GLAM Expose: Marrying Rich! Ibu Groom Anak Sebagai Bon Masa Depan - Glam Malaysia

GLAM Expose: Marrying Rich! Ibu Groom Anak Sebagai Bon Masa Depan

Menjodohkan anak dengan pasangan berkedudukan tinggi, kaya-raya dan berilmu bukanlah perkara baru. Ia seakan membudaya dalam masyarakat kita terutama pada ibu-ibu yang bercita-cita tinggi mahu bermenantukan orang kaya dan ternama. Mereka mahu hidup anak gadis mereka diselimuti kemewahan, tinggal di mahligai tersergam, melancong ke luar negara seperti pulang ke kampung sahaja dan paling penting tinggi statusnya di dalam masyarakat. Orang tua sekarang tidak lagi teruja kalau anak gadis mereka pulang dengan bakal menantu yang handsome dan berbadan ‘sado’.

Rupa paras mereka tolak tepi sekarang. Tak guna kalau wajah mirip Robert Pattinson pun atau macho bak Johnny Depp tapi kocek mereka kempis. Oh no! Dia bukan menantu pilihan. Bagi ibu-ibu ini bakal menantu cukuplah sekadar sedap mata memandang tapi yang paling utama berduit. Lebih baik kalau berjawatan tinggi di syarikat multi nasional dan anak orang bergelar, golongan bangsawan dan kerabat terdekat. They say money does make him a bit more attractive. Tetapi andai si calon menantu itu kacak, itu bonus namanya. Paling-paling ‘cikai’  kalau bukan anak orang ternama sekalipun, calon menantu mestilah berpendidikan tinggi, seorang yang profesional seperti doktor pakar, peguam high profile atau jurutera bekerja di syarikat gergasi. Baru ada class!

MISI SI IBU

Menjadi fitrah ibu mahu memberikan yang terbaik pada anak-anak termasuklah dalam soal jodoh. Selalunya memang si emaklah yang sibuk beriya-ya mahu jodohkan anak-anak. Ayah hanya mengikut sajalah. Secara psikologinya daripada kecil lagi sudah ditanam di kepala anak, cari lelaki kaya nanti hidup kamu senang tidaklah susah melarat. Tentulah yang ibu pun teringin mahu lihat anak kepit beg Chanel, Dior atau jinjit tas Birkin. Simpang malaikat 44 kalau selepas berkahwin anak  masih perlukan bantuan duit daripada ibu dan ayah. Kalau si anak bersuamikan orang ternama lagi hartawan, sekaligus si ayah pun dapatlah projek dan seluruh ahli keluarga turut tumpang ‘sekaki’.  Senang cerita kalau boleh mahu tujuh keturunan hidup senang-lenang! The whole family gets the benefit.

Bagaimana pula modus operandi ibu untuk mendapatkan menantu idaman? Ya, ibu dan anak wajib bersosial dengan sosialit. Mereka perlu tunjuk muka di majlis yang dihadiri orang-orang bangsawan, kerabat dan mereka yang sewaktu dengannya. Jadi, pantang ada majlis dan parti berprestij di ibu kota, lajulah si ibu bawa anak ikut sama. Mana tahu kalau-kalau terjumpa calon yang sesuai buat si anak. Lagi bagus kalau memenuhi jemputan perkahwinan kerabat Diraja. Sementelah tetamu yang  hadir semuanya berstatus dan  kaya-raya belaka. Jadi, ibu-ibu ini sejak kecil telah mendidik anak untuk bergaya, pakai cantik, berdandan sempurna dan turut diajar anak tata tertib, adab sopan dan etiket pergaulan. Cantik sahaja tetapi tidak ada semua ilmu pergaulan tentunya tidak dipandang lelaki kaya. Selain itu anak-anak gadis juga kalau boleh mesti belajar tinggi, pintar berkomunikasi, fasih berbahasa Inggeris agar memudahkan mereka untuk memikat ‘jodoh’. Jadi, setiap kali ada jemputan majlis, anak-anak gadis mereka mesti berdandan sempurna. Solekan dan dandanan rambut on point orang kata. Di majlis mata ligat mencari calon terbaik yang mampu biayai gaya hidup mewah dan masa depan anak-anak sah terjamin. After all it brings no harm to dress up to the nines…

