Raih Perhatian Kerana Bersalin Di Hospital Kerajaan, Kenali YM Che’ Puan Khaleeda Yang Anggun & Berjiwa Rakyat
Tahniah GLAM ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, YM Che’ Puan Khaleeda Bustamam menyambut keputeraan putera ketiga baru-baru ini. Perkhabaran gembira itu dikongsi Tunku Ismail di Facebook (FB), HRH Crown Prince of Johor.
Nyata kelahiran putera kedua ini mengujakan terutama sekali rakyat negeri Johor. Namun paling menarik perhatian adalah keputusan Che Puan Khaleeda yang memilih untuk bersalin di hospital kerajaan iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu dipuji netizen. Ini selepas dirinya berkongsi gambar eksklusif melalui hantarannya di laman Instagramnya, menzahirkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan hospital yang terlibat melancarkan proses kelahiran tersebut.
UPDATE TERKINI – Nama anak ketiga Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, YM Che’ Puan Khaleeda Bustamam ini baru saja diumumkan, iaitu Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail. (Sumber: MSN.com)
Ramai netizen yang memuji tindakan pasangan diraja ini memilih untuk melahirkan putera mereka di hospital kerajaan berbanding hospital swasta. Nyata tindakannya itu menunjukkan betapa berjiwa rakyat dan sikap rendah diri yang ditonjolkannya. Tanpa membuang masa, GLAM simpulan beberapa fakta menarik tentang YM Che’ Puan Khaleeda yang tidak semua tahu.