Burberry Menghidupkan Semula Ikon Trench Dengan Sentuhan Moden - Glam Malaysia

Burberry Menghidupkan Semula Ikon Trench Dengan Sentuhan Moden

Burberry meniupkan nafas baharu pada ikonnya yang abadi, menghadirkan seleksi Trench Craft dari koleksi Musim Sejuk 2025 sebagai dialog indah antara warisan dan inovasi.

Sejarah fesyen sentiasa memerlukan simbol abadi dan bagi Burberry, ikon itu adalah trench coat. Dari medan perang ke jalanan kota London, potongan ini telah melintasi dekad sebagai pelindung tubuh daripada hujan tetapi lebih daripada itu, ia juga melindungi tradisi. Lebih 160 tahun lamanya, label Burberry menenun cerita warisan British melalui fabrik ciptaan Thomas Burberry sendiri, penggunaan material cotton gabardine yang kalis hujan namun tetap lembut. Sehingga kini, ia masih dihasilkan di Yorkshire, England. Lapisan dalam bercorak check rumah fesyen ini pula menambahkan sentuhan yang tidak pernah gagal dikenali, lantas menjadi signature pada helaian yang tak lapuk ditelan zaman.

Trench Craft: Klasik Inggeris Disulam Esen Moden

Musim Sejuk 2025 menjadi saksi kepada bab baharu apabila Burberry memperkenalkan dua gaya kontemporari iaitu Fitzrovia trench dan Ellingham car coat. Ia bukan sekadar reinterpretasi, tetapi dialog antara tradisi dan inovasi. Garisan klasik diberi nafas baharu dengan siluet yang lebih lapang, lengan yang melebar serta skirt beralun yang mencipta ritma ketika berjalan. Pinggang berikat memberi definisi yang elegan, manakala raglan sleeves mengimbau semula era trench awal Burberry. Himpunan trench coat kali ini menawarkan kelembutan pada bahu dan kebebasan gerakan, seperti helaian yang bergerak di antara struktur dan fluiditi.

See also
5 Model Made In Malaysia Yang Patut Anda Kenali

Namun, kedua-dua siluet ini tidak berdiri sendirian. Mereka dilengkapi dengan rangkaian Heritage dan Contemporary Rainwear Burberry yang terus memegang peranan sebagai standard dunia. Koleksi Trench Craft ini turut menghadirkan Kensington dengan bentuk tegas yang klasik, Chelsea berpotongan langsing yang moden serta Castleford trench yang longgar, dramatik dan dihiasi perkakasan logam yang menambahkan karakter maskulin. Setiap satu adalah tafsiran berbeza tentang keanggunan buat keperibadian dan gaya yang nyata tersendiri.

Bagi Burberry, praktikaliti sentiasa menjadi asas kepada keindahan. Trench coat hadir sebagai perisai bergaya terhadap cuaca seperti hujan dan angin, namun dalam setiap helaian terselit juga naratif warisan Inggeris yang mendalam. Dari lorong-lorong berkabus di kota London hingga ke pentas antarabangsa, item fesyen trench Burberry berdiri sebagai manifesto fesyen yang tidak pernah kehilangan relevansi. Dalam setiap jahitan dan sentuhan tangan, terkandung janji bahawa ikonik tidak pernah statik, namun sentiasa berevolusi dan tetap berakar kepada asalnya.

Artikel berkaitan: Burberry Mempersembahkan: ‘It’s Always Burberry Weather: London in Love’

See also
The SpeSHALS Galaxy of Shalma Ainaa

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.