Anyaman Intrecciato Ikonik, Bahasa Universal Buat Bottega Veneta
Kraf anyaman Itali yang diabadikan sebagai satu wadah seni unggul buat dunia di Bottega Veneta, dirakam indah dalam penggambaran berlatarkan perabot eksklusif dari Joy Studio.
Bottega Veneta meraikan ulang tahun keemasan teknik anyaman Intrecciato yang ikonik dengan melancarkan kempen ‘Craft is Our Language’. Ia merupakan manifestasi kekuatan ekspresi tangan universal, melangkaui sekadar sambutan ulang tahun. Diperkenalkan pada tahun 1975 dan dikenali sebagai “in-treh-chah-toh”, teknik anyaman berakar umbi dalam tradisi kraf Itali dan kepakaran kerja kulit di wilayah Veneto. Teknik ini melibatkan anyaman jalur kulit nipis atau ‘fettucce’ secara manual pada panel kulit dasar atau mengelilingi acuan kayu. Keunikan Intrecciato terletak pada susunan pepenjuru yang inovatif, perkadaran yang tepat, dan kualiti kulit Bottega Veneta yang istimewa.

BEG ANDIAMO MESSENGER & IRIS SWIVEL CHAIR, JOY STUDIO
Setengah Abad Kraf Cemerlang
Kempen ‘Craft is Our Language’ menampilkan para artisan Bottega Veneta bersama tokoh-tokoh terkemuka dari pelbagai bidang, termasuk penyanyi dan penulis lagu Jack Antonoff, pengarah Dario Argento, artis Barbara Chase-Riboud serta dalam kempen ini ialah Edward Buchanan, bekas Pengarah Kreatif pertama buat Bottega Veneta (1995-2000). Dia adalah orang penting dalam memperkenalkan koleksi Ready-to-Wear pertama jenama ini, melambangkan evolusi berterusan Bottega Veneta. Lauren Hutton, yang terkenal dengan penampilan membawa klac Intrecciato dalam filem ‘American Gigolo’ (1980), memainkan watak utama dalam mempopularkan Bottega Veneta di persada budaya global.

BEG ANDIAMO MESSENGER & LOTTE DINING CHAIR, JOY STUDIO
Kempen ini menggunakan Intrecciato sebagai metafora untuk kesalinghubungan dan semangat kolaborasi yang menjadi asas Bottega Veneta sejak penubuhannya oleh sekumpulan artisan pada tahun 1966. Ia merakamkan isyarat tangan yang melambangkan Intrecciato, seiring dengan isyarat universal yang menghubungkan manusia merentasi generasi, budaya, dan konteks.

BEG PARACHUTE & RALPH LOUNGE CHAIR PU BROWN, JOY STUDIO
Intrecciato terus menjadi kraf yang hidup dan berkembang di bengkel Bottega Veneta. Memerlukan berjam-jam, bahkan berhari-hari, kesabaran, dan kemahiran artisan, teknik ini diwariskan dengan teliti dari satu generasi ke generasi berikutnya. Meskipun tidak pernah memerlukan penciptaan semula, Intrecciato sentiasa dapat diinterpretasikan semula dalam pelbagai bentuk, warna, saiz, struktur, dan gaya.Seni kraf ini diteruskan sehingga kini dalam himpunan aksesori juga ceraian pakaian. Setiap Pengarah Kreatif yang bertugas di Bottega Veneta meraikannya melalui cara mereka sendiri.

Artikel Berkaitan: Louise Trotter Mengukir Jejak Baru Di Bottega Veneta
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