Saya kira sudah acap kali kita dengar orang menyebut, “Lebih baik menangis di dalam kereta Mercedes daripada  Kancil.” Yalah, kalau bersuamikan orang kaya, andai kata dia curang pada kita, sekurang-kurangnya kita hidup di dalam timbunan wang dan boleh ‘terbang’ ke luar negara menghibur hati lara. Kemudian boleh masuk dari satu butik mewah ke butik mewah lain, membeli tas tangan, barangan kemas demi menutup seketika luka di jiwa. Tetapi cuba bayangkan kalau suami yang tak berduit ni buat hal. Dahlah poket sentiasa ‘kering’ diri sibuk pula nak pasang dua tiga. Aduhai…bagai jatuh ditimpa tangga! Ada satu kisah ini, memanglah Datin yang satu ini sibuk sangat mahu menikahi anaknya dengan lelaki kaya. Mereka pun daripada keluarga yang berstatus, jadi si anak harus live up to it. Harus saya akui, cantik anak perempuannya yang sulung ini. Nak dijadikan cerita, satu hari anaknya dicekup tangkap khalwat dengan si awang hitam. Si anak ini pun rela hati bernikah dengan awang hitam. Punah harapan si ibu. Menangis tidak berlagu Datin ini memikirkan nasib anaknya. Dengar-dengar cerita menantu  itu kerjanya menghabiskan duit anaknya saja.

See also
GLAM Alter Ego: Sebuah Analogi Seni Solekan

Ada cerita pula mengenai ayah yang asalnya well-off  merudum bisnesnya apabila dilanda kegawatan ekonomi. Segala asetnya habis terjual. Jadi dia pasang strategi untuk groom keempat-empat anak perempuannya. His daughters certainly will not associate themselves with gentlemen of lower financial standing. Dan hari ini, keempat-empat anaknya berjaya merealisasikan keinginannya apabila mendirikan rumah tangga dengan pasangan money bags! Yang sorang dapat ahli perniagaan, seorang lagi dengan kerabat dan dua lagi berkahwin dengan ahli politik.

Satu hal lucu mengenai budaya ‘mengkenen-kenenkan’ anak ini. Anaknya pun kecil lagi, masih bersekolah di tadika swasta. Banyaklah anak-anak orang kaya yang bersekolah sama di sana. Selalu juga dia memuat-naik gambar anaknya dengan anak Datuk Seri ini di akaun Instagram. “Aren’t my future son in law the cutest boy ever?” Kapsyennya pun sudah cukup mengundang. Kemudian dia tag emak budak lelaki tersebut.  Konon-konon berguraulah padahal dalam hati memang betul-betul nak!

Menariknya, sekarang ini anak lelaki juga adalah aset. Rancak si ibu lakukan transformasi pada anaknya dengan mendaftar anak ke gim untuk bina badan, menghantar anak ke sekolah berprofil tinggi dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mungkin di Harvard, Yale, LCE, University of California, Berkeley atau lain-lain universiti ternama. Saya diceritakan mengenai Datin yang satu ini memang sudah aim mahu anak lelakinya bernikah dengan anak perempuan Puan Sri ini. Kebetulan anaknya pun baru betul-betul tamat pengajian di London. Jadi Datin ini sedaya upayalah mengambil hati Puan Sri. Dia pun ikut sama aktif dalam persatuan yang dinaungi Puan Sri. Selalulah dia bawa anak lelakinya untuk turut sama membantu persatuan ini. Sambil-sambil itu niat di hati mahu Puan Sri ini perasanlah kewujudan anak lelakinya yang masih bujang itu. Lagi-lagi budi bahasa anak lelakinya memang tip top. Kalau bersua muka dia salam cium tangan dan bertanya khabar. Hati Puan Sri pun cair. Dipendekkan cerita, anak lelaki ini akhirnya menikahlah  dengan anak perempuan tunggal Puan Sri. Mission accomplished!

Ada juga misi ibu yang  terkandas when the children fights back. Ada selebriti popular yang satu masanya dulu bermadu kasih dengan lelaki yang biasa-biasa saja. Dek kerana takut ketahuan ibunya, dia sanggup sorok-sorok berjumpa dengan kekasih hati di panggung wayang. Cerita lain apabila anaknya yang kacak dan segak bergaya disuruh berkahwin dengan anak ahli perniagaan terkenal tanah air. Tetapi si anak bermati-matian enggan berkahwin dengan anak hartawan itu. Rupa-rupanya si anak adalah gay! Ya Tuhan…

See also
Datin X: Keluarga Berpecah-Belah Angkara Harta

PENGAKUAN PANAS

Dan siapa menyangka perkahwinan yang dikira bahagia rupanya penuh dengan helah. Seperti kisah teman saya yang satu ini. Dia berjumpa dengan bekas suaminya sewaktu sama-sama menuntut di bumi Paris lagi. Dengan melihat ketulusan si lelaki ini, teman saya ini dengan bermurah hati menyediakan rumah untuknya dan bayarkan sewa bulanan selama pengajiannya di sana. Semuanya dibuat adalah atas dasar cinta. Senang cerita, she covered for him sepanjang di sana. Ibu lelaki ini memang sayanglah kononnya pada teman saya ini. Pulang ke tanah air mereka pun berkahwin. Memang ibunya yang mahu mereka cepat-cepat berkahwin. Sewaktu  rancak mengatur persiapan perkahwinan, teman saya sudah mula rasa tidak sedap hati.

