10 Gaya Terbaik Selebriti Di Critics Choice Awards 2026
Daripada Mia Goth yang hadir berbusana Dior yang sensual mahupun Ariana Grande dengan sisi estetika femininnya, GLAM himpunkan dereta gaya selebriti terbaik di Critics Choice Awards 2026.
Critics Choice Awards 2026 menandakan permulaan rasmi musim anugerah dengan suasana yang penuh berkelas. Mengambil tempat di Barker Hangar, Santa Monica, acara berprestij ini menghimpunkan barisan pelakon, pengarah dan penulis paling berpengaruh dalam landskap filem dan televisyen semasa. Berbanding kemeriahan hujung tahun yang sarat kilauan, karpet merah kali ini tampil sebagai satu ‘reset’ visual, lebih tenang, lebih sofistikated. Palet warna neutral seperti hitam dan putih mendominasi, disulami kilauan metalik yang minimal, menjadikan keseluruhan malam terasa sebagai pembukaan yang yakin dan berfokus, bukan sekadar pertunjukan glamor semata-mata.
Dari segi pencapaian, malam anugerah ini menyaksikan persaingan sengit antara judul-judul besar. Filem Sinners yang mendahului senarai pencalonan dengan 17 kategori, namun kemenangan utama Best Picture akhirnya menjadi milik filem ‘One Battle After Another’, yang turut menerima 14 pencalonan. Pelakon musim kini Timothée Chalamet pula membawa pulang trofi Best Actor menerusi lakonannya dalam ‘Marty Supreme’, manakala Jessie Buckley diiktiraf sebagai Best Actress untuk peranannya dalam filem ‘Hamnet’. Dalam kategori televisyen pula, siri ‘The Pitt, The Studio’ dan ‘Adolescence’ muncul sebagai peneraju malam dengan beberapa kemenangan utama, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara produksi paling menonjol tahun ini. Di sebalik anugerah dan sorakan, jelas terasa bahawa Critics Choice Awards terus berfungsi sebagai penentu awal naratif musim anugerah yang bakal berlanjutan hingga ke Oscars.

Dalam pada itu, acara karpet merah kekal menjadi perhatian. Keindahan malam itu terletak pada keseimbangan antara kesederhanaan dan ekspresi peribadi, apabila deretan selebriti masing-masing hadir berbusana mempersonakan. Ariana Grande tampil setia dengan estetika femininnya, memadukan gaun tulle merah jambu dari Alberta Ferretti yang lembut tetapi mencuri fokus di tengah dominasi rona gelap. Teyana Taylor pula membawa sisi fesyen yang lebih tegas dan berani dengan sut Saint Laurent, dilengkapi dengan perincian bulu seolah kot dan but setinggi paha. Pasangan pelakon Frankeinteins, Mia Goth dan Jacob Elordi yang tampil seiring dalam estetika moden klasik. Di mana, Mia Goth memilih gaun Dior dengan potongan bersih dan sensual, sementara Jacob Elordi tampil segak dalam sut Bottega Veneta yang kemas dan kontemporari. Jom lihat dengan lebih lanjut, tampilan selebriti lain yang menarik tumpuan dengan penampilan mereka!
Ini 10 Gaya Terbaik Selebriti Di Critics Choice Awards 2026
1. Mia Goth berbusana Dior

2. Chase Infiniti berbusana Louis Vuitton

3. Teyana Taylor berbusana Saint Laurent dan barang kemas Tiffany & Co

4. Jacob Elordi berbusana Bottega Veneta

5. Elle Fanning berbusana vintaj Ralph Lauren dan barang kemas Cartier

6. Ariana Grande berbusana Alberta Ferretti

7. Ethan Hawke berbusana Bode

8. Audrey Nuna berbusana Marc Jacobs

9. Jessica Biel berbusana Lanvin dan barang kemas Cartier

10. Paul Mescal berbusana Gucci
Artikel berkaitan: 7 Penampilan Terbaik Selebriti Di Critics Choice Awards 2025
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.


