5 Jangkaan Trend Fesyen Musim Luruh 2024
Dalam fokus untuk menghangatkan badan pada musim luruh 2024, fesyen untuk kekal bergaya dalam kedinginan cuaca ini tidak boleh dilupakan.
Musim luruh 2024 akan datang dan semestinya gaya fesyen yang tidak boleh dilupakan. Musim luruh ialah musim terbaik untuk berfesyen lebih-lebih lagi dengan warna yang memberi kehangatan kepada penggemar fesyen. Sempena musim luruh yang bakal datang, GLAM ingin berkongsi jangkaan trend fesyen fall pada tahun ini.
#1 Rona Mahogany
Rona mahogany adalah rona coklat gelap yang kaya dengan tona kemerahan, menyerupai penampilan kayu mahogany yang mirip namanya. Warna ini sering dikaitkan dengan kehangatan, sofistikasi, dan keanggunan. Untuk musim luruh 2024, mahogany dijangka menjadi trend utama. Warna mahogany yang dalam dan hangat sesuai dengan musim luruh yang biasanya mengutamakan rona-rona bumi yang kaya. Mahogany memberikan suasana yang selesa dan seiring dengan landskap musim luruh. Sifatnya rona ini yang timeless memastikan warna ini tetap bergaya dan relevan, memberikan estetika klasik yang tidak mudah lapuk.
#2 Tas Tangan Maxi
Tas tangan maxi adalah beg bersaiz besar yang dijangka menjadi trend untuk musim luruh 2024. Tas tangan maxi menawarkan ruang yang luas, menjadikannya ideal untuk membawa barang-barang harian. Aspek praktikal ini menarik bagi mereka yang memerlukan beg yang boleh memuatkan banyak barang seperti komputer riba hingga lapisan pakaian tambahan. Dengan saiznya yang besar, ia membolehkan tas ini digunakan dalam pelbagai situasi, dari tempat kerja hingga keluar bersantai. Untuk musim luruh 2024, tas tangan maxi akan sering menampilkan warna-warna musim yang kaya seperti coklat, mahogany, burnt orange, dan hijau kusam. Bak tas tangan maxi dari Bottega Veneta yang kini menjadi trend, tas ini juga akan melengkapi gaya musim luruh anda.
#3 Suede
Sejenis kulit dengan tekstur lembut dan berbulu iaitu suede juga dijangka menjadi pilihan ramai untuk musim luruh 2024 ini. Suede terkenal dengan rasa mewah dan penampilan yang kaya, menjadikannya pilihan popular dalam fesyen. Tekstur unik suede menambah sentuhan sofistikasi dan keselesaan pada pakaian musim luruh. Kualitinya yang lembut dan sentuhan suede meningkatkan pengalaman sensori ketika memakainya, menjadikannya pilihan yang digemari untuk cuaca yang lebih sejuk. Jaket suede, kot trench, dan vest akan menjadi pilihan utama yang menonjol sambil kekal klasik. Selain itu, but dan loafers suede juga akan popular, menawarkan gaya dan keselesaan. Untuk penampilan yang sleek dan moden, pilih pakaian suede monokrom dalam tona coklat atau tan. Ini mencipta penampilan yang kemas.
#4 Retro & Vintage
Gaya retro dan vintage adalah dua pendekatan fesyen yang dijangka mendominasi musim luruh untuk tahun 2024. Kedua-dua gaya ini menawarkan sentuhan nostalgia dan keanggunan yang tak lapuk oleh waktu. Gaya retro merupakan pengaruh fesyen dari berdekad lalu, sering kali menonjolkan elemen dari tahun 1960-an hingga 1990-an. Ini termasuk corak, warna, dan potongan yang ikonik dari masa lalu yang diubahsuai untuk memenuhi keperluan fesyen kini. Cetakan retro seperti paisley, floral, dan tartan akan kembali popular. Corak yang besar dan berani akan memberi penampilan yang menonjol dalam pakaian musim luruh. Siluet dari era 70-an dan 90-an, seperti seluar flare, blaus berleher tinggi, dan jaket besar sudah pun menjadi satu trend sekarang. Potongan ini memberikan penampilan yang lebih berani dan bergaya lebih-lebih lagi ketika musim luruh.
#5 Tekstur & Fabrik Berlapis
Tekstur dan fabrik berlapis memberikan kedalaman dan dimensi pada pakaian. Kedua-dua elemen ini memainkan peranan penting dalam mencipta penampilan yang menarik dan praktikal untuk musim ini. Tekstur fabrik seperti baldu, suede, korduroi, tweed dan knitted merupakan antara fabrik yang sesuai dengan musim luruh yang dingin. Musim luruh 2024 akan menunjukkan penggunaan lapisan yang pelbagai, seperti jaket di atas sweater, dan kemeja di bawah blazer. Lapisan ini bukan sahaja memberi gaya tetapi juga memberikan fungsi tambahan dalam menahan kesejukkan.