Bakal ibu mertuanya selamba berkata, “Hantaran lelaki perempuan beli dan hantaran perempuan pun pihak perempuan jugalah beli ya.” Tersentaklah teman saya tetapi dia anggukkan saja. Mungkin malas mahu bergaduh hal remeh. Sudahlah majlis di hotel lima bintang yang menelan belanja ratusan ribu sepenuhnya dibiayai keluarga teman saya. Lagi beberapa hari mahu bersanding, baju keluarga pihak pengantin lelaki tidak ada lagi. Sedangkan teman saya ini sudah pun tempah siap untuk semua ahli keluarga sebelahnya. Rupa-rupanya keluarga pengantin lelaki mahu pihak perempuan juga sediakan baju untuk mereka. Tahun pertama perkahwinan mereka mengecapi kehidupan suami isteri dengan  bahagia. Masuk tahun kedua si suami mula ada masalah kewangan dan berkelakuan kasar. Sudahlah segala perbelanjaan ditanggung isteri, minta duit daripada isteri berterusan seperti tiada nokhtah. Alasannya dia banyak berhutang. Entah apa yang dijolikan sehingga berhutang cecah ratusan ribu ringgit. Pada usia muda lagi dia sudah jatuh muflis. Tambah lagi ibunya yang suka masuk campur hal rumah tangga. Kucar kacirlah jadinya rumah tangga mereka berdua. Sampailah hati si suami berkelakuan sedemikian rupa pada si isteri. Segala rasa cinta bertukar kepada benci. Teman-teman yang selama ini mengunci mulut satu persatu menceritakan yang sememangnya bekas suaminya mahukan harta teman saya sejak zaman belajar lagi. Akhirnya teman saya bercerai dengan suaminya. Kini dia bahagia di samping keluarga barunya yang tulus mencintainya bukan kerana harta.

See also
Ritual Fit Cara Delevingne

Lagi kisah apabila Puan Sri yang bernikah dengan keluarga bangsawan atas nasihat ibunya. Meskipun si suami sudah bernikah tiga kali dan ada yang sudah diceraikan. Salah satu isterinya adalah rakyat Jepun. Almaklumlah kalau lelaki sudah kaya raya. Apa nak rugi, jadi nombor empat pun masih mewarisi harta yang melimpah ruah. Akui Puan Sri ini, dia memang lewat berkahwin. Justeru agak susah untuknya hamil lalu dia mendapatkan rawatan IVF. Tugasnya pada  lima tahun awal perkahwinan mereka adalah untuk melahirkan anak saja. Kini anaknya enam orang dan dia sudah pun tutup kilang. Bisiknya pada saya anak itu aset. Harta suaminya mesti jatuh pada keenam-enam anaknya. Pernah dia terkejut sewaktu dia berjalan-jalan di kota London, ada seorang lelaki menegur suaminya dengan memanggil ‘papa’. Tetapi punyalah dahsyat suaminya tidak boleh ingat pun itu anaknya. Mungkin kerana terlalu ramai anak hasil perkahwinannya yang lepas-lepas. Lebih tragis selepas Tan Sri meninggal dunia rumah utamanya yang didiami Puan Sri terus berkunci lengkap dengan kawalan pengawal keselamatan. Tahu mengapa? Puan Sri takut ada yang datang menuntut harta. Di rumah pula penuh dengan harta bernilai. Bayangkan sebuah lukisan saja berharga jutaan ringgit. Lama juga Puan Sri menyepi daripada kelompok sosialit dan hanya muncul baru-baru ini sahaja. Kata Puan Sri, money can’t buy happiness but it can buy anything else that can bring happiness!

Berapa ramai antara kita yang bersetuju dengan permainan jodoh menjodoh anak-anak dengan orang kaya-raya? Demi mengharapkan sebuah kehidupan yang senang lenang, berulit dengan harta kemewahan dengan harapan untuk mengecapi kebahagian sedangkan bahagia yang hakiki tidak terletak pada harta yang menggunung banyaknya. Living a life well-taken care or living the life that you choose. Apa pun itu  terpulang kepada individu. Bergantung pada niat seseorang juga.  Jika niatnya baik nescaya bahagialah sesebuah rumah tangga itu. Tepuk dada tanya selera.

Teks: Tengku Ashley Hassan