Gaya Karpet Merah Boleh Membinasakan

Gaya Karpet Merah Boleh Membinasakan

TASHA Shilla Mac 2013Tasha Shilla dalam persalinan Gucci. (Gambar: GLAM edisi Mac 2013)

 
Oleh: Aizat Aidid
 
Saya selalu membayangkan acara hebat di Malaysia seperti Anugerah Industri Muzik, Festival Filem Malaysia atau Anugerah Skrin berlangsung dengan acara karpet merah yang cukup berprestij. Namun, sepanjang menjadi penonton setia, saya melihat selebriti tempatan gagal memperlihatkan gaya karpet merah yang segah dengan piala yang bakal digenggam oleh mereka. Tidak tahu apa punca sebenar yang menyebabkan selebriti kita ‘tewas’ gaya kala melewati permaidani merah. Bukannya kita tidak punya barisan pereka fesyen lokal yang mampu memberikan gaun yang elegan untuk tampil gah di atas karpet merah. Sayangnya, ia tidak membantu mereka untuk terus melonjakkan nama sebagai pereka berwibawa malahan akan membinasakan kerjaya mereka dalam memberi khidmat kreatif dunia fesyen.
 
Tidak sekadar tertumpu pada gaun yang bakal disarung, selebriti juga perlu mendapatkan gaya solekan dan dandanan yang bagus untuk melengkapkan gaya mereka apabila melewati karpet merah. Maka, di sini lahirlah tugas penata gaya yang dilihat sebagai pari-pari penyelamat fesyen kepada selebriti. Biarkan sahaja pari-pari fesyen ini yang menjalankan tugas mereka. Lihat sahaja bagaimana Micaela Erlanger menukar hidup Lupita Nyong’o. Busana Prada yang dipakai ketika anugerah Oscar 2015 mengubah hidup aktres itu selama-lamanya. Sejak daripada itu wajah eksotik itu mula mendominasi dunia fesyen seperti menjadi gadis kempen Miu Miu dan menghiasi kulit majalah Vogue.
 
Selebriti lokal tidak mahu berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat penata gaya kerana beranggapan ia satu yang merugikan. Walhal, saya percaya dengan adanya insan ini setiap stail yang diberikan mampu mencipta bual bicara para peminat hiburan dan fesyen tanah air. Saya cukup terpesona melihat keanggunan Vanidah Imran di Festival Filem Malaysia 2015. Dia tampak mempesona di dalam persalinan sut biru berkilat dengan rambut dibiarkan lurus, wajah di oles ringkas dan hanya penegasan pada bibir mungilnya. Semua ini adalah hasil tangan penata gayanya yang bijak memberikan sentuhan moden dalam gaya karpet merah Malaysia. Saya yakin selepas melihat gaya itu, masih ada sinar dalam gaya karpet merah.
 

See also
Breaking News: Baselworld 2020 Dibatalkan!

Vanidah ImranVanidah Imran di Festival Filem Malaysia 2015 dalam persalinan Syomir Izwa.