Gaya Red Carpet Di British Fashion Awards 2025 - Glam Malaysia

Gaya Red Carpet Di British Fashion Awards 2025

Fashion Awards 2025 mengangkat semarak glamor dan bakat global di Royal Albert Hall, menyatukan pereka, ikon dan masa depan fesyen dalam satu malam yang berdenyut dengan penghormatan, evolusi dan keanggunan tanpa batas.

Royal Albert Hall kembali bersinar apabila barisan kuasa fesyen dunia melangkah masuk ke Fashion Awards 2025, sebuah pentas penuh prestij yang merayakan gaya, tetapi juga masa depan industri. Dipersembahkan oleh British Fashion Council dengan sokongan Pandora, acara tahunan ini terus mengukuhkan misinya mengumpul dana untuk program geran dan pendidikan di bawah BFC Foundation, membuka laluan baharu kepada pereka British yang sedang mengukir nama. Tahun ini, suasananya terasa lebih megah, seakan-akan setiap langkah di karpet merah membawa bersama cerita pencapaian, keberanian, dan evolusi fesyen global.

Tumpuan utama malam itu terarah kepada tokoh-tokoh yang mengubah industri fesyen sepanjang tahun lalu. Jonathan Anderson dinobatkan sebagai Designer of the Year atas kecemerlangannya menerajui JW Anderson dan Dior, dua rumah fesyen berbeza yang disatukan melalui sentuhan kreatifnya. Dilara Findikoglu, pereka fesyen yang semakin memonopoli imaginasi Gen Z, menerima Vanguard Award sebagai pengiktirafan terhadap pendekatan radikalnya. Sementara itu, Sarah Burton untuk Givenchy dan Grace Wales Bonner masing-masing membawa pulang trofi pereka wanita dan lelaki terbaik, lantas membuktikan visi mereka dalam terus mencorakkan naratif fesyen moden kini. Turut diraikan ialah Little Simz, Sam Woolf serta model ikonik, Anok Yai yang akhirnya menerima trofi Model of the Year yang sudah lama menantinya.

See also
Kim Kardashian Sofistikated Dalam Persalinan Balmain

Namun seperti kelaziman setiap acara besar, karpet merah tetap menjadi medan pertama yang mengumumkan aura malam itu. Tetamu hadir dengan busana yang bukan saja memancarkan glamor, tetapi turut menjadi penghormatan halus kepada calon-calon yang diraikan. Cate Blanchett tampil anggun dalam busananya, memilih helaian terkini Givenchy rekaan Sarah Burton, sebuah pernyataan bergaya bahawa hubungan antara selebriti dan pereka terus saling mengangkat. Pemenang anugerah Model of the Year tahun 2024, Alex Consani pula memperagakan dress daripada McQueen yang nyata ikonik, manakala Anok Yai mencuri tumpuan dengan penampilan memukau dalam busana Dilara yang direka khas untuknya, yang mana menjadi suatu simbol kesinambungan antara model ikonik dan pereka muda yang sedang mencipta sejarah.

Fashion Awards sekali lagi membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar pementasan, fabrik mahupun siluet semata-mata, tetapi rangkaian kisah yang menghubungkan bakat, masa depan dan warisan industri fesyen. Di dalam Royal Albert Hall, setiap nama yang diumumkan bukan sahaja diraikan atas hasil kerja mereka, tetapi kerana keberanian mereka membentuk semula naratif fesyen kini. Di luar dewan, acara karpet merah yang bergemerlapan dan cukup mencuri tumpuan terus berbicara, melalui pilihan setiap tetamu untuk tampil berbeza.

See also
Gaya Musim Panas Sinematik Dari Roma Buat Fendi Summer 2025

Ini Senarai Gaya Terbaik British Fashion Awards 2025

1. Anok Yai

2. Alex Consani

3. Cate Blanchett

4. Raye

5. Amelia Gray

6. Nina Dobrev

7. Alexa Chung

8. FKA Twigs

9. Paloma Elsesser

10. Yasmin Finney

Artikel berkaitan: 10 Gaya Yang Mencuri Tumpuan Di The Fashion Awards 2024

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.