Balmain Melantik Antonin Tron Sebagai Pengarah Kreatif Baharu - Glam Malaysia

Balmain Melantik Antonin Tron Sebagai Pengarah Kreatif Baharu

Balmain membuka era baharu yang kini di bawah Antonin Tron sebagai Pengarah Kreatif, bakal meneruskan glamor Rousteing dengan sentuhan magisnya pula.

Selepas lebih satu dekad di bawah pimpinan Olivier Rousteing, rumah fesyen ikonik Balmain kini memasuki bab baharu dengan pelantikan Antonin Tron sebagai Pengarah Kreatif yang baharu. Pengumuman rasmi yang dibuat awal minggu ini mengesahkan bahawa pereka kelahiran Perancis itu akan menggantikan Rousteing, yang meninggalkan jenama tersebut selepas 14 tahun kepimpinan penuh pengaruh. Di bawah era Rousteing, Balmain berkembang daripada rumah fesyen bersejarah kepada kuasa global, dikenali dengan estetika sensual, glamor dan penuh tenaga muda.

Era Baharu Balmain: Antonin Tron Mengambil Alih Tongkat Kreatif Seterusnya

Bagi Tron, peralihan ini bukan sekadar perubahan kerjaya, ia adalah penyambungan legasi Perancis yang dihormati dunia. “Saya amat berbesar hati menyertai Balmain dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana mempercayai saya untuk meneruskan warisan luar biasa ini,” ujar Tron. “Balmain bagi saya adalah gabungan antara savoir-faire, budaya, sensualiti dan keanggunan, di mana fesyen yang berani, terperinci dan bercahaya.” Kata-katanya merangkum semangat yang ingin dibawanya: kesinambungan antara tradisi dan pembaharuan, antara warisan haute couture dan bahasa moden yang segar.

See also
Bintang Hollywood di Emmy Awards 2017

Tron bukanlah nama asing dalam dunia fesyen Perancis. Sejak menubuhkan labelnya sendiri, Atlein pada tahun 2016, beliau menarik perhatian dunia dengan rekaan yang menukar bahan harian seperti fabrik jersi menjadi karya berstruktur tinggi dan memukau. Kemenangan di ANDAM Awards pada 2018 mengukuhkan reputasinya sebagai pereka yang memahami keseimbangan antara fungsi dan bentuk. Dalam koleksi terkininya, Tron menonjolkan siluet luar yang tegas dan struktur bersahaja,  satu arah yang seiring dengan percubaan terakhir Rousteing terhadap gaya elevated casualwear. Peralihan ini tampak seperti kesinambungan semula jadi bagi Balmain yang sedang mencari makna baharu dalam kemewahan kontemporari.

Pelantikan Tron juga menandakan satu lagi lembaran menarik dalam dunia fesyen global yang kini menyaksikan gelombang kedua pelantikan kreatif baharu di rumah-rumah ternama. Dalam barisan nama besar yang turut memulakan era baharu termasuk Meryll Rogge di Marni, Rachel Scott di Proenza Schouler, Maria Grazia Chiuri di Fendi, dan Grace Wales Bonner yang bakal mempersembahkan koleksi pertamanya untuk Hermès pada tahun 2027. Bagi Balmain, langkah ini menjanjikan kesinambungan visi yang elegan namun progresif, lantas mengekalkan api glamor yang dinyalakan oleh Rousteing, sambil membuka ruang kepada nafas moden yang lebih lembut dan penuh struktur. Dunia kini menanti, bagaimana Antonin Tron akan mentafsir semula joie de vivre Balmain dalam bahasanya sendiri.

See also
Raya in the City oleh Fizi Woo

Artikel berkaitan: Kim Kardashian Sofistikated Dalam Persalinan Balmain

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.