Dior Cruise 2026 Kini Dilancarkan Di Butik Seluruh Dunia
Koleksi Dior Cruise 2026, yang menjadi mahakarya terakhir Maria Grazia Chiuri, menyuntik warisan seni dan sinema Roma. Kini, dilancarkan di butik seluruh dunia sebagai himpunan simbolik yang memadukan sejarah kostum, realisme magis dan kehalusan couture.
Koleksi Dior Cruise 2026 yang pertama kali dipersembahkan di Villa Albani Torlonia di Roma, kini rasmi dilancarkan di butik-butik Dior seluruh dunia. Ia membawa naratif puitis Maria Grazia Chiuri terus ke ruang retail global. Koleksi ini lahir sebagai sebuah sintesis autobiografi, detik masa yang memelihara imaginasi dalam bella confusione, di mana kekacauan indah yang pernah diusulkan Ennio Flaiano kepada Federico Fellini untuk karya agungnya. Berlatarkan kota Roma yang sarat sejarah sinema, teater, fesyen serta seni, Chiuri menghidupkan kembali memori budaya yang membentuk ‘kota abadi’ itu buat koleksi terakhirnya di Dior.

Dior Cruise 2026, Sebuah Fantasi Rom Yang Menjelma
Inspirasi koleksi ini bermula daripada pertemuannya dengan Mimì Pecci-Blunt, figura kosmopolitan abad ke-20 yang memancarkan pesona Roma, Paris dan New York. Melangkah masuk ke dalam dunia Mimì, Chiuri membangunkan semula semangat ‘Bal de l’Imagination’. Ia merupakan pesta seni yang menyatukan watak hidup, bayangan dan persahabatan yang nyata bercahaya. Semangat penyamaran, kebebasan serta pertembungan antara realiti dan fantasi diterjemah melalui himpunan rekaan yang penuh simbolik dan keanggunan.

Mahakarya Chiuri buat Dior yang terakhir, kini tersedia di butik seluruh dunia. Pencinta Dior dapat meneroka rangkaian yang menginjek elemen sejarah kostum dengan nada kontemporari. Seperti contoh, vest maskulin yang dipadankan bersama skirt labuh yang berayun, tailcoat yang mengingatkan pakaian pentas, gaun renda halus dengan motif bas-relief mahupun jaket siluet ketenteraan dengan butang dan garisan hitam yang tegas. Himpunan dipersembahkan berselang-seli antara helaian putih yang mendominasi, gaun baldu merah dan hitam lantas memberi penghormatan kepada adik-beradik Fontana dan penampilan ikonik Anita Ekberg dalam La Dolce Vita. Baldu keemasan pula memperkayakan gaun paling halus dalam koleksi ini.

Seperti penari farandole, setiap elemen dalam koleksi ini wujud serentak, mempunyai kontras namun tetap serasi antara satu sama lain. Melalui permainan tekstur putih dari yang paling tebal ke paling ringan, Chiuri membina semula mitologi dan lanskap Roma dengan gaya realisme magis, intuisi puitis dan renungan peribadi. Dalam pelancaran butik global ini, Dior mengajak dunia untuk menyelami semula imaginasi Chiuri, suatu perjalanan visual yang menghubungkan sejarah, seni dan kehalusan haute couture dalam satu koleksi yang kini boleh dimiliki di seluruh dunia.

Artikel berkaitan: GLAM FIRST: Dior Cruise 2026 Di Villa Albani Torlonia, Itali
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

