Evolusi Fesyen Ikonik Ratu Tv Malaysia - Glam Malaysia

Evolusi Fesyen Ikonik Ratu Tv Malaysia

Dari aura glamor Saloma hingga ke gaya digital Scha Alyahya, evolusi fesyen ratu TV Malaysia ternyata memaparkan transformasi tampilan fesyen yang mencerminkan zaman dan identiti era selebriti wanita tanah air.

Di ruang kaca televisyen, sebelum wujudnya aplikasi Instagram mahupun Tiktok, menjadi pentas utama buat ragam berfesyen oleh para selebriti. Dari era Saloma yang cukup klasik hingga ke fesyen kontemporari barisan selebriti era kini, GLAM menelusuri evolusi fesyen ikonik sepanjang zaman buat ratu tv tanah air.

Dari Layar Kaca Ke Sorotan Gaya, Ini Evolusi Fesyen Barisan Selebriti Wanita Mengikut Zaman

1960-an – Pesona Ayu & Aura Saloma

Sebelum munculnya drama bersiri moden, bintang seperti biduanita pertama, Saloma, Latifah Omar, Mariani dan ramai lagi menjadi wajah gaya di layar perak dan kaca TV. Gaya mereka dalam mempersembahkan glamor Asia klasik ternyata tidak dapat disangkalkan. Kebaya ketat, fabrik organza dan renda, rambut disanggul tinggi dan aksesori pernyataan menjadi sorotan utama fesyen. Saloma khususnya memperkenalkan konsep selebriti sebagai ikon gaya, dengan sentuhan fesyen yang mendahului zaman. Aura beliau menjadi acuan glamor yang kekal mempesona hingga kini, malah menginspirasi semula dalam rekaan moden pereka seperti Bernard Chandran dan Syomirizwa Gupta.

1970-an – Keanggunan Klasik Bertemu Retro Glamor

Era 70-an menyaksikan kemunculan pelakon dan penyanyi wanita seperti Normadiah, Sharifah Aini, Uji Rashid, Noorkumalasari, Sarimah Ahmad mahupun Anita Sarawak yang memikat lensa kamera dengan pesona antara glamor dan keanggunan tradisional. Gaya mereka sering diwarnai dengan kebaya moden berlabuci, baju kurung berfabrik mewah serta dress glamor dengan esen disco queen. Rambut disisir rapi dalam sanggul klasik atau dibiarkan panjang membingkai wajah, lengkap dengan solekan mata galak dan bibir merah delima. Nuansa ini menggambarkan kemewahan halus seorang diva Melayu yang penuh disiplin, bercita rasa tinggi dan tetap berseni.

See also
Nirmala Merak Bulgari Simbol Kemewahan Teratas

1980-an – Ledakan Gaya Era TV Berwarna

Dengan masuknya pengaruh barat yang semakin ketara dan ledakan televisyen warna, era ini dimeriahkan oleh figura seperti Fauziah Ahmad Daud dan Maria Arshad, yang membawa glamor sebenar ke layar kaca. Butiran bahu berpad, fabrik berkilat, dan palet mewah menjadi sinonim dengan gaya drama queen. Ia adalah zaman di mana fesyen setara penting dengan skrip. Setiap penampilan di kaca TV mempunyai momen tersendiri, dramatik, tegas dan penuh karakter. Penonton bukan sahaja tertarik pada jalan cerita, tetapi juga pada gaya busana yang dipakai watak utama. Dalam setiap episod, fesyen menjadi sebahagian daripada naratif, membentuk identiti watak yang membekas dalam memori penonton.

1990-an – Realisme Gaya Gadis Kota

Gaya selebriti wanita pada dekad ini mula dipengaruhi oleh semangat urban yang semakin menyerlah dalam drama mahupun muzik popular. Barisan bintang termasuk Erra Fazira, Norish Karman, Ziana Zain dan juga ratu rock Malaysia, Ella serta kumpulan wanita, Elite antara wajah yang menguasai dunia hiburan pada ketika ini. Elemen vintaj, berkelas, denim, mencerminkan wanita kota yang berdikari dan cukup stylish. Siluet ringkas namun penuh karakter menjadi pilihan, sementara rambut diolah dalam gaya blow-out besar atau disanggul tinggi. Aura ‘girl next door’ bertemu bintang pop menjadikan fesyen era ini sangat relatable dan cukup ikonik. Kini, gaya 90-an kembali menjadi inspirasi Gen Z yang dihidupkan semula estetikanya, ke dalam acuan yang lebih kontemporari.

See also
Kasut Parti La Pausa Tarikan Menawan Chanel Cruise 2019

2000-an – Diva Eksklusif & Gaya Moden

Membawa masuk fenomena ‘mak datin fashionista’ ke kaca televisyen Malaysia menerusi drama popular seperti Spa Q, Puteri atau filem ikonik Gol & Gincu. Di mana, watak-watak wanita bukan lagi sekadar penyeri naratif, tetapi tampil sebagai ikon gaya dengan aura penuh kemewahan. Buat dunia hiburan menyanyi, biduaniti Dato Siti Nurhaliza lantas mencetus fenomena. Penata gaya era ini lebih pastinya dipenuhi dengan elemen glitz and glamour. Himpunan aksesori statement seperti kaca mata besar dan tas tangan berjenama seolah menjadi elemen wajib gaya. Ia menampilkan persona wanita elit kelas atasan, sofistikated, eksklusif dan sedikit flamboyan. Nora Danish dan Fazura menjadi antara wajah utama yang menghidupkan era ini, menjadikan setiap kemunculan mereka sebagai momen ‘fashion show’ tidak rasmi. Nuansa ini mencerminkan obsesi masyarakat terhadap status, penampilan dan kuasa gaya sebagai simbol kejayaan.

2010-an – Hijrah Kontemporari & Globalisasi Gaya

Fesyen menjadi lebih spiritual namun tetap elegan. Deretan nama seperti Neelofa dan Mira Filzah memperkenalkan gaya hijab high-fashion, palet minimalis dan siluet yang nyata bersih. Drama era ini mula menampilkan jenama tempatan dan antarabangsa secara terang-terangan, membuktikan bahawa modesti tidak mengorbankan kemewahan. Gaya wanita berhijab di kaca TV tampil lebih sofistikated, dengan padanan tudung polos dan busana potongan arsitektural yang memikat. Penampilan ini bukan sekadar mencerminkan perubahan cita rasa, tetapi juga menyemai kebanggaan dalam ekspresi identiti modesty fashion.

See also
Gaya Karpet Merah Terbaik di Anugerah Emmy ke-68

2020-an – Dari Skrin Ke Sosial Media

Kini, pelakon bukan sekadar ikon TV, mereka juga merupakan pempengaruh dalam dunia fesyen. Amelia Henderson, Mimi Lana serta ikon fesyen, Scha Alyahya yang masih aktif sehingga hari ini, mencerminkan identiti mereka, sama ada memadukan gaya jalanan, baju tradisi ataupun busana dari pereka. Skrin kecil berubah menjadi landasan digital dan gaya mereka terus membentuk trend yang bukan hanya di Malaysia, tetapi juga secara global. Dalam setiap paparan OOTD, kolaborasi jenama mahupun kemunculan di acara karpet merah ternyata menyelit kuasa pengaruh yang nyata mampu mengangkat status pereka tempatan dan menyemarakkan semula minat terhadap warisan gaya Asia moden. Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi bintang tanah air yang mendefinisikan semula fesyen kontemporari dengan sentuhan lokal yang mendunia.

Artikel berkaitan: Fesyen Raya Keluarga Selebriti Malaysia Paling Diminati

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.