Nathalie Verdeille Hidupkan Semula Bird on a Rock by Tiffany
Bird on a Rock by Tiffany

Tiffany & Co. Bawa Ikon Bird on a Rock Dalam Gaya Berani

Bird on a Rock by Tiffany koleksi high & fine jewelry baharu yang menggabungkan warisan Schlumberger dengan visi moden Nathalie Verdeille.

Seekor burung kecil yang hinggap di atas batu. Pada pandangan pertama, ia tampak sederhana. Tetapi di tangan Tiffany & Co., simbol ini berubah menjadi sebuah karya seni abadi. Ikon ciptaan Jean Schlumberger pada era 1960-an kini kembali dalam koleksi Bird on a Rock by Tiffany, selebrasi tentang cinta, kebebasan, dan keberanian untuk terbang lebih tinggi.

Jean Schlumberger dikenali kerana keupayaannya mengubah elemen alam menjadi karya seni penuh fantasi. Motif burungnya yang hinggap di atas batu berwarna pernah menjadi antara ciptaan paling ikonik dalam sejarah Tiffany. Kini, Nathalie Verdeille, Chief Artistic Officer of Jewelry and High Jewelry, memberi nafas baharu kepada rekaan ini. Hasilnya adalah koleksi yang merentas generasi, merangkul keindahan asli Schlumberger sambil menterjemahkannya dalam bahasa moden.

Bird on a Rock by Tiffany

“Bagi koleksi barang kemas mewah, kami meneliti setiap pergerakan burung, dari bulu sayap hingga stail hinggap. Bagi fine jewelry pula, kami menyingkap esensinya seperti sayap, lalu menjadikannya simbol abstrak yang penuh tenaga,” jelas Verdeille. Inilah keindahan Bird on a Rock: satu ikon, dua tafsiran, seribu makna.

See also
Selamat Hari Bapa! 7 Bingkisan Sesuai Buat Bapa

Koleksi Bird on a Rock by Tiffany hadir dengan dua suite mewah yang memukau. Pertama, tanzanite yang mana batu warisan Tiffany sejak 1968 dihidupkan semula melalui rantai, gelang dan anting-anting dramatik yang memancarkan aura malam New York. Kedua, set turquoise yang menampilkan rantai dengan seekor burung bertatah berlian menggenggam gugusan turquoise cabochon. Ia diolah dengan perincian emas dan bulu berlian, lalu berakhir pada titisan turquoise dramatik yang seakan jatuh dari langit biru. Suite turquoise ini seolah-olah menggabungkan dua dunia: ketelitian Schlumberger dalam bermain dengan kontras dan DNA Tiffany yang sinonim dengan permata biru. Hasilnya, sebuah karya yang berani, menawan dan tidak konvensional.

Bird on a Rock by Tiffany

Jika koleksi barang kemas termewah adalah pentas besar, himpunan fine jewelry Bird on a Rock adalah momen intim. Koleksi ini hadir dalam bentuk lebih versatil, sesuai untuk gaya harian atau acara glamor. Figuratif burung terbang solo atau berpasangan diolah dalam siluet moden, manakala koleksi Bird on a Rock Wings menonjolkan susunan berlian dengan teknik “hidden setting”. Seakan terapung di udara.

See also
Kehalusan Koleksi High Jewelry Tiffany & Co. Diserlahkan Dengan Tiffany Paper Flowers

Rekaan anting-anting boleh ubah menjadi bintang utama. Satu pasang memberi empat penampilan berbeza: daripada stud minimalis untuk siang, ke drop earrings dramatik untuk malam gala. Inilah fleksibiliti yang membuatkan koleksi ini begitu relevan untuk wanita moden, yang mahu aksesori mereka bergerak bersama kehidupan dinamik.

Di karpet merah, kita boleh membayangkan anting-anting Wings dipadankan dengan gaun couture. Di meja makan malam eksklusif, kalung turquoise menjadi pusat perhatian. Dan di momen sehari-hari, cincin fine jewelry Bird on a Rock menjadi tanda kecil tetapi penuh makna tentang keberanian peribadi.

Artikel Berkaitan: Tiffany & Co. Membuka Pameran Sarat Lagenda Di Bangkok

Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.