha tanpa berselindung. Jelasnya, jika mahu bercerita pasal strategi kerja dia boleh dikatakan jagoan. “Cinta buat saya letih! Love is selfish!” ujarnya sedikit menjerit. “Teman untuk berkongsi kejayaan memang ada, tetapi teman untuk berkongsi mendengar kisah pahit dan lara, tiada.” Dia tidak mengerti mengapa begitu sukar mencari bahu untuk dia melepaskan lelah. “Semua yang berkawan, mereka tahu saya kuat dan sangat positif, mungkin kerana itu semua berasa saya superhero agaknya, segala masalah boleh dipikul seorang,” ungkap Nasha pasrah dengan hela nafas panjang.
 
Everyone has their version of a settled life. Teori Nasha pula adalah, “Penyatuan dua jiwa menjadi satu. Gaya hidup seimbang – dunia dan akhirat. Saya bukannya orang jenis materialistik, jadi idea merasai hidup dengan orang dicintai sehingga akhir hayat adalah impian terunggul.” Semua orang pun tahu, hubungan cinta Nasha dengan Pengurus Acara, Nur Iman Tang Abdullah sudah lama terjalin. Sehinggalah ketika selesai penggambaran hari itu, Tang datang menjemput Nasha. Mereka kelihatan sungguh mesra dan intim bersama, sehingga buat saya tertanya – who is the selfish one?
 
Spekulasi tarikh perkahwinan mereka sudah lama berlegar di dada akhbar, ulas Nasha kepada saya, “My dear, everyday we must have good thoughts, saya bukan macam orang lain, semua orang ada keinginan masing-masing. Mereka mahu cari pereka fesyen untuk baju perkahwinan paling glamor, lokasi paling gah. I’m actually a very simple person. Kalau boleh hanya mahu majlis nikah, resepsi pun jika famili inginkan. Kerana semua orang kenal Nasha dengan pesona glamor, pada hari perkahwinan nanti, saya akan tunjukkan sifat natural sebenar Nasha. This is what I like, and it’s not fame and glamour.”
 
Sejak umur 17 tahun lagi bintang ini sudah digubal perfectionist oleh Tiara Jacquelina, yang ketika itu bertanggung jawab sebagai mentor. “Dia yang cabut dan rapikan kening saya, teach me how to look presentable. Tapi fasa perfectionist itu telah berlalu.” Dan segala lautan perhatian juga terma glamor, hebat, pesona bintang, semua itu akui Nasha bukan dirinya yang sebenar. Ketika menuntut di Sekolah Menengah Taman Keramat, bersebelahan sekolahnya nun di atas bukit terdapat satu kawasan perkuburan yang kerap Nasha lawati setiap kali pulang dari sekolah. Katanya, ia beri ketenangan jiwa infiniti setiap kali. “Saya perhatikan kubur mana yang cantik, terbiar, nisan yang kecil dan besar. Semua ini saya kira bersangkut paut dengan kasih sayang. Ketika itu idealisme kasih sayang membawa kedamaian jiwa. Tetapi kini sukar betul untuk mengecapi ketenangan seperti itu. Ada ruang kosong di sanubari yang perlu diisi dan saya tak akan berhenti mencari,” kata Nasha mengakhiri perbualan panjang kami.

See also
Oscar de la Renta disaman Carolina Herrera

 
Oleh: Min Luna