Korner Mak Datin: Hasad Dengki Memakan Diri, Datin Meroyan Separuh Mati

Korner Mak Datin: Hasad Dengki Memakan Diri, Datin Meroyan Separuh Mati

datin8Gambar: Arkib GLAM

 
*Seperti yang diceritakan kepada Nurul Syuhada
 
Huda berlari keluar kamar pejabat Datin Sally dengan air mata mencurah-curah di pipi. Tangisannya bersambung di dalam bilik air. Rakan sekerja yang sedang mencuci tangan bergegas keluar memberi ruang buat Huda. Mereka sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Bukan Huda seorang sahaja yang terkena tetapi hampir semua kakitangan Butik Elegan sudah terkena.
 
Datin Sally memang bermulut lancang dan sering menghamburkan apa-apa sahaja yang terlintas di fikirannya tanpa memikirkan perasaan orang. Pernah kakitangan yang baru bertugas sehari diberi tugasan tanpa panduan. Pada hari pertamanya sahaja Datin Sally sudah meletakkan bebanan yang tinggi di bahu pekerja baharunya. Terlalu tinggi.
Sebagai individu yang ingin berjaya dan belajar daripada tokoh disanjung, pasti mereka boleh bertahan. Begitupun tidak ada siapa pun yang tahan dengan kata-kata sindiran. Datin juga banyak mengungkit gaji yang diberikannya terlalu tinggi jadi mereka sebagai pekerja perlu pantas berfikir.
 
Keesokan harinya budak itu langsung tidak datang. Mana mungkin dalam sehari dia boleh belajar semua hal tanpa asuhan senior. Huda cuba memujuk hati tetapi sayangnya tidak ada siapa pun tahan dengan perangai Datin Sally yang bongkak dan riak itu. Nama sahaja pengasas butik menjual pakaian muslimah, tetapi perangai tiga suku. Huda menyumpah-nyumpah dalam hati.
 
“Kenapa dia berhenti? Apa salah saya?” Menyampah mereka mendengarnya. Datin tak pernah sedar diri. Sudahnya Hana tidak berkesempatan punya rakan kerja satu jabatan. Dia pula lelah kerana menerima tugas yang lebih daripada sepatutnya. Sudah beberapa orang memohon tempat ini akan berhenti keesokan harinya. Kalau diikutkan hati mahu juga berhenti tetapi kesempitan hidup membuatkan dia terpaksa menebalkan telinga dan hati.
 
Hana punya teman-teman yang banyak menyokong dan memahami. Bukan apa, semua di situ baik-baik belaka. Jabatannya sendiri perhubungan awam, pereka grafik, pereka fesyen atau tukang jahit sekali pun semuanya pernah merasa dihambur dengan kata-kata kurang enak daripada Datin. Namun, hanya seorang sahaja yang menjadi kesayangannya pembantu peribadi.
 
Kat atau nama sebenarnya Kadhijah menjadi orang kuat Datin Sally. Ke mana-mana sahaja pergi pasti dia ikut. Kalau tugasan rasmi tak mengapa, hal peribadi pun pasti Kat akan dimasukkan di dalam senarai tamu. Mujur juga dia sering keluar. Sepanjang di pejabat pun, bukannya Kat pandai buat kerja tetapi asyik mengarah orang. Kerja-kerja yang sepatutnya dibuat akan diserahkan kepada orang lain. Orang lain itu termasuklah Hana sendiri. Kredit pula selalunya dia seorang sahaja yang dapat.
 
Asalnya Hana yang menjadi pembantu peribadinya tetapi kerana terlalu baik dengan Kat, dia dicampakkan ke jabatan perhubungan awam yang masih kekosongan itu. Jelas itu bukan bidangnya tetapi Datin mengharapkan lebih. Tidak sempat dia nak menyesuaikan diri atau belajar bidang baharu sudah dikatakan bodoh dan bengap.
 
“Kau tu tak pandai bergaya dan mengambil hati Datin. Kampung sangat. Tu yang Datin tak suka,” ujar Kat suatu hari. Ah, bukannya Hana tak tahu yang Kat adalah salah seorang kroninya di luar sana. Diambilnya Kat kerja berdasarkan kesukaan dan ‘dirasakan’ boleh buat kerja padahal sebaliknya. Yang hebat dan terbilang masih di takuk lama kerana Datin memandang remeh dengan mereka. Sekarang ini mereka semua lebih terasa apabila Datin Sally banyak menyekat itu dan ini. Hana syak itu adalah hasutan si Kat yang mahu tunjuk pandai.
 
“Kenapa pula kali ini?” soal kak Pat yang bertugas sebagai penyambut tetamu. Hana baru sahaja keluar dari bilik air menuju ke tempatnya. Matanya agak bengkak tetapi telah disorokkan dengan tempelan bedak dan gincu bertona lembut. Walaupun seri wajah sudah kembali tetapi tetap kesedihan terpancar di wajah.
“Press release tu berkali-kali buat tapi semua nak tukar. Lepas tu dia marah saya sebab belum hantar-hantar kat media. Macam mana nak hantar kalau dia sendiri belum approve. Marah-marah orang,” rungut Hana masih berduka.
 
