Christian Louboutin Umum Jaden Smith Sebagai Pengarah Kreatif Lelaki Pertama - Glam Malaysia

Christian Louboutin Umum Jaden Smith Sebagai Pengarah Kreatif Lelaki Pertama

Christian Louboutin melantik Jaden Smith sebagai Pengarah Kreatif lelaki pertama mereka, dengan koleksi sulung yang dijangka akan dipersembahkan di Minggu Fesyen Lelaki Paris Januari akan datang.

Rumah fesyen Christian Louboutin telah melantik Jaden Smith sebagai Pengarah Kreatif lelaki pertama mereka, lima belas tahun selepas jenama kasut mewah itu melancarkan koleksi menswear. Pelantikan ini bukan sahaja menandakan sebuah bab baharu dalam perjalanan Maison yang terkenal dengan tapak merah ikoniknya, tetapi juga memberi isyarat tentang evolusi budaya fesyen yang semakin terbuka kepada visi generasi baharu. Smith, seorang penyanyi rap, pelakon dan ikon gaya yang sering menolak sempadan norma, bakal berpindah ke Paris untuk mempersembahkan koleksi sulungnya pada Minggu Fesyen Lelaki Januari akan datang. Dia bakal mempersembahkan empat koleksi setahun merangkumi kasut, barangan kulit serta aksesori, di samping merangka kempen, acara serta pengalaman imersif yang memperkukuh identiti label.

Jaden Smith Dipilih Oleh Christian Louboutin

Bagi Smith, tanggungjawab ini datang dengan campuran rasa hormat dan tekanan. “Ini adalah salah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya dan pastinya akan ada tekanan untuk memastikan saya dapat menunaikan segala yang telah dibina Christian untuk Maison ini,” katanya dalam satu kenyataan. “Apa yang membuatkan saya benar-benar terkesan ialah bagaimana cara pandang kami terhadap dunia hampir serupa. Kami berkongsi rasa hormat terhadap kebebasan kreatif dan itulah yang menjadikannya semula jadi.” ujar Christian Louboutin sendiri yang menyifatkan Smith sebagai seorang yang rendah hati, penuh rasa ingin tahu dan memiliki pemikiran serta gaya yang menyegarkan, lantas sifat-sifat ini yang dirasakan sesuai untuk membawa menswear Louboutin ke arah lebih dinamik.

Pelantikan Smith juga membolehkan Monsieur Louboutin menumpukan perhatian kepada empayar wanita yang semakin berkembang, sambil memperkukuh barisan lelaki yang kini menyumbang 24 peratus daripada keseluruhan perniagaan syarikat. Menariknya, pemilihan Jaden Smith tidak melalui proses pencarian rasmi. Louboutin pertama kali bertemu Smith pada 2019 dan setiap pertemuan selepas itu mengingatkannya kepada dirinya yang lebih muda. “Dia hadir sebelum idea tentang seorang pengarah kreatif wujud. Ia bukan kerana saya mencari seseorang, tetapi kerana dia, secara organik,” ujar Louboutin.

Hubungan antara dua personaliti ini terbukti terjalin atas dasar saling menghargai visi dan semangat. “Menggabungkan visi saya dengan Christian datang secara semula jadi kerana kami melihat dunia dengan cara yang serupa,” tambah Smith. “Saya mahu meneruskan cerita ini, menghormati masa lalu sambil membentuk masa depan melalui perspektif saya sendiri. Ini bukan sekadar gelaran, tetapi sebuah rumah kreatif.” Dengan semangat muda yang berani dan sokongan penuh daripada Louboutin, pelantikan ini dilihat sebagai permulaan kepada era baharu, di mana warisan dan inovasi berpadu untuk melakar masa depan fesyen lelaki dengan penuh tenaga dan lebih segar.

See also
Jaden Smith & Cara Delevingne Berkolaborasi Untuk Filem Tragik

Artikel berkaitan: Christian Louboutin Menghidupkan PFW Dengan Gaya Spektakuler Persembahannya

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.