Cloud Dancer Dinobat Sebagai Colour Of The Year 2026 - Glam Malaysia

Cloud Dancer Dinobat Sebagai Colour Of The Year 2026

Kejutan! Cloud Dancer kini diumumkan oleh Pantone sebagai Colour of the Year untuk tahun 2026. Ikuti GLAM mengupas tentang rona putih lembut ini di dalam sudut landskap fesyen.

Baru-baru ini, Pantone mengumumkan pilihan Colour of the Year 2026 dan keputusan itu sekali lagi mengubah arah perbualan dalam dunia reka bentuk. Setelah beberapa musim dipenuhi rona terang dan garang yang mendominasi pentas peragaan serta gaya jalanan, Pantone mengangkat Cloud Dancer sebagai rona yang menjadi tumpuan. Warna putih yang lembut, tinggi dan harmoni ini digambarkan sebagai tona yang menawarkan keseimbangan, ketenangan dan keserbagunaan merentas semua disiplin kreatif termasuk fesyen dan interior. Leatrice Eiseman, Pengarah Eksekutif Pantone Color Institute, menjelaskan bahawa Cloud Dancer melambangkan pengaruh yang menenangkan dalam masyarakat yang semakin frenetik dan menyeru kepada pertimbangan yang lebih perlahan serta refleksi yang jujur.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by PANTONE (@pantone)

Adakah Rona Cloud Dancer Bakal Mendominasi Landskap Fesyen 2026?

Pemilihan warna tahunan Pantone bukanlah proses yang ringkas. Dengan ribuan tona dalam arkibnya, setiap satu diolah dengan keseimbangan yang teliti, memilih warna yang tepat untuk mewakili zeitgeist global memerlukan penelitian mendalam terhadap budaya, politik dan perubahan gaya hidup dunia. Laurie Pressman, Naib Presiden Pantone Color Institute, menyatakan bahawa ‘Pantone 11 4201 Cloud Dancer’ mencerminkan perubahan cara kita hidup dan mereka bentuk. Rona putih yang berangin ini dilihat sebagai simbol pencarian keseimbangan antara masa depan yang serba digital dengan keperluan asas manusia terhadap hubungan yang tulus dan penuh empati.

Dior SS26

Dalam landskap fesyen semasa, Cloud Dancer hadir seiring dengan gelombang rekaan yang meraikan fesyen buat koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2026. Trend ini terlihat jelas apabila rumah fesyen besar turut mempersembahkan interpretasi mereka terhadap rona putih yang disuntik dalam koleksi. Jenama fesyen mewah seperti Dior, Chanel, Bottega Veneta dan banyak lagi turut menyertai gelombang ini, lalu memberi interpretasi mereka sendiri terhadap warna yang elegan dan serba boleh ini. Keseluruhannya, kehadiran rona putih yang dominan pada minggu fesyen global memperlihatkan bagaimana industri bergerak ke arah estetika yang lebih bersih, tenang dan reflektif, seiring dengan semangat warna tahunan, Cloud Dancer.

Kiri: Chanel SS26 Kanan: Bottega Veneta SS26

Dalam deretan warna tahun sebelumnya seperti mocha brown, peach fuzz dan magenta kemerahan, pemilihan putih ini terasa seperti kembali kepada asas namun tetap futuristik. Cloud Dancer mengingatkan bahawa kesederhanaan bukan satu bentuk kekurangan tetapi keanggunan yang abadi. Ketika dunia menuju tahun baharu dengan keinginan untuk kestabilan, kejelasan dan ruang untuk bernafas, Cloud Dancer muncul sebagai simbol harapan. Namun setelah melihat pengaruhnya di pentas fesyen dan dalam naratif kreatif global, adakah benar Cloud Dancer atau rona putih ini layak dinobatkan sebagai Colour of the Year 2026?

See also
Biru Klasik - Ramalan Trend Warna 2020

Artikel berkaitan: Colour of The Year Untuk 2018 Didedahkan Oleh Pantone

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.