“Aku pun tak faham dengan sikap Datin. Bila ramai yang berhenti, ditanya apa salah saya tetapi tak pernah hendak menimbang diri sendiri ada salah ke, betul ke. Yang betul-betul boleh buat kerja dilepaskan, yang kaki ampu disimpan,” tambah kak Pat tidak puas hati.
 
Hana tahu siapa yang ditujukan kak Pat kalau bukan kepada Kat. Namun apa boleh mereka buat selain memendam rasa. Ini syarikat Datin Sally dan suaminya Datuk Nuar. Mereka cuma makan gaji sahaja. Sekadar berharap Datin lekas-lekas dibukakan mata menilai intan dan permata. Dia sentiasa memujuk hati supaya bersabar tetapi kalau ada tawaran lain lebih baik undur diri.
 
“Ehem…” Kak Pat pantas berlalu mendengarkan suara itu. Hana juga segera duduk di tempatnya. Dia berdoa panjang pendek, Datin tidak mendengar apa yang dibualkan mereka berdua sebentar tadi. Datin Sally masam mencuka sebelum kembali ke kamar kerjanya.
 
Entah mengapa kebelakangan ini emosi Datin Sally sering terganggu. Perasaannya memberontak dua puluh empat jam. Pada pandangan matanya semua orang serba tak kena dan hanya mengambil kesempatan terhadap dirinya. Padanya, dia berhak memarahi siapa-siapa pun kerana dia yang membayar gaji semua orang. Begitulah pendapat Datin Sally dan yang sering menjadi mangsanya adalah Hana.
 
Entah mengapa dia panas sekali dengan Hana. Bukan dia yang berkenan sangat mengambil Hana bekerja tetapi Datuk Nuar yang berkeras mahukan gadis itu. Sejak itu dia mula mengesyaki suaminya. Dia juga tidak senang dengan kehadiran Hana. Kata-kata Kat pula menghantui dirinya.
 
“Kalau tak suka, buat sampai dia berhenti. Beri tekanan sehingga dia mengalah.” Pernah sekali Hana menghantar surat perletakan jawatan tetapi dipujuk suaminya. Datin Sally tidak keruan jadinya. Dia benar-benar berdendam dengan Hana. Entah mengapa Hana jadi anak emas Datuk Nuar. Yelah, memang Hana boleh buat kerja tetapi hatinya tetap tidak dapat menerimanya. Hatinya telah hitam membenci gadis itu.
 
Di sebalik gaya kekampungan, terserlah kejelitaan Hana. Dalam kesederhanaan gadis itu, Datin Sally berasa sungguh tergugat. Bukan bimbang Datuk Nuar ada hati terhadap Hana tetapi ternyata gadis itu terlalu cekap melunaskan kerja-kerjanya. Setiap kempen dijalankan pasti akan menjadi. Pihak media juga lebih menyenangi Hana.
 
Kat tersenyum simpul melihat Datin Sally telah mula goyah dengan Hana. Dia pula mengambil kesempatan mencurah minyak di dalam api yang panas. Lebih terbakarlah hati Datin termakan kata-kata orang kepercayaannya. Mestilah dia lebih mempercayai Kat yang kelihatan lebih yakin penampilan. Padahal Kat hanyalah menang gaya sahaja. Ibarat tin kosong yang kuat bunyinya.
 
Akhirnya surat berhenti kerja daripada Hana sekali lagi tiba di meja kerjanya. Datin Sally tersenyum puas. Kali ini Datuk Nuar tidak pula sibuk menghalang. Sekali lagi timbul kesangsian di dalam jiwa Datin Sally. Dia lantas membuat hati Datuk Nuar yang sekian lama bersabar dengan perangainya mula membara. Mereka menghabiskan waktu dengan banyak bertengkar.
 
“Pat, mana Kat!” “Tak tahu Datin. Tak ada pula dia pesan apa-apa kat saya,” ujar kak Pat tenang tetapi dalam hati hairan. Bukankah Kat itu sahabat baiknya ke hulu ke hilir, kenapa nak bertanya di mana Kat. Macamlah selama ini Kat biasa melaporkan apa sahaja kegiatannya kepada dia.
 
Dengan ketiadaan Hana, Datin Sally jadi semakin sibuk. Banyak urusan dilakukannya sendiri kerana tiada siapa yang setangkas Hana. Sayangnya Kat pula semakin naik lemak dengan jarang masuk pejabat. Salahnya juga kerana membiarkan hal sepertinya berlaku. Kalau dahulu dua kali lima dia juga menghilangkan diri daripada pejabat. Masuk kerja hanya beberapa jam dan segala kerja dicampakkan kepada Hana.
 
Hati Datin Sally mula berkata-kata mengutuk Kat. Tengah hari itu ruang pejabat mula kosong kerana tiada siapa berani mengetuk pintu kamar kerjanya mengajaknya makan. Dia faham kerana sejak dahulu dia kurang bergaul dan melayan dingin mereka.
 
