5 Momen Fesyen Ikonik Terkini Hailey Bieber - Glam Malaysia

5 Momen Fesyen Ikonik Terkini Hailey Bieber

Hailey Bieber kini menjadi salah seorang ikon fesyen moden, di mana setiap penampilannya tampil selari dengan kebangkitan label Rhode. Lambang estetika baharu yang memadukan kesederhanaan, keanggunan dan kemewahan yang kian diminati ramai.

Dalam peta dunia fesyen semasa, Hailey Bieber berdiri sebagai wajah generasi baharu yang memadukan minimalisme dengan sensualiti elegan. Bukan sekadar seorang model atau pasangan kepada bintang muzik terkenal, dia adalah wajah yang menjelmakan estetika baharu, sofistikated, minimalis, namun penuh daya provokatif. Sebagai pengasas jenama Rhode, setiap langkahnya di mana-mana acara mahupun di jalanan kota menjadi sebahagian daripada bahasa visual yang konsisten. Di mana, satu manifesto gaya tentang stailnya adalah kesederhanaan mampu disulam menjadi kemewahan. Lima momen fesyen terkini ini memperlihatkan bagaimana gaya peribadinya berkembang seiring dengan identiti jenamanya.

Deretan Gaya Terkini Hailey Bieber Yang Mencuri Tumpuan

1. Mengimbau Aura Madonna

Baru-baru ini, penampilan Hailey menjadi bualan hangat apabila dia perlihat memadukan kemeja satin teal rekaan Tom Ford untuk Gucci, dipadankan dengan seluar hitam yang terstruktur. Hailey menghidupkan semula gaya Madonna ketika tahun 1995. Bukan hanya tentang nostalgia, penampilan ini adalah tafsiran semula sebuah gaya yang pernah mendefinisikan pemberontakan feminin. Hailey menyalin aura itu kembali ke dalam era moden, lantas menjadikannya relevan untuk generasi sekarang. Ia menandakan detik momen fesyen ikonik buat Hailey yang memetik ikon lalu dan menyesuaikannya dengan bahasa fesyen masa kini.

See also
Percikan Pancawarna Color Therapy

2. Pelancaran Rhode Di Sephora Times Square

Ketika label kecantikannya, Rhode dilancarkan di Sephora Times Square, Hailey memilih ensemble vintaj Donna Karan Spring 1996. Crop top dan skirt mini itu mencerminkan kesegaran era 90-an yang kini kembali mendominasi arus fesyen. Pilihan ini terasa simbolik, koleksi yang lahir seiring usianya kini dipakai untuk meraikan kejayaan peribadi malah tampil profesional. Hailey menyatukan gayanya yang tampak matang, berkeyakinan dan menawan di dalam satu tampilan sahaja.

3. Office Chic Dengan Sentuhan Feminin

Keesokan harinya, menuju ke lokasi yang sama, Hailey mengulangi siluet tertentu namun dengan tafsiran berbeza. Jaket kulit kuning mentega dipadankan dengan bra renda dan seluar wool hitam yang menjerit gaya office siren dengan cukup chic! Ia menyeimbangkan ketegasan dan kelembutan, profesional dan sensual. Dalam satu penampilan, Hailey menyuntik gambaran tentang wanita moden yang tidak perlu memilih antara kuasa dan kelembutan, kerana kedua-duanya boleh wujud dengan harmoni.

4. The White And Black

“Tiada putih selepas Labor Day” pernah menjadi larangan sosial yang tidak bertulis dalam fesyen Barat. Namun, Hailey tampil memadankan kemeja putih digandingkan dengan seluar hitam berkilat, lalu menolak peraturan itu dengan anggun. Hailey ternyata tidak terikat oleh adat usang, membuktikan keanggunan bukan tentang kepatuhan, tetapi tentang keberanian dalam mengenakan pakaian buat diri sendiri.

See also
Stail Terbaik Pelakon Dune: Part Two Di Karpet Tayangan Perdana

5. Mesh Shorts di West Village

Penampilan kasual Hailey di West Village menunjukkan sisi eksperimen fesyennya. Mesh basketball shorts, simbol atletik yang biasanya santai, dipadankan dengan jaket kulit bomber dan stiletto mules. Gabungan kontras ini mengubah kod streetwear menjadi sesuatu yang sofistikated. Tampilan Hailey ini membawakan gaya yang segar, penuh keberanian serta mencerminkan bagaimana Hailey mampu menjadikan pakaian harian sebagai kanvas ekspresi berkelas.

Artikel berkaitan: Raikan Hari Jadi Ke-28 Hailey Bieber: 7 Gaya Ikoniknya Yang Pasti Memukau

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.