Retorik - The Judging Society - Glam Malaysia

Retorik – The Judging Society

Acapkali kita perhatikan satu persatu komentar warga media sosial atau lebih dikenali sebagainetizen setiap kali tercetus sesuatu isu ‘panas’ di laman Twitter, Facebook, Instagram dan beberapa media online yang lain. Ada yang positif bahkan ada yang tak berunsur negatif. Sebagai seorang ibu dan isteri, secara peribadi sukar untuk saya tidak menjadi judgemental dengan apa yang berlaku terutamanya melihat keadaan anak-anak muda yang semakin jauh daripada pegangan agama dan budaya masing-masing.

Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

Hari ini realitinya masyarakat lebih suka untuk berpegang kepada sangkaannya sendiri tanpa menitik beratkan prinsip sebenar yang dianjurkan Islam. Firman Allah dalam surah Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

See also
Datin X: Sosialit Berniaga Beg Tiruan

Suka atau tidak, tanpa kita sedari, jika dahulu, orang yang menayangkan kesenangan atau melakukan khilaf (kesilapan) itu hanya jadi bualan di bibir saja, kutukannya hanya berlegar sekitar kampung tanpa melibatkan masyarakat dari kampung lain. Tapi hari ini, sebarang isu yang timbul akan dapat terus disampaikan hanya dengan hujung jari sahaja. Bukan sekadar itu sahaja, umpama bersepakat mereka yang bergelar netizen ini menyerang tanpa usul periksa di laman sosial peribadi atau organisasi milik mereka yang ingin diserang.

Sebagai contoh, saya mengambil diri saya sendiri yang suatu ketika diserang dengan pelbagai isu – politik, perkahwinan, keluarga dan sebagainya. Umumnya mengetahui, status sebagai isteri kedua sangat sensitif bagi masyarakat Malaysia. Kenyataannya walaupun agama Islam tidak melarang malah menggalakkan perkara yang halal di sisi agama, ia menjadi kecaman daripada pakar kaunselor segera yang kononnya lebih bijak berhujah daripada mendalami dan memahami cerita di sebaliknya.

Kebahagiaan dan perkongsian dikatakan lakonan dan tidak kurang juga yang mengambil contoh dan tauladan yang baik dalam kehidupan alam berumah tangga. Begitu juga, orang bertudung dituduh hipokrit, orang berniaga dikatakan berlagak, orang menasihati dianggap riak. Ini yang paling ketara, budaya melemparkan persepsi sesedap hati tanpa mengambil kira soal salah atau benar semakin menular di segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

See also
Kontroversi Koleksi Baju-T Vintaj Kendall + Kylie

Suka saya mengingatkan diri saya bahawa, membuat andaian terhadap orang lain adalah tidak adil. Ia adalah sesuatu yang menyakitkan dan menyedihkan. Jika kita memahami apa yang hendak diperkatakan, kita tentunya tidak mahu mengaibkan orang lain. Bukankah lebih baik jika kita memberi galakan dan inspirasi kepada mereka? Penggunaan andaian adalah membuat penghakiman dan penilaian. Dalam banyak hal, sama ada kita suka atau tidak, kadang-kadang kita terpanggil untuk menghakimi atau menilai orang lain. Saya mengambil contoh saya sebagai seorang ibu yang berperanan menilai anak-anak sejak mereka dilahirkan, seorang majikan menilai pekerja, atau seorang isteri yang menilai seorang suami adakah layak dihormati sebagai suami atau sebaliknya.

Jika anda berhasrat untuk menghakimi dan menilai serta ingin mengetahui perasaan orang lain, janganlah dengar apa yang orang lain kata tentang dirinya atau mengenai dirinya; sebaliknya dengarlah apa yang dia kata tentang orang lain. Anda juga tidak harus menilai tindakan orang lain sehingga anda tahu motif mereka. Dalam erti kata lain, nilailah mereka dengan hati dan minda anda, bukan dengan mata dan telinga.

See also
Datin X: Bila Belanja Kahwin Dipertikaikan

Akhir sekali, kita perlulah menerima bahawasanya bukan semua penggunaan andaian itu tidak baik tetapi hanya bersifat negatif. Sebagai contohnya, jika kita menganggap semua orang adalah baik, tidak kira sikap atau tingkah laku mereka, kita akan mendapati bahawa andaian kita adalah betul. Lagipun, kebaikan sememangnya adalah sifat kita; kita semua cenderung untuk menjadi baik, dan jika diberi peluang, kita akan membuktikan untuk menjadi begitu. Sebenarnya, ini bukanlah satu andaian kerana ia adalah berdasarkan kepada pengalaman hidup kita sendiri.

Sebaliknya, jika dari awal lagi kita mengandaikan seseorang itu tidak boleh dipercayai dan mempunyai niat yang tidak baik, adakah kita akan terus menghina atau menghukum seseorang? Dan apa pula nanti tindak balas mereka terhadap kita? Bukankah ini akan terarah kepada permusuhan? Ini adalah sesuatu yang harus kita fikirkan, bukan untuk kita sendiri tetapi untuk masa depan anak-anak kita. Didiklah diri agar kita mampu mendidik anak-anak untuk menjadi manusia dan generasi yang lebih baik. Generasi yang tidak mudah menghukum dan membuat penilaian sewajarnya sebelum membuat keputusan.