GLAM Exposé: Datin & Diamond: Berhabisan Untuk Barangan Kemas Demi Status Sosial - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Datin & Diamond: Berhabisan Untuk Barangan Kemas Demi Status Sosial

Perempuan kalau sudah kaya-raya bukan sekadar mahu tinggal di rumah banglo mewah, menjinjing beg tangan daripada jenama ternama dunia atau berkereta mewah sahaja, tetapi barangan kemas yang dipakai di badan juga adalah kayu pengukur seseorang itu. Semakin besar berlian itu, semakin kayalah dia. For the rich, diamonds are the new stocks. Dan pepatah ‘Diamonds are a girl’s best friend’ jelas menunjukkan betapa wanita taksub dengan berlian.

Siapa kata orang Malaysia tidak ada yang benar-benar kaya? Sosialit yang satu ini mahukan berlian 20 karat persis cincin Kim Kardashian yang dirompak di Paris itu. Dan apa yang pasti lama juga dia mencari contact yang dapat carikannya batu sebesar itu kerana butik barang kemas mewah di ibu kota tidak ada yang menjual berlian sebutir sebesar itu. Dengar-dengar cerita si suami sanggup berurus niaga dengan black market untuk dapatkannya. Bila sudah dapat apa yang dihajat puaslah hati sosialit ini dengan berlian seketul besar di jarinya.

Untung badan, dan kebanyakan barang kemasnya memang ditempah kerana dia mahukan sesuatu yang tidak ada pada orang lain. Masih ingatkah kita dengan syarikat auction ternama, Sotheby’s yang berjaya melelong barang kemas bernilai $108 juta di Geneva dan dibeli oleh seorang hartawan wanita yang profilnya dirahsiakan? Berlian sebesar 34.98 karat itu asalnya dimiliki oleh Marie de Medici pada tahun 1610. Begitulah dasyatnya penangan gilanya wanita pada barangan kemas. Tetapi hari ini, lelaki juga turut suka memiliki set barang kemas mereka sendiri.

Teringat saya pada Tan Sri ini yang memakai rantai tebal di lehernya. Selain rantai dia turut memakai cincin dan gelang tangan yang semuanya emas. Dia juga cukup suka jenama Versace, jadi semua emasnya berlogo Versace yang ditempah khas. Ada beberapa orang yang memberanikan diri menegurnya, tetapi tidak diendahkannya. Ini pula kisah kerabat Diraja yang menceritakan harga batu permata pada tiaranya sahaja mencecah tiga juta. Di rumahnya memang ada peti besi khas untuk menyimpan barangan kemas. Dia memang terkenal dengan penggemar barangan kemas. Kalau hijau bajunya, set barang kemas yang dikenakan juga hijau. Jika berbaju kuning, kuninglah permata hiasannya yang diturut ditatah berlian. Baginya jika tidak memakai barang kemas, dia berasa diri seperti berbogel. Dia percaya barang kemas itu mampu beri keyakinan pada dirinya dan dilihat menawan. Katanya ada kerabat lain tidak memiliki tiara sendiri, sebaliknya hanya pinjam sahaja milik istana setiap kali ada upacara adat istiadat.

See also
Megxit: USA Tidak Akan Bayar, They Must Pay!

Kisah Datin Seri yang berbadan gempal ini memang menjengkelkan. Warga butik di Pavilion dan Starhill Gallery sudah masak dengan perangan divanya itu. Mahu dilayan kalahkan Permaisuri Agung. Mujur tak disuruh bentangkan karpet kuning. Tapi Datin Seri ini suka orang memuji dan menyembah kepadanya. Dia yang tinggal di tengah ibu kota ini kalau mahukan barangan kemas akan telefon dan beritahu pukul berapa dan bawa semua barang kemas yang terbaru untuk dibentang di depannya. Ini menyusahkan kerana nak bawa barangan kemas perlu bawa pengawal dan insuran. Ini pula satu lagi perangai pelik satu Datin Seri kaya raya. Biasanya jika dia bangun tidur, dia mahu pembantunya meletakkan barangan kemas di atas katilnya. Bagi saya mengada-ngada sungguh si Datin Seri ini tetapi apapun saya harus akui Datin Seri ini memiliki cita rasa yang tinggi, bukan sahaja barangan kemas tetapi juga dalam fesyen. Meski tubuhnya agak gempal tetapi apa sahaja yang disarungkan memang terletak cantik dan sedap mata memandang. Yang teruk pekerjanya kena sabar melayan perangainya. Khabarnya pekerja butik rumah fesyen mewah juga letih melayan kerenahnya!

