Dedikasi Chanel di Gala Pembukaan Opera Paris 2025/26
Jenama mewah Chanel sekali lagi memperbaharui komitmennya dengan menyokong Gala Pembukaan Paris Opera yang berlangsung pada 27 September 2025 di Palais Garnier.
Sejak tahun 2018, Chanel telah menjadi penaja utama acara berprestij ini, dan sejak 2023, peranannya sebagai Penaung Utama memperlihatkan kekuatan hubungan istimewa yang terjalin antara CHANEL dan dunia seni tari.
Chanel dan seni tarian

Foto kredit: @odieuxboby
Selain daripada acara gala ini, Chanel turut aktif menyokong kesinambungan serta masa depan seni tari dengan terlibat dalam usaha pemulihan empat lokasi utama Opera serta menyokong perkembangan Junior Ballet, sebuah syarikat tari yang ditubuhkan pada tahun 2024. Junior Ballet ini diwujudkan bagi membuka ruang kepada bakat-bakat baru serta menarik perhatian audiens yang lebih pelbagai terhadap dunia tari.
Tahun ini, para penonton gala disajikan dengan persembahan karya Annabelle López Ochoa berjudul Requiem for a Rose serta klasik terkenal Giselle, yang diikuti dengan majlis makan malam mewah di Grand Foyer bersama para artis serta rakan dan duta jenama Chanel.
Dalam acara tradisi Défilé du Ballet, para penari Junior Ballet muncul buat kali kedua di pentas lagenda Palais Garnier. Bersama para Étoiles – yang memakai tutu dan tiara yang direka khas oleh Chanel dengan kerjasama tukang sulam terkenal Lesage pada tahun 2021, mereka juga mengenakan kostum yang dicipta khas oleh Chanel dan bengkel Opera, diserikan lagi dengan sentuhan seni daripada pakar bulu dan bunga, Lemarié. Setiap satu daripada 12 tutu yang dipersembahkan dihiasi secara manual dengan 300 keping bulu burung unta, manakala korsetnya turut dihiasi bulu dan disempurnakan dengan bunga camellia satin putih yang ditampal secara tangan.

Dengan menyokong Gala ini, Chanel menegaskan semula komitmennya terhadap Paris Opera dan kepada bakat muda yang kreatif. Selaras dengan semangat yang dimulakan oleh Gabrielle Chanel lebih satu abad yang lalu, Chanel terus meraikan bersama Opera dialog gemilang antara dunia fesyen dan seni tari.
Pada September 2025, Kementerian Kebudayaan telah mengumumkan pelancaran program pemulihan Nouvel Air, Nouvelle Ère. Sebagai Penaung Istimewa bagi Kerja-kerja Pemulihan Bangunan Opera, Chanel menyokong projek besar ini yang akan bermula pada tahun 2027 dan melibatkan keempat-empat lokasi utama Paris National Opera: Palais Garnier, Opéra Bastille, Sekolah Tari Nanterre, dan Ateliers Berthier.
Menerusi kerjasama ini, Chanel meraikan hubungan aktif dan berterusan dengan dunia seni tari yang telah bermula sejak awal abad ke-20.
Artikel Berkaitan: Matthieu Blazy Cipta Sejarah Fesyen Dengan Debut Koleksi Chanel SS26
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