Datin Sally lantas mencapai tas tangan dan berlalu. Dia sudah sebal duduk diam di pejabat. Selepas makan tengah hari rancangnya dia langsung mahu ke pusat membeli-belah mahu melepaskan tekanan. Puas cuba dihubungi Kat tetapi panggilannya tidak berangkat. Mana pula perginya pembantu peribadinya itu.
 
Malam itu dia pulang ditunggu Datuk Nuar. Jarang sekali lelaki itu duduk di ruang tamu menunggunya. Hati Datin Sally kurang enak melihat wajah Datuk Nuar yang sungguh luar biasa. Datin Sally terduduk mendengarkan pengakuan suaminya itu. Kelihatan Datuk Nuar cuba memujuk tetapi gagal. Dia kemudian berlalu dari situ dan Datin menangis semahu-mahunya.
 
Pagi itu Hana melambai kak Pat yang terkocoh-kocoh menghampirinya. Sudah beberapa bulan mereka tidak bertemu sejak dia berpindah tempat kerja. Rindu sungguh dengan mulut becok kak Pat. Setelah memesan makanan, bukan main tak sabar kak Pat mahu bercerita.
 
“Apa yang penting sangat ni kak,” soal Hana geleng kepala. “Kau ada jumpa Datuk? Macam mana dengan dia?” soal kak Pat bertubi-tubi. “Dia ada je kat pejabat.” Setelah berhenti kerja, Datuk memanggilnya untuk menyertai syarikatnya. Bisnes bersama Datin hanyalah untuk memenuhi minat isteri sahaja. Memang Datin agak kurang bersetuju tetapi keputusan Datuk muktamad.
 
“Datin dalam keadaan teruk, Hana.” “Kenapa pula?” Agak terkejut Hana mendengar kata-kata kak Pat. Apa sudah terjadi dengan Datin Sally yang angkuh itu? “Kat benar-benar menikamnya di belakang.” “Apa yang dah dibuat Kat?” “Dia nak kahwin dengan Datuk Nuar.” “Hah!” “Datuk beritahu Datin semalam. Menangis-nangis dia telefon aku. Kasihan pula dengan Datin tu. Walaupun hati nak je kata padan muka. Rasakan,” cerita kak Pat berkobar-kobar. “Tak baik,” balas Hana ketawa mendengar kata-kata kak Pat itu.
 
Kasihan sungguh dia dengan nasib Datin Sally, bekas majikannya itu. Terlalu percayakan kata-kata manis Kat lalu memakan diri sendiri. Entah mengapa manusia zaman sekarang lebih mudah percayakan individu yang bijak berkata-kata daripada kecekapan individu lain. Padahal mata sudah jelas melihat tetapi masih bermati-matian mahu menafikannya kerana terlalu percayakan tin kosong.
 
Hana hanya mampu mendoakan yang baik-baik sahaja tentang Datin. Tak dapatlah dia membantu Datin Sally kerana dia sering dilayan seperti pembantu. Ah, Datin panggil kak Pat semalam pun entah-entah kerana dia sudah tiada siapa-siapa lagi. Sahabat baik sedang bermain cinta dengan suami sendiri.
 
Alah, bukan Hana tidak pernah nampak Datin sering membawa anak-anak muda ke acara di ibu kota. Lelaki yang baru hendak naik, menjadi model sambilan. Orangnya pula kacak sedap mata memandang. Dalam pada itu sempat menilai orang lain kononnya punya anak ikan. Begitulah Datin yang tidak pernah mahu bercermin dirinya sendiri.
Ada ketikanya kita tidak boleh mendongak terlalu tinggi, bimbang bumi tidak lagi terpijak. Kalau terjatuh pastinya tersungkur terus. Menilai orang bukan mengikut emosi tetapi biarlah mengikut kewarasan fikiran. Bimbang kelak nasi sudah menjadi bubur.
 
Semenjak itu Datin tidak lagi muncul di mana-mana acara sosial. Alangkah malunya dia dengan apa terjadi. Selama ini semua orang tahu dia dan Kat bersahabat baik dan alih-alih kini mereka bakal bemadu pula. Dia juga tidak lagi segarang dahulu. Malah mula berbaik-baik dengan kak Pat dan kakitangan yang lain.
 
Hana gembira mendengar perubahan Datin itu. Dia juga sering singgah di pejabat jika perlu. Malah membantu Datin mana-mana yang patut. Tetapi dia masih bekerja sepenuh masa dengan Datuk. Setahu Hana, Datuk akhirnya menolak berkahwin dengan Kat. Malah hubungan Datuk dengan Datin juga bertambah baik. Begitulah berakhirnya sebuah kisah Datin yang angkuh tetapi akhirnya bertukar lembut dan menyedari kesilapan diri.
 
Banyak lagi di luar sana mereka yang bersikap mementingkan diri sendiri begini. Keinsafan hanya bertandang setelah ditimpa musibah. Ada juga yang masih begitu sehingga ke hari ini. Hana berharap dia tidak lagi berdepan dengan masalah tersebut dan positif menjalani kehidupannya kini.
 
 

See also
Cantik Untuk Media Sosial