See also
Royal Princess: Puteri Maria-Olympia of Greece

Kisah selebriti ini pula, anak masih bayi tapi sudah dipakaikan set barang kemas yang besar. Rasa kasihan pula anaknya. Oleh kerana dia public figure, jadi tak berapa manislah apabila anak baru lahir di sarungkan rantai emas tebal, gelang tangan dan kaki semua. Apabila dikecam cepat melatah, tetapi apa yang dipaparkan itu juga kadang-kadang mengundang netizen untuk bersuara dan menghentam.

Saya diceritakan teman mengenai wanita ini yang latar belakang keluarganya sederhana sahaja, dan perilakunya amat menyenangkan. Budi pekertinya tinggi. Itulah ciri-ciri yang Datin mahu, seorang yang patuh. Kalau anak orang kaya, banyak fiilnya. Datin berkenan dengannya dan mahu dia berkahwin dengan satu-satunya anak teruna dia. Orang kata untunglah wanita ini berkahwin dengan keluarga kaya-raya tinggal cuci kaki sahaja selepas kahwin. Ya benar, selepas kahwin dia terus tinggal dengan keluarga mentua di mahligai yang luas dan indah. Tetapi nasibnya apabila bersuamikan anak emak. Si suami memang patuh segala perintah ibunya. Jadi Datin mahu menantunya dilihat sebagai orang ada-ada. Semua yang dipakai ditentukan Datin. Tetapi mulut Datin pedas bagaikan dihiris-hiris dan suka mengungkit setelah membelikan menantunya itu helaian-helaian mewah dan tas tangan mahal. Dia melayan menantunya seperti boneka. Kata orang Datin ini ada mental sikit, dia bersifat possessive seperti kalau sudah berkahwin dengan anaknya, menantu itu haknya. Si anak lelakinya hanya mendiamkan diri sahaja apa sahaja perbuatan ibunya terhadap si isteri.

Pernah pekerja di butik barang kemas yang berkawan dengan teman saya ini menceritakan Datin ini mengheret menantunya sambil bercakap, “Kau mesti tak pernah pakai barang kemas seumur hidup kau, kan? Duduk sini, tengok macam mana orang kaya shopping barang kemas.” Datin terus minta pekerja butik air jus dan makanan. Sambung dia lagi, “Kau tengok orang kaya, sambil shopping dapat minum-minum dan makan,” cakapnya sambil ketawa bangga.

See also
Saksikan Penampilan Post-Pregnancy Beyoncé!

Memang layanannya pada menantu bukan macam menantu, tetapi kata pekerja butik ini, Datin belikan tiga set barang kemas untuk menantunya. Tapi dengan ayat pedas dan angkuh dia berkata, “Kau pakai ini mulai sekarang, perempuan kalau tak ada barang kemas hina tau tak!” Terluka dengan dengan ayat Datin itu, si menantu buat pertama kali menjawab, “Mati nanti semua pun masuk kuburlah.” Apalagi Datin menggelegak marah dan terus disepak menantunya. Dan seperti biasa suami wanita ini hanya diam membatukan apabila isteri minta tolong. Mungkin dek terlalu lama memendam rasa, akhirnya gunung berani pun meletup! Wanita tersebut berlari meninggalkan butik. Datin masih mengamuk-mengamuk di butik dan terpaksa ditenteramkan pekerja-pekerja butik. Dengar cerita tak sampai setahun perkahwinan, wanita itu memfailkan perceraian.

Barang kemas itu adalah perhiasan buat wanita. Tak salah untuk memakainya, tetapi bergantung kepada niat yang dipasang. Saya juga suka dengan barangan kemas, tetapi tidaklah asyik membeli kerana itu bukan lagi kemampuan saya. Malah teman-teman saya yang bertudung juga suka memakai rantai emas di leher, tidak nampak pun kerana tertutup dengan tudung, Ia adalah untuk kepuasan diri sahaja bukanlah untuk ditayangkan kepada orang dengan mentaliti dia berduit. Lain orang lain cara berfikir tepuk dada tanya selera.

Artikel ini pernah dikeluarkan pada isu GLAM Mei 2018