Alia Bastamam Menghembus Kembali Nafas Baharu Ke Dalam Dunia Bridal - Glam Malaysia

Alia Bastamam Menghembus Kembali Nafas Baharu Ke Dalam Dunia Bridal

Koleksi ‘The New Bridal’ oleh Alia Bastamam menandakan kesinambungan dunia pengantin jenama ini sejak 2019, dengan sentuhan moden yang elegan, ringan dan penuh keperibadian dalam setiap rekaan.

Selepas beberapa tahun menyulam busana pengantin secara eksklusif dan peribadi, label tempatan Alia Bastamam kini kembali dengan sebuah koleksi bridal penuh buat pertama kalinya sejak 2019. Ia bukan permulaan semula, tetapi kesinambungan penuh makna kepada warisan yang dibina penuh dedikasi sejak hari pertama. Koleksi ini menandakan bab baharu dalam naratif Alia yang lebih moden dan bebas, namun tetap sarat dengan elegan tersendiri.

Timeless Silhouette, Modern Bride — Sebuah Bab Baharu Dalam Dunia Pengantin Alia Bastamam.

Setiap rekaan dalam koleksi ini menjelmakan siluet yang cukup timeless, lantas diberi suntikan moden. Di mana, himpunan gaun yang bergerak lembut bersama tubuh serta penuh dengan lapisan draperi halus yang menjadi tanda tangan buat pereka fesyen wanita terkenal ini. Struktur dan kelembutan wujud dalam harmoni seperti lace bodices berstruktur yang terasa ringan, perincian tali halus yang menari di belakang serta cape sheer yang memberi lenggok anggun untuk efek dramatik. Ia adalah interpretasi semula tentang keanggunan dengan sentuhan keberanian yang elegan.

See also
10 Gaya Selebriti Di Karpet Merah Gala TIME100 Next 2024

Permainan deretan fabrik yang bersifat lut sinar dan tekstur pleats lembut pula mencipta ilusi gerakan dan kedalaman pada koleksi. Ada ketelitian yang hampir ritualistik, yang mana setiap butiran manik dan sulaman diletakkan dengan tangan oleh pasukan artisan Alia Bastamam yang berpengalaman, lantas menjadikan setiap busana bukan sekadar pakaian tetapi sebuah karya cinta yang nyata eksklusif.

Koleksi ini adalah penghormatan kepada si pengantin moden, penata gaya pengantin wanita yang menulis kisah cintanya sendiri, dalam lenggok penuh yakin dan tersendiri. Sama ada dalam berbusana lace yang tegap atau helaian strappy yang halus dengan cape panjang yang berbisik di belakang, Alia Bastamam menghadirkan semula dunia bridalnya yang klasik, kali ini dengan sentuhan yang lebih berani, halus dan peribadi.

Artikel Berkaitan: Alia Bastamam, Mencipta Legasi Bersinar